Selasa, 26 Januari 2016

Kerana Mulut Badan Binasa



Belah halia masak di kuali
Tadah keranji sebentar nanti
Itulah manusia sejak azali
mudah berjanji sukar ditepati

Bidalan Melayu menyatakan mengungkap janji adalah sesuatu yang amat mudah, bagaimana pula dengan perlaksanaannya? Adakah ia juga semudah seperti yang kita ungkapkan?

Menurut Imam Ghazali dalam “Tujuh Jalan Ke Neraka” beliau menyatakan kegunaan lidah untuk membaca kitab Allah, menyatakan puji syukur kehadiratNya, memohon doa kepadaNya, mengajak manusia ke arah taat kepada Allah SWT dan membicarakan hal-hal yang baik baik serta bermanfaat. Selanjutnya Imam Ghazali berpesan agar kita tidak membiarkan lidah kita membawa kita ke neraka.

Seseorang itu tidak akan menjadi orang yang mungkir janji baik secara sengaja ataupun secara tidak sengaja seandainya dia tidak membuat janji. Lidah yang membawa kita ke neraka adalah lidah yang selalu mengucapkan janji-janji sehingga kita tidak lagi mampu menepati janji tersebut, kerana terlalu banyaknya janji yang telah diucapkan.

Dalam hidup, orang yang selayaknya paling dihormati adalah diri sendiri. Tiada sebab untuk marah jika diri tidak dihormati oleh orang lain, andai kita tidak menghormati diri sendiri. Cara untuk menghormati diri sendiri adalah dengan menepati janji yang dimeterai oleh diri kita kepada diri sendiri.

Janji merupkan 'self talk'. Menurut kajian, orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang punya harga diri yang tinggi. Salah satu tanda seseorang miliki harga diri yang tinggi adalah dengan menghormati dirinya sendiri.

Kesan daripada memungkiri janji pada diri sendiri, seseorang akan hilang semangat untuk hidup. Ia akan mengakibatkan murung, hilang keyakinan diri dan mudah kecewa dengan diri sendiri. Secara tidak langsung hilang jiwa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Kegagalan menunaikan janji ada kalanya disebabkan janji yang cuba dipenuhi itu tidak bersifat realistik. Janji memerlukan azam yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah. Contohnya, jika mahu melakukan solat lima waktu pada awal waktu, boleh dimulakan dengan solat Isyak berjemaah. Kemudian ditingkatkan kepada solat Subuh berjemaah dan akhirnya solat lima waktu akan terlaksana secara berjemaah yang secara tidak langsung akan didirikan pada awal waktu.

Orang yang bersifat menetapi janji selalu berusaha untuk mengelakkan dirinya dari berjanji. Ingatlah bahawa berjanji dan memungkirinya adalah salah satu sifat orang munafik.


Isnin, 25 Januari 2016

Langkah


Kehidupan ini adalah sebuah perjalanan, liku hidup yang penuh rintangan pula mengajar kita akan erti hidup. Dari situ akan kita rasai segala pahit-maung serta kemanisan. Dalam langkah yang kita atur, pernahkah kita fikir akan arah tuju yang mahu kita kecapi?


Apakah pengakhiran dalam kehidupan ini? Adakah kita akan hanya melangkah tanpa ada arah dan tujuan, atau barang kali kita cuma memikirkan hari ini adalah hari, esok adalah esok?

Jika sebegitulah pemikiran kita alangkah ruginya dan hidup ini seperti tiada maknanya?

Pernahkah kita memikirkan kefanaan ini cuma sementara yang dipisahkan oleh satu ruang deminsi yang tidak terlihat oleh kita?

Maka dengan itu haruslah kita memilih jalan sebaiknya demi mencari keredaanNya serta  mengkecapi nikmat yang hakiki yang tiada tolak -bandingnya dengan kesementaraan fana ini. 


Isnin, 28 Disember 2015

Toleransi Dan Islam

Toleransi Dan Islam

Toleransi itu adalah salah satu tata-fikir yang diajarkan oleh Islam, terutama sekali toleransi dalam beragama. Salah satu ajaran Islam yang digariskan oleh Allah SWT untuk pegangan kaum Musliman dalam kehidupan beragama dalam ayat yang berbunyi :

لا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لا اَنْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (٢٥٦)

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar itu daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul (ikatan) tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 256)

Pada ayat tersebut ditegaskan bahawa Agama Islam tidak mengenal unsur-unsur paksaan. Hal ini mengenai cara, tingkah-laku, sikap-hidup dalam segala keadaan dan bidang, serta dipandang sebagai satu hal yang hakiki.

Islam bukan sahaja mengajarkan supaya jangan melakukan kekerasan atau paksaan, akan tetapi diwajibkan pula supaya seseorang Muslim itu menghormati agama-agama lain dan menghargai pemeluk-pemeluknya dalam pergaulan. 


Selasa, 15 Disember 2015

Toleransi


Toleransi adalah salah satu tata fikir yang diajarkan oleh Islam, terutama toleransi beragama. Salah satu ajaran Islam yang di gariskan Allah SWT untuk menjadi pegangan kaum Muslimin dalam kehidupan beragama ialah tidak ada paksaan dalam agama, kerana sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang salah.

Katakanlah : “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, Bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka : “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”. 

Ali ‘Imran:64
Apakah toleransi?

Toleransi dapat diertikan sebagai kelapangan dada, keluasan fikiran serta berkait rapat dengan kesabaran dan sikap bertolak ansur. Contohnya toleransi antara pelbagai keturunan penduduk di Malaysia.

Dari huraian tadi dapat disimpulkan, bahawa tolenransi adalah satu tata-fikir atau sikap-hidup, mental attitude, yang menunjukkan kesabaran kelapangan dada dan kelapangan fikiran dalam menghadapi fikiran-fikiran, pendapat dan pendirian orang lain.

Dalam Istilah Agama Islam, kata toleransi itu dinamakan tasamuh iaitu membiarkan secara sedar terhadap fikiran atau pendapat orang lain. Orang yang demikian dinamakan tolerant. 

Toleransi membentuk sikap lahiriah tentang antara hubungan manusia dan masyarakat. Ciri-ciri toleransi itu diantaranya tergambar dalam kebesaran jiwa seseorang, keluasan faham dan pengertiannya. Kelapangan dada dan sabar menghadapi pendapat atau pendirian orang lain yang bertentangan dengan pendapat dan fikirannya sendiri. Di dalamnya termasuk toleransi kerana perbezaan kepercayaan agama.

Sifat toleransi menghendaki, bahawa perbezaan agama, perbezaan kepercayaan, perbezaan keyakinan dan pendirian. Perbezaan faham dan pernilaian dan seumpanya itu tidak boleh membuat satu garis pemisah mempengaruhi hubungan dalam segala bidang-kehidupan.

Harus sentiasa mewujudkan hubungan yang hormoni serta menjauhkan sikap kaku dan konfrontatif. Toleransi itu membentuk watak manusia supaya bersikap menahan diri, berlapang dada dan bertolak-ansur.

Selasa, 27 Oktober 2015

Solat Nawafil



Menurut kitab Fekah, solat sunat di sebut sebagai nawafil, bentuk jamak daripada nafilah yang bermakna tambahan Nawafil bermaksud solat-solat  tambahan. Solat sunat ialah selain daripada solat fardu lima waktu. Di dalam Al-Quran Allah telah memerintahkan agar melakukan solat tahajjud di waktu malam sebagai nafilah solat tambahan kepada solat yang lima waktu itu.

Imam Ghazali membahagikan solat nawafil itu ke dalam tiga istilah iaitu:-
  1. Sunat
  2. Mustahab
  3. Tatawu
Menurut Hujjahtu Islam ini, pembahagian itu hanya istilah sahaja untuk memudahkan darjat ketika-tiga solat sunat itu dilihat dari hadis-hadis yang menerangkannya dan kerajinan Rasullulah mengerjakannya.Imam Al-Ghazali tidak menolak sekiranya ada pihak yang memberikan istilah lain.

Apa yang dimaksudkan dengan Sunat ialah solat yang disandarkan kepada rasulullah SAW bahawa baginda sangat mengerjakannya (di samping menerangkan keutamaannya). Contoh seperti solat Sunat Rawatib sama ada sebelum solat fardu atau sesudahnya, juga solat Tahajjud, Solat witir  dan lain-lain.


Mustahab pula ialah solat sunat yang ada dalilnya daripada Rasulullah yang menerangkan tentang keutamaannya, tetapi tidak diterangkan bahawa baginda rajin mengerjakannya.

Manakala yang dimaksudkan Tatawwu, ialah solat sunat lain dari kedua-dua yang disebut di atas, tidak ada dalil khusus mengenainya. Tatawwu’ seerti dengan Tabarru’ yang bermakna berbuat kebaikan atau berbakti.

Solat Tatawwu’ adalah solat sunat yang dilakukan tidak ada kaitan dengan sebarang sebab sama ada waktu, tempat atau sebab lain. Tetapi hanya kerana ingin berbuat baik dengan mengerjakan solat secara mutlak.



Rabu, 29 Julai 2015

Bahasa Mempengaruhi Perkembangan Tamadun

Bahasa Mempengaruhi Perkembangan  Tamadun.



Agama berkembang melalui bahasa. Sebagaimana bermulanya pengislaman raja-raja Melayu melalui pedagang Islam yang datang berniaga di Melaka sewaktu zaman kegemilangan Kerajaan Melayu sebagai pusat dagangan dunia pada abad ke-15.  Ketika itu juga dikatakan Bahasa Melayu telah menjadi lingua fanca dan di kenali seantero dunia.

Dengan adanya hubungan komunikasi bahasa yang baik menyebaran agama itu dapat berkembang dengan lebih lancar ke dalam jiwa sesuatu bangsa kerana mereka lebih lebih mudah faham dengan pendekatan bahasa setempat.

Melihat kepada karya-karya lama Melayu, masyarakat melayu tradisional menerapkan elemen Islam itu dalam penggunaan bahasa Melayu demi memudahkan orang Melayu faham akan ajaran Islam itu sendiri, ini dapat kita lihat melalui syair berikut :

Bismillah itu permulaan kalam
Dengan nama Allah Khaliqul alam
Adam diturunkan ke dalam alam
Dunia gelita semua kelam

Adam terkejut tiada terperi
Turun di Pulau Serindit nama negeri
Menangis adam beriberi-peri
Mengenangkan nasib badan sendiri

Jibril datang membawa wahi
Menyuruh Adam sembayang berdiri
Sembayang Adam satu rakaat
membawa iman dengan taat

Fajar terbit waktu subuh
Adam duduk sedang bersimpuh
Ia menyesal serta mengeluh
badan hangat serta peluh

Bangkitlah adam lalu berdiri
Membaca Qunut sambil berperi
mengangkat tangan menyusun jari
Matari terbit sianglah hari.

(Hj, Mohd. Wajib bin Abdul Rahman
Slim River, Perak 1976)


Gaya Syair di atas telah mengingatkan kita kepada Jalaluddin Rumi. Seorang tokoh Islam yang terkenal sebagai penyair lagenda parsi. Di kalangan orang Arab, India dan Pakistan Jalaluddin Rumi dipandang sebagai seorang sufi agung dan guru mistik tingkat (maqam) tertinggi meski pun ia menyatakan bahawa ajaran-ajaran Al-Quran bersifat alegoris (kiasan) dan memiliki tujuh makna yang berbeza.

Oleh kerana Al-Quran bersifat kiasan maka sewajarnya ia memerlukan penafsiran atau ulasan dalam bahasa tempatan bagi memudahkan kita menangkap makna sebenar atau pengertian yang lebih jelas untuk memahami Al-Quran itu sendiri. Itulah yang telah dilaku oleh Jalaluddin Rumi melalui kitab Matsnawi. Ada pendapat mengatakan karya ini samudera ‘irfani yang sarat dengan visi spiritual dan sosial yang unik dan istimewa. Matsnawi merupakan takwil kerohanian atas ayat-ayat Al-Quran yang ditulis dalam bentuk sajak yang indah.

Seperti yang kita ketahui Rumi menawarkan lautan pengetahuan yang luas, dan perlu juga kita fahami bahawa tradisi Rumi bukan sebuah tradisi “Timur” yang selama ini kita anggap sebagai kaum gasar yang rindukan “keindahan”. Bahkan apa yang dipersembahkan oleh beliau bukanlah berasal dari Timur mahupun barat, tetapi berada diantara keduanya.

Dalam “Tradisi Islam” yang telah dipercantikan Rumi, cara hidup Islam telah membentuk “kesedaran” spiritual di kalangan masyarakat umum. Dalam Matsnawi beliau menjelaskan mengenai tingkat kesedaran spiritual sebagai titik awal untuk meningkatkan pemahaman rohani.

Oleh demikian Sumbangan Jalaluddin Rumi amatlah besar terhadap perkembangan agama Islam. Jika juga wajar untuk mengikut jejak langkah beliau dengan menggunakan kaedah yang sama melalui pemahaman kita mengikut lokaliti kita sendiri. Di sini bukanlah kita hendak mengubah isi kandungan Al-Quran, tetapi kita memberi pemahaman kepada masyarakat agar mereka dapat menekuni apa yang tersirat dalam kitab suci itu sendiri.


Agamawan dan para ulamak juga perlu bersifat progresif, dalam memperkembangan agama Islam dalam bahasa tempatan, melihat keadaan hari ini, kita amat sukar untuk menemui karya agung Islam dalam bahasa melayu, kekurangan sumber bahan terjemahan dan hanya tertumpu pada karya atau sumber ilmu dalam bahasa arab. Disini bukanlah untuk kita menolok penggunaan bahasa arab sebagai bahasa syurga, tetapi berapa ramai antara rakyat kita di Malaysia yang boleh berbahasa arab dengan baik? Hal ini diketengahkan adalah kerana penyebaran ilmu dalam bahasa tempatan adalah lebih baik ia mudah untuk kita fahami merentasi semua golongan yang ada sama ada berpendidikan tinggi mahupun tidak kerana penggunaan bahasa tempatan itu sampai ke jiwa mereka. Malaysia terdapat  ramai golongan cendekiawan yang mendapat didikan dari negara timur dan dan sewajarnya kepulangan mereka itu dapat memberi manfaat kepada warga kita dengan melakukan  pelbagai terjemahan ke dalam bahasa Melayu. Agar Ilmu yang diperoleh ini dapat dikembangkan atau diinovasikan dalam kaedah susur budaya dan nilai agama mengikut latar sosial tempatan. Oleh demikian bahasa memberi peranan penting dalam penyebaran agama dan mengangkat martabat agama itu sendiri. Seperti yang dilaku oleh Jalaluddin rumi dalam menghasilkan karyanya ke dalam bahasa Parsi dan begitu diangkat kemata dunia. Tidak mustahil juga bahasa Melayu juga dapat melangkah jauh kehadapan. Jika kita tidak segan silu menggunakan bahasa tempatan. Dalam konteks begini Ilmuan negara kita perlu belajar bagaimana negara jiran kita iaitu Indonesia yang begitu mengangkat keilmuan dalam bahasa  kebangsaan mereka.