Khamis, 27 Februari 2014

Ibrahim Pernah Atheis ; Proses Kognitif Dalam Pencarian


Tajuk : Proses Kognitif dalam Pencarian.

Kita seringkali mendengar orang mengatakan ‘jangan menilai  pada kulit’ atau ‘ don’t jugde the book by it’s cover’.  Manusia merupakan makhluk yang visual. Kita memang diciptakan oleh Allah sebagai makhluk yang peka pada apa yang ada di sekeliling kita. Dengan cara inilah manusia juga mempertahankan diri dari bahaya.

Manusia sering menggunakan pengelihatan untuk menilai sesuatu sebelum menggunakan mana-mana pancaindera lain. Penilaian yang dilakukan melalui penelitian visual ini kerana  untuk mengelakan dari membuat keputusan yang salah.  Oleh itu ungkapan ‘jangan menilai buku dari kulitnya’ hanya mampu menjadi nasihat sahaja, ia tidak lebih dari itu. Hal ini kerana suka ataupun tidak kita memang melilai sesuatu dengan apa yang kita lihat.

Begitu jugalah kita, melihat tajuk senaskah buku seperti ‘Ibrahim Pernah Atheis’ khalayak akan membuat berbagai interpretasi atau pun tanggapan awal melalui  pemahaman yang digarap melalui pengalaman pembacaan atau pengalaman hidup yang bersifat peribadi dan sebagainya.

Inti pelajaran agama berada pada ketauhidannya. Ini adalah yang membezakan suatu agama dengan agama yang lain, atau antara orang beragama dengan yang tidak beragama. Agama Islam dengan agama lain misalnya sudah pasti berbeza di dalam ketauhidanya. Islam hanya menyembah satu Tuhan, sedang agama lain mungkin boleh menyembah lebih dari satu tuhan. Ataupun jika Tuhanya satu mungkin karekter Tuhan yang di sembah itu berbeza.

Ada Tuhan berbentuk benda dan patung. Ada yang menyembah Tuhan yang berada di dalam syurga, ada yang menyembah Tuhan di langit  dan ada yang menyembah tuhan yang berada di hati. Atau mungkin ada yang meyembah Tuhan yang berada di akhirat tapi tidak di dunia.

Agama Islam mengikuti cara Ibrahim dalam bertuhan. Menyembah Tuhan sekaligus berada di syurga, di langit, di bumi, di hati, di akhirat, di dunia dan meliputi apa sahaja yang tampak mahupun tidak nampak. Iaitu ‘Tuhan Yang Segala-galanya’.

Untuk ‘menemukan’ Tuhan yang sempurna itu Nabi Ibrahim melalui fasa-fasa yang khusus. Awalnya, beliau mengenal tuhan patung  yang di sembah oleh orang tua dan masyarakat sebagai pengikut agama pagan. Lantas, beliau melakukan perlawanan terhadap praktik penuhanan patung-patung itu kerana tidak masuk di akalnya, dan menghancurkannya, sehingga dikejar oleh masyarakat  dan penguasa.

Ketidak puasannya terhadap tuhan patung membuka jalan kepada beliau untuk melakukan pencarian spritualyang sangat panjang dan menghabiskan masa mudanya. Sebuah pencarian yang tidak kenal lelah dan pantang berputus asa. Itulah saat-saat beliau tidak mengakui Tuhan agama pagan, biarpun begitu beliau masih juga belum bertemu dengan Tuhan yang sebenar (Allah). Dia juga sempat tidak bertuhan kepada apa pun atau siapapun dalam erti kata lain Atheis.

Tetapi hati beliau yakin, tentang adanya ‘sesuatu’ yang maha hebat itu. Sesuatu yang menguasai segala realiti di langit dan di bumi. Dan segala peristiwa yang terjadi  di dalamnya. Naluri ketuhanan membimbing Nabi Ibrahim sewaktu muda untuk melakukan pencarian menggunakan kecergasan akal. Segala  gelodak hatinya di pertanyakan ke sekelilingnya. Jika tidak masuk akal, Beliau tolak. Bertahun-tahun Nabi  Ibrahim melakukan pencarian. Dari tidak percaya Tuhan agama pagan sampai akhirnya bertemu Tuhan yang boleh diterima oleh akal yang sihat.

Dengan berkambangnya sains dan pemikiran moden, proses pencarian Tuhan itu memang menjadi lebih kritis. Pertanyaan-pertanyaan yang dulu menghinggapi benak Nabi Ibrahim  sebenarnya turut berkecamuk di benak  anak-anak muda masa kini.

Meskipun dengan bahasa yang berbeza dan keilmuan yang semakin beragam, kita tetap melihat bahan atau perkara yang sama. Dewasa ini kita melihat banyak anak muda yang memiliki kecenderungan melakukan pencarian ala Nabi Ibrahim itu.

Sayang, banyak antara mereka yang terjebak pada jalan yang salah malah menjadi atheis. Meskipun sebahagian mereka menemui Tuhan sebagaimana Nabi Ibrahim. Semua itu bergantung kepada niat yang mendalam. Bagi yang melakukan dengan penuh kesombongan, mereka akan berputar-putar di jalan yang menyesatkan diri sendiri. Tetapi jika melakukan dengan rendah hati dan kesungguhan mencari, ia akan benar-benar menemui Tuhan, Dzat Maha Agung, Sang Penguasa alam semesta.

Lebih jauh, proses ketauhidan Nabi Ibrahim itu  bukan hanya dari tidak bertuhan kepada bertuhan , melainkan juga bergerak-dari keragu-raguan yang tak digoyahkan. Sebuah proses keimanan yang sangat intens, dari  ‘ilmul yaqin menjadi ‘ainul yaqin, dan berhujung pada haqqul yaqin.

Pada tahap ini Nabi Ibrahim memasuki kawasan spiritual yang sangat dalam, meninggalkan kawasan keilmuan yang sekadar berasas pada rasional dan logik atau memasuki wilayah rasa dengan pembuktian yang sangat halus dan terasa samar  bagi orang-orang awam. Namun semua itu sangat jelas bagi Nabi Ibrahim.
Kerana itu tidak hairan, di masa tuanya Ibrahim sampai sanggup mengorbankan anak kesayangannya Ismail, meskipun Allah memberikan perintah melalui mimpi. Sebuah petanda yang kurang jelas bagi orang biasa, walaupun begitu Nabi Ibrahim yakin dan memang terbukti bahawa keputusan itu benar. Bahawa semua itu adalah dari Tuhan.
Begitulah segala ringkasnya isi yang boleh kita kupas di dalam buku Ibrahim Pernah Atheis melalui penulisan Agus Mustofa. Apa yang boleh kita rungkai disini perjalanan mencari Tuhan itu melibatkan fenomena kejiwaan atau lebih tepat lagi ia berkaitan dengan disiplin psikologi. Sebelum kita pergi lebih lanjut lagi, mari kita amati penelitian tentang manusia.
  Manusia sebagai Homo Sapiens
Homo Sapiens adalah mahkluk yang berfikir sehingga menjadi makhluk yang cergas dan bijaksana. Dengan daya fikirnya manusia dapat berfikir  apakah  yang sebaiknya dilakukan pada masa sekarang atau masa yang akan datang berdasarkan pertimbangan  masa lalu iaitu pengalaman. Pemikiran yang bersifar abstrak merupakan salah satu wujudnya budaya manusia yang kemudian diikuti  budaya lain, berupa tindakkan atau perilaku ataupun kemampuan mengerjakan suatu tindakkan.
 Manusia sebagai Homo Faber
Homo Faber bermaksud manusia dapat membuat alat-alatan dan mempergunakannya atau disebut sebagai manusia kerja. Salah satu tindakkan atau wujudnya budayanya berupa barang buatan manusia (artifact). Manusia mencipta alat-alatan kerana mereka menyedari kemampuan mereka terbatas. Contohnya mereka hendak melihat bintang dan mikroorgamisme maka mereka mencipta teropong dan mikroskop.
Manusia sebagai Homo Languens
Manusia berbicara melalui bahasa untuk menyampai idea atau pemikiran mereka. Bahasa sebagai eskpresi dalam tingkat biasa adalah bahasa lisan. Antara satu suku dengan satu suku yang lain terdapat berpezaan bahasa. Perbezaan yang lebih tinggi diwujudkan dalam tulisan sehingga sebuah pemikiran dapat diterima oleh bangsa atau generasi bangsa lain.
Manusia sebagai Homo Socius
Manusia hidup bermasyarakat, bukan berkumpulan seperti binatang yang hanya mengenal hukum rimba, iaitu yang kuat akan berkuasa. Manusia bermasyarakat diatur dengan tatatertib demi kepentingan bersama, dalam masyarakat manusia terjadi tindakkan tolong –menolong. Dengan tindakkan itu, walaupun fisiknya realatif, lemah, tetapi dengan kemampuan nalar (pemikiran utk menilai buruk baiknya, fikiran yg sihat, akal budi, intelek) yang panjang tujuan-tujuan bermasyarakat dapat dicapai.
Manusia sebagai Homo Economicus
Manusia dapat mengadakan usaha atas dasar perhitungan ekonomi. Salah satu prinsip dalam hokum ekonomi adalah untung dan rugi. Dalam tingkat kesederhanaan manusia cukuplah sekadar memenuhi keperluan sendiri. Ekonomi berkembang melalui pemasaran. Oleh itu setiap produktiviti akan dipasarkan untuk memperoleh keuntungan.
Manusia sebagai Religus
Manusia menyedari adanya kekuatan ghaib yang memiliki kemampuan lebih hebat dari kemampuan manusia. Sehingga menjadikan kekuatan tersebut sebagai kepercayaan atau agama. Tahap ini melahirkan animisme, dinamisme dan totenisme kemudian lahir pula kepercayaan yang disebut sebagai agama samawi yang percaya kepada tuhan  yang Maha Esa, percaya kepada nabiNya dan Kitab suciNya yang dipergunakan sebagai pedoman manusia.
Manusia sebagai Homo Humans
Manusia sebagai mahkluk yang mempunyai naluri.
Manusia sebagai Homo Aesteticus
Manusia tahu akan keindahan  dan nilai-nilai yang estetika, cantik dan sebagainya. bagaimanapun cantik itu sangat subjektif dalam konteks pemikiran manusia berdasarkan nilai setempat dan penerimaan bersama sesuatu kelompok.
Dari perbezaan-perbezaan yang sedemikian banyak, semakin nyata bahawa manusia memang memiliki sifat-sifat yang unik, jauh berbeza daipada haiwan apalagi tumbuhan. Sehingga manusia tidak dapat disamakan dengan binatang atau tumbuhan. Dalam diri manusia terdapat curiosity (rasa ingin tahu), kerana pemikiran berkembang dari semasa ke semasa. Rasa ingin tahunya atau pengetahuannya selalu bertambah sehingga terjadi timbunan pengetahuan.
Manusia selalu ingin tahu dalam hal apa sesungguhnya yang ada (know what), bagaimana dengan alam sesuatu terjadi (know How), dan mengapa demikian (know why) terhadap segala hal. Seseorang tidak akan puas apabila sesuatu yang ingin diketahui tidak terjawab. Keingintahuan manusia tidak terbatas pada keadaan diri manusia sendiri atau keadaan sekelilingnya, tetapi terhadap semua hal yang adaalam fana ini bahkan terhadap hal-hal yang ghaib.
Peringkat hubungan manusia dengan alam : Pertama adalah manusia yang masih sangat tergantung dengan alam, sehingga ada kesan bahawa ia adalah sebahagian dari alam. Manusia pada peringkat ini dikenali sebagai manusia alam (natural man). Yang hidupnya bergantung pada pemberian alam (food gathering). Manusia alam menganut apa yang disebut sebagai agama alam, animisme, dinamisme, atau totenisme.
Kedua adalah manusia yang sudah menguasai alam sehingga ada kesan manusia sebagai raja di dunia, manusia pada peringkat ini di sebut sebagai manusia budaya (cultural man) yang hidupnya dilakukan dengan cara menghasilkan apa yang diperlukakan (food producing).
            Untuk itulah manusia berusaha mencipta alat yang dapat membantu mengatasi keterbatasan tersebut. Dengan peralatan tersebut, memang dapat mengetahui apa yang terkandung di dalam alam, tetapi sebahagia besar masih merupakan teka-teki. Mitos dan mitologi. Mitos adalah cerita rakyat yang dibuat-buat atau dongeng yang berkait dengan kejadian, gejala yang terdapat di alam, seperti tokoh, pelangi, petir, gempa bumi, dan manusia perkasa. Mitologi bererti pengetahuan tentang mitos, Mitologi merupakan kumpulan cerita-cerita mitos, banyak muncul pada zaman prasejarah, yang disampaikan dari mulut ke mulut atau secara lisan. Secara garis besar mitologi dapat dibezakan menjadi tiga pecahan. Mitos sebenarnya, cerita rakyat dan legenda. Mitos sebenarnya adalah manusia dengan imajinasinya berusaha secara sungguh-sungguh menerangkan gejala alam yang ada, namun usahanya belum dapat tepat kerana kurang memiliki pengetahuan sehingga sebahagian cerita dikaitkan dengan seseorang tokoh, dewa atau dewi.
Tujuan manusi menciptakan mitos, kerana pada saat itu manusia masih dalam tingkat peradapan mistik. Mereka percaya akan adanya kekuatan-kekuatan ghaib yang melebihi kekuatan manusia biasa. Dalam zaman demikianlah, mitos dipercayai kebenarannya kerana beberapa factor. Pertama, kerana keterbatasan pengetahuan manusia. Kedua, kerana keterbatasan pemikiran manusia. Ketiga, kerana keingintahuan manusia untuk sementara telah terpenuhi. Telah dikemukanan bahawa kebenaran memang harus dapat diterima oleh akal, tetapi sebahagian lagi dapat diterima secara intuisi, iaitu penerimaan atas dasar kata hati sesuatu itu benar. Kata hati yang rasional dalam kehidupan masyarakat awam sudah dapat diterima sebagai suatu kebenaran (pseudo science), kebenaran dan hasratnya ingin tahu sudah dipenuhi, paling tidak untuk sementara waktu, manusia berfikiran rasional; rasional adalah menerima sesuatu atas dasar kebenaran fikiran dan rasional. fahaman tersebut bersumber pada akal manusia yang diolah dalam otak. Dengan berfikir rasional, manusia meletakan hububgan dari apa yang telah diketahui dan yang sedang dihadapi. Kemampuan manusia mempergunakan daya akalnya disebut inteligensi, sehingga dapat disebutkan adanya manusia yang mempunyai intelegensinya rendah, normal dan tinggi.
Begitulah apa yang kita lihat melalui penelitian terhadap manusia. Agus Mustafa dalam penulisan Ibrahim pernah Atheis menerapkan teori psikolgi kognitif. Teori ini menekan bahawa manusia bahawa manusia tidak dilihat sebagai makhluk yang bereaksi secara pasif pada persekirannya tetapi berusaha memahami persekitarannya kerana manusia merupakan makhluk yang sentiasa berfikir (homo sapiens).
      Berdasarkan teoro ini, jiwa mentafsir pengalaman interaksi secara aktif dengan mencipta, mengorganisasi, mentafsir dan mencari makna. (seperti yang dipercayai oleh pelopor aliran rasionalisme seperti Immanuel kant dan Rene Descartes). Aliran Rasionalisme ini kemudian menjadi asas kepada aliran psikologi Gestalt yang melihat manusia sebagai orgamisme aktif yang mentafsir dan memahami persekitaran masing-masing sebelum memberi tindak balas. Manusia mengungkap pola rangsangan secara keselurahan dalam satuan pemikiran dan tindak balas kejiwaan.
            Pengertian yang mudah tentang psikologi kognitif ialah salah satu cabang dari psikologi dengan pendekatan kognitif  untuk memahami perilaku manusia. Ia mempelajari  tentang cara manusia menerima, mempersepsi, mempelajari, memahami, mengingat dan berfikir tentang sesuatu informasi.
            Oleh itu psikologi kognitif adalah kepercayaan seseorang tentang sesuatu yang didapatkan dari proses berfikir tentang seseorang atau sesuatu. Proses yang dilakuan adalah memperoleh pengetahuan dan memanipulasikan pengetahuan melalui aktiviti mengingat, menganalisis, memahami, menilai, membayangkan dan berbahasa. kapasiti atau kemampuan kognisi biasa diertikan sebagai kecerdasan atau inteligensi. bidang ilmu yang mempelajari kognisi beragam, dianataranya adalah psikologi, falsafah, komunikasi, neurosains serta kecerdasan buatan.
            Kepercayaan atau pengetahuan seseorang tentang sesuatu dipercayai dapat mempengaruhi sikap mereka dan pada akhirnya mempengaruhi perilaku atau tindakkan mereka terhadap sesuatu.
Kisah Ibrahim vs atheis adalah kisah pertarungan spiritual dalam diri kita sendiri. Jika kita jujur, senenarnya setiap kita akan mengalaminya. Jiwa akan terus bergolak antara kebodohan, keangkuhan dan keimanan.  Semua itu berjalan seiring dengan waktu, yang mengiring kita menuju ‘jalan pulang’.
Bukankah setiap kita bakal mati? Dan kembali kepada permulaan eksistensi (kewujudan) kita. Orang yang tidak bertuhan mengira kematian itu sebagai pengakhiran segalanya. Dari tiada kembali kepada tiada, tanpa ada konsekuensi (kesudahan) apa pun. sementara yang bertuhan mengembalikan semuanya kepada Sang Pencipta, sebagai sumber eksitensi. Dan kita bakal mempertanggungjawab atas semua perbuatan.
Kecerobohan dalam menyimpulkan dan bersikap bakal dibayar sangat mahal, semata-mata kerana keangkuhan dan kesombongan. Allah mengingatkan hal itu dalam firman-firmannNya. Bahawa orang-orang yang tak mempercayai kehidupan sesudah mati  adalah orang-orang yang bakal menyesali  kebodohannya. Yakni, ketika mereka sudah berada di alam barzakh, alam dimana jiwanya ternyata masih hidup meskipun badanya telah mati.
Maka, agar tidak terjadi penyesalan akibat kebodohan kita sendiri, Allah menganjurkan supaya kita berhati-hati, berfikir terbuka dan rendah hati menarima segala kemungkinan. Dengan cara ini, Insya’Allah hikmah akan bermunculan menyempurnakan kesimpulan yang kita ambil dalam menyikapi kehidupan.
Bahawa, realiti ini bukan hanya yang kelihatan dan boleh dibuktikan secara pengelihatan. Kerana ia hanya menepati sebahagian kecil tidak sampai lima peratus dari realiti alam semesta. Jika kita terlalu sombong  untuk menerima kenyataan ini maka cubalah menggeser  keangkuhan tidak berdasar yang telah kita pegang selama ini, untuk mengobservasi (memerhatikan) realiti yang lebih mendalam. Di dalam Al-Qur’an diistilahkan sebagai hal-hal ghaib yang tak kasat mata (tidak keterlihatan; pedadogi tampak). Kerana, dengan cara ini kita telah membuka reality tersembunyi yang peratusannya lebih dari 95 peratus.

Kegaiban yang tidak kelihatan itu tidak boleh difahami dengan logik dan rasionalisasi semata-mata, melainkan mesti diceburi dengan proses-proses spiritual yang lebih professional dan mendalam. Jika tidak, kita akan terkena sindiran Al-Qur’an, yang menyebut kita hanya bermain perkiraan dan menduga-duga realiti ghaib itu dari kejauhan. Dan kita akan terus berada dalam keragu-raguan yang mendalam.

Smua terpulang kepada kita sendiri. Sebab kehidupan ini bukan bukan soal objektif, melainkan subjektif. Ternyata semua mesti dimulai dari niat yang subjektif kerana segala objektif hanyalah subordinasi (subordination; pentaksetaraan) dari apa yang kita persepsikan dalam memahami realiti. Penemuan-penemuan moden tentang relativiti dan ketidak-pastian segala sesuatu  telah menjadi landasan yang kuat bahawa subjektiviti memang lebih dominan daripada objektiviti. Bahawa realiti tidak lebih hanyalah manifestasi dari subjektiviti yang disepakati.

Jika kita sependapat dalam hal ini, maka sekaranglah saatnya untuk menata persepsi subjektiniti kita. Memasuki proses spirituality yang jauh lebih mendasar  dari sekadar bermain-main logika dan rasionalitasi yang hanya berada dipermukaan realiti. Kerana, cara itu tak akan pernah menyentuh substansi.

Jika kita bertujuan untuk bertemu dengan Sang Maha realiti yang Maha Subjektif. Tidak ada jalan lain, kecuali kita menata diri kita dengan cara subjektif yang telah diajar olehnya. Agar Dia berkenan hadir  dalam keseluruhan kesedaran kita. Dalam segala peristiwa yang kita lalui. Dengan cara itulah Ibrahim memperoleh kedalaman spiritualnya, sehingga Allah  memperlihatkan tanda-tanda keagungannya di alam semesta yang sedang diperhatikan.   


   



Ahad, 9 Februari 2014

Penekanan Akhlak Dalam Penyebaran Agama



Ulasan buku: Kisah Wali Songo Penyebaran Agama                      Islam diTanah Jawa

Tajuk : Penekanan Akhlak dalam penyebaran                       Agama.

Hikayat merupakan salah satu bidang kesusteraan Melayu silam. Cerita-cerita hikayat biasanya berbentuk panjang dan menceritakan mengenai seseorang atau kejadian yang penting seperti sejarah atau cerita roman fiktif bertujuan untuk hiburan serta pembangkit semangat juang.

 Kebiasaannya cerita hikayat adalah warisan dari penceritaan secara lisan, dengan itu ia mengekalkan format penceritaan lisan. Kebanyakan cerita hikayat ditulis dalam bentuk dimana, pembaca akan membacanya secara kuat untuk didengari oleh pendengar.

            Wali songo adalah nama yang tidak asing dikalangan masyarakat Indonesia, terutamanya masyarakat Islam yang tinggal di Pulau Jawa. Umumnya kita mengetahui Walisongo hanyalah sembilan orang iaitu Syed Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Giri, Sunan Drajad, Sunan Kalijaga, Sunan Kudus, Sunan Muria dan Sunan Gunung Jati.

            Sebenarnya Walisongo adalah nama satu Dewan Dakwah atau Dewan Mubaligh. Apabila salah seorang ahli dewan tersebut meninggal dunia maka akan segera diganti dengan ahli yang baharu.

            Seperti yang tertulis dalam Kitab Kanzul Ulum Ibnu Bathuthah yang penulisannya dilanjutkan oleh Syeh Maulana Al-Maghrobi, Walisongo mengadakan musyawarah sebanyak tiga kali iaitu :

1.       1404 M adalah sembilan wali.
2.       1436 M masuk tiga wali menggantikan yang wafat.
3.       1463 M masuk empat wali menggantikan yang wafat dan pergi.

Menurut KH. Dachian Abd. Qohar, pada tahun 1466 M, Walisongo sekali lagi mengadakan musyawarah untuk membincangkan pelbagai hal. Diantaranya adalah perakara mengenai Syeh Siti Jenar.

Apa yang dapat kita amati ‘kisah Wali Songo’  merupakan karya sastera  berbentuk Islamik. Dimana watak yang dipertonjolkan adalah tokoh-tokoh yang menyebarkan agama Islam di sekitar Tanah Jawa.

Menurut R.O. Winstedt dalam bukunya A History Of Classical Malay Literature dalam bab 6 mencatatkan bahawa, terdapat 3 naskhah atau manuskrip sastera Islam iaitu Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, dan Hikayat Iskandar Zulkarnain, Ketiga-tiga cerita ini digolongkan  sebagai cerita-cerita  kepahlawanan islam. Dua daripada cerita ini pernah disebutkan dalam naskhah Sejarah Melayu dibaca oleh orang-orang muda Melaka di malam hari sebagai salah satu cara untuk mempertingkatkan semangat mereka menentang orang-orang Portugis. Teks-teks seperti  ini dikarang oleh para pendakwah Islam semasa mereka menjalankan aktiviti dakwah. Teks-teks cerita mengenai kepahlawanan Islam ini berupaya menandingi teks-teks daripada tradisi Hindu seperti Ramayana dan juga Mahabarata.

Terdapat  juga karya-karya yang digolongkan sebagai sastera Islam ini menceritakan kisah para nabi dan rasul misalnya Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat Nabi Yusuf, Qisas al-Anbia, Hikayat Zakaria, dan Hikayat Nabi Musa. tujannya ialah supaya masayarakat islam mengetahui cerita yang lebih panjang mengenai para nabi dan rasul lebih daripada yang terdapat di dalam Al-Quran dan juga kitab tafsir. kisah nabi dan rasul ini dipercayai dikarang pada abad ke 17M. Sebelum itu kisah para nabi serta rasul hanya berkembang atau diceritakan secara lisan dalam masyarakat Melayu (Ismail Hamid, 1990;87).

Selain itu, terdapat juga beberapa buah teks menceritakan kisah orang-orang soleh. Contohnya Hikayat Jumjumah atau Tengkorak Kering, Hikayat Lukman al-Hakim, Hikayat Sultan Ibrahim Adham dan Hikayat Abu Yazid al-Bistami. Isi kandungan teks-teks ini menceritakan tentang sesuatu watak yang mempunyai ilmu dan tingkat keimanan yang tinggi.

Kesemua teks-teks yang disebutkan di atas adalah berbahasa Melayu dan dikarang oleh pengarang Melayu dalam tulisan jawi, cuma tidak diketahui bila tarikh ditulis atau digubah semula dan siapa pengarangnya. Tentang sumbernya pula bersumberkan dari Parsi dan Arab. Hal ini tidak dinafikan kerana telah ramai sarjana-sarjana yang telah mengkaji baik dari barat mahupun tempatan antaranya seperti Werdly R.O Winstedt, Van Ronkel, Brakel dan Ismail Hamid. Kesemua sarjana-sarjana ini sepakat menyatakan hikayat-hikayat di atas di karang oleh pengarang melayu. Tujuan hikayat sebegini ditulis tidak lain untuk menambahkan lagi keimanan  dan keyakinan  Umat Islam terhadap agama Islam yang menjadi anutan mereka.

Apakah kesemua teks-teks di atas dapat diterima sebagai teks sastera Islam atau hanya layak digolongkan sebagai teks sastera bercorak Islam? Ini kerana teks tadi telah mengalami proses kreativiti pengarang (tokok tambah) yang mungkin sukar diterima oleh sesetengah golongan pembaca jika ia hendak digolongkan sebagai teks sastera Islam. Kesusteraan  Islam  itu sepatutnya tidak terbatas kepada teks-teks yang berasal dari tradisi Arab dan juga Parsi semata-mata seperti sajak, cerpen, dan juga novel. Ini kerana teks-teks yang disenutkan diatas tadi juga adalah cerita rekaan yang berasaskan kepada fakta-fakta yang benar-benar berlaku. Cuma pengarang telah melakukan tokok tambah disana-sini bagi tujuan untuk memperindahkan lagi cerita berkenaan. Bagaimanapun sastera Islam memerlukan satu konsep yang jelas supaya hanya teks yang benar bercirikan Islam dapat digolongkan sebagai sastera Islam.

Ismail Hamid dalam kertas kerja beliau yang bertajuk “Ciri-Ciri Cereka Keislaman” telah memberikan beberapa cirri yang dapat digunakan untuk menentukan sesebuah karya itu boleh digolongkan sebagai sastera Islam atau bukan. Menurut beliau :

“Cerita-cerita yang terkandung di dalam al-Quran dari kisah-kisah yang digubah kembali oleh pengarang-pengarang Islam dalam bentuk antologi cerita-cerita nabi yang pelbagai versi  itu dapat dijadikan modal dalam penghasilan cereka bercorak Islam. Tegasnya asas-asas cereka yang terdapat dalam kisah-kisah tersebut dapat dijadikan titik penulisan Islam” (1995:218).

Dalam sesebuah cereka Islam watak utama tidak semestinya seorang tokoh agama seperti ustaz, lebai, kiai dan sebagainya, tetapi watak protagonis itu harus memperlihatkan nilai-nilai Islam bagi memperkukuhkan keimanan kepada Allah atau menegakkan kebaikan dan keadailan seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Cereka Islam juga harus mempunyai amanat kebaikan seperti yang dianjurkan oleh Islam.  Unsur konflik merupakan salah satu aspek struktur cereka Islam yang harus memperlihatkan pertentangan antara kekuatan kebaikan dengan kejatan, antara moral dengan immoral, antara kezaliman dan keadilan. Cereka Islam harus menegaskan bahawa tindak-tanduk yang bercorak immoral dan akan mengakibatkan padah kepada manusia serta masyarakat. Sementara itu unsur ketidakadilan boleh membawa ketidakstabilan dalam masyarakat manusia.

Ismail juga menegaskan bahawa dalam cereka Islam, Konflik antara dua unsur yang bertentangan digambarkan dalam plot cerita harus memperlihatkan unsur positif pada penekanan kejahatan. Penekanan kebaikan dan unsur negatif pada penekanan kejahatan. Penekanan watak-watak antoganis dan tindak-tanduk atau pelakunya yang jahat dan immoral pula digambarkan secara tidak keterlaluan sehingga membangkitkan nafsu pembaca dan mendorong mereka melakukan perbuatan  yang  sama.

Pengarang cereka Islam juga mempunyai daya kreativiti untuk menghasilkan karya yang digambarkan dengan memenuhi keperluan estetik. Dalam penghasilan karya tersebut pengarang boleh menggunakan pelbagai struktur cereka tetapi kreativiti pengarang dalam karya dibatasi oleh gambaran  yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip agama Islam. Sebagai sebuah cereka sastera Islam semestinya memenuhi unsur estetik untuk menjadikan sesebuah karya Islam lebih bercorak ditaktik dalam fungsinya, namun jika stuktur ceritanya digubah dengan pelbagai teknik yang estetik, maka cereka itu  tetap akan menjadi sesebuah karya yang baik bermutu (1995: 218-219)  

Apa yang kita  dapat lihat dalam Kisah Wali Songo ini ialah bagaimana ketokohan para ulama mengembangkan ajaran Islam. Penekanan akhlak banyak dipertonjolkan bagi memikat pembaca untuk mendalami Islam.

Islam merangkumi aqidah dan syariat itu mengandungi roh Akhlak. Akhlak adalah risalah Islam sementara syariat adalah lembaga jelmaan daripada roh tersebut. Ini bererti Islam tanpa akhlak seperti rangka yang tidak mempunyai isi atau jasad yang tidak bernyawa. Oleh itu salah satu misi yang dibawa oleh Rasullullah saw ialah membina kembali akhlak manusia yang telah runtuh sejak zaman para nabi terdahulu ekoran penyembahan berhala oleh pengikut yang telah menyelewang.

Hal ini telah berlaku pada zaman jahiliyyah dimana akhlak manusia telah runtuh berpunca daripada mewarisi perangai umat yang terdahulu dengan tradisi meminum arak, membuang anak, membunuh, melakukan kezaliman sesuka hati, menindas, suka memulaukan kaum yang rendah martabatnya dan sebaginya. dengan itu mereka sebenarnya tidak berakhlak dan tidak ada bezanya dengan manusia yang tidak beragama.

Kekalnya sesustu ummah juga kerana kukuhnya akhlak dan begitu juga runtuhnya sesuatu ummah itu kerana lemahnya akhlaknya. Hakikat kenyataan di atas dijelaskan dalam kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia melalui al-Quran seperti kisah kaum Lut, Samud, kaum nabi Ibrahim, Bani Israel dan lain-lain. Ketiadaan akhlak yang baik pada diri individu atau masyarakat akan menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat belia yang mundur dan boleh membawa kehancuran sesebuah negara.

Pencerminan diri seseorang sering digambarkan melalui tingkah laku atau akhlak yang ditunjukkan. Malahan akhlak merupakan perhiasan diri bagi seseorang sebagaimana aqidah merupakan tunjang agama, syariat merupakan cabang dan rantingnya manakala akhlak adalah yang mewarnai seperti bunga-bungaan yang menyerikan hiasan pokok tersebut.

Akhlak tidak dapat dibeli atau dinilai dengan wang ringgit Ia wujud di dalam diri seseorang hasil daripada didikan kedua ibu bapa atau penjaga serta pengaruh dari masyarakat sekeliling mereka. Jika sejak kecil kita didedahkan dengan akhlak yang mulia, maka secara tidak langsung ia akan mempengaruhi tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari hinggalah seterusnya.

Proses pembentukan sesebuah masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Kalau dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, begitu juga dengan membentuk masyarakat mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya terlebih dahulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegaklah masyarakat itu. Jika lemah maka robohlah apa-apa sahaja yang dibina di atasnya.

Akhlak amat penting kerana merupakan asas yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika memulakan pembentukan masyarakat Islam. Sheikh Mohamad Abu  Zahrah dalam kitabnya Tanzim al-Islam Li al-Mujtama' menyatakan bahawa budi pekerti atau moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia yang berhati bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas, cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan.


Rujukan
1.      Zahir bin Ahmad, Peranan Sastera Islam Dalam Pempentukkan Akhlak Penduduk Alam Melayu, Jurnal Pengajian Melayu Jilid 15,2005
2.      Asnan Wahyudi-Abu Khalid MA, Kisah Wali Songo Penyebaran Agama Islam Ditanah Jawa, Karya Ilmu, Surabaya

3.      https://sites.google.com/site/khazalii/4udi2052akhlakdalamislam
Resensi Buku  : Melawan  Lupa.

Tajuk : Melawan Agenda Pelupaan.

Sebaik sahaja membaca judul buku ini, pasti membuatkan pembaca tertanya – tanya. Apa itu Melawan Lupa? Perlawanan yang  bagaimana yang sedang diperjuangkan? Dan apa kaitan lupa dalam perlawanan?

Tajuk buku ini sendiri telah menarik minat khalayak untuk menggali makna “Melawan Lupa”. Ringkasnya buku ini mengangkat sejarah yang berupa tragedy hitam sewaktu 1965. Ia bukanlah untuk menabur garam di luka lama tetapi menceritakan bagaimana generasi kini merawat ingatan mereka dari sejarah awalnya. Sejarah merupakan kebudayaan yang dicitrakan dan disimulasikan dengan penuh pesona dan kebaikan demi menutup masa lalu yang  penuh  rona dan pergolakan.

Dengan tertubuhnya Komuniti Taman 65, ia banyak membincangkan isi keperitan mangsa serta kesan psikologi yang dialami oleh mangsa dan keluarga yang  terlibat. Sampai saat ini banyak pertanyaan belum terjawab misalnya apakah memang  benar Gerakan 30 September 1965 itu didalangi oleh PKI, sehingga dalam buku – buku sejarah sekolah masih dikenal dengan G30/S – PKI atau sebenarnya kejadian ini adalah konspirasi besar yang melibatkan Negara – Negara adidaya (kuasa besar) dengan mengunakan  tangan Soeharto dan angkatan darat untuk ‘menerbitkan’ Indonesia yang sedang mengambil haluan kiri. Namun, G30/S, dengan PKI atau tanpa PKI di belakangnya, tetaplah menyisahkan sejarah kelam bangsa ini yang ditulis dengan darah ratusan ribu orang dan saat ini permintaan maaf dari negara terhadap korban pun belum juga terucap.

Pada titik inilah, anak – anak muda sekitar Denpasar berkumpul dan membentuk Komunitas Taman 65. Sebagai wadah untuk belajar alternatif terutama mencuba mencari kepingan – kepingan sejarah peristiwa 1965 yang  tercicir dan tersejarah oleh kuasa.

Komuniti Taman 65 ini juga digelar sebagai pasukan menunggu sore (PNS). Petang merupakan waktu di mana para kelas pekerja mengembalikan keceriaannya melalui kerja budaya setelah seharian bergelut dengan rutin kerja. Kerja– kerja budayalah yang menjadikan manusia seutuhnya kerana budaya merupakan ruang ekspresif serta menjadi ruang interaksi satu sama lain tanpa keterasingan. Hal ini jelas sekali berbeza dengan kerja produksi yang harus dilakukan dari pagi hari di mana seorang manusia berperanan menjadi robot kerana perhubungan dengan orang lain, dibangunkan atas dasar hubungan produksi – pengedaran – penggunaan.

Dalam penyajiannya, buku ini tidaklah bersifat akademik. Cara tutur yang jujur, mengalir apa adanya, merupakan pengaruh dari gaya bercerita ala kesiman, sebuah nama tempat di Denpasar Timur. Banyak di antaranya menggunakan kata ganti nama orang pertama (aku, penulis, saya) lengkap pula dengan ekspresi emosi memberi kesan bahawa pembaca seolah – olah mendengar cerita lisan dan mengambil posisi  tanpa jarak dengan penulisnya.

Buku ini termasuk dalam tema besar iaitu, dalam  tema ‘kesejarahan’ berisi tulisan – tulisan yang bercerita tentang sejarah, mengenai apa yang terjadi pada tahun 1965, hingga dampak dari peristiwa tersebut terhadap keluarga dan komuniti. Pada bab “Dinamika komunitas” tulisan – tulisan tentang pengalaman, cara pandang dan refleksinya terhadap komunitas Taman 65. Dalam bab ‘Pergulatan Nilai’ tulisan – tulisan yang dibuat umumnya bertemakan beberapa nilai, idea atau pemikiran yang seringkali menjadi bahan diskusi di antara penggiat Taman 65.

Buku ini pada dasarnya menceritakan tentang sebuah harapan. Harapan pasti selalu ada di hadapan. 

Ia tidak berhenti dengan bersungut – sungut dan menyesali kejadian masa lalu, malah tidak sama sekali meninggalkannya. Jangan lupakan masa lalu kerana kita tidak akan punya masa depan.

Dalam era serba moden ini generasi muda terutamanya, semakin hari semakin tandus dalam mengamati sejarah yang berlegar dalam kehidupan hariannya. Malah mereka memikirkan sejarah ini sebuah bebanan. ‘Tidak perlu diungkit – ungkit perkara yang lalu’ begitulah pandangan generasi masa kini. Jika anda bertemu dengan kolompok begini bimbinglah mereka agar mereka tidak terus melupakan apa yang telah terjadi.

Selesai membaca buku ‘Melawan Lupa’ ini tentu akan mengingatkan pembaca akan tragedy – tragedy hitam yang berlaku di Malaysia yang makin dilupai malah tidak tertulis dalam buku sejarah di sekolah. Antaranya ialah peristiwa Memali yang terjadi di Baling Kedah. Kisah para pejuang yang tidak diangkat malah dituduh sebagai pengkhianat iaitu Mat Indera. Begitu juga para pejuang yang menentang penaklukan British seperti Tuan Guru Hassan Bin Munas atau dikenali sebagai Tok Janggut (1915) dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong (1922 – 1928) di Tanah Melayu. Malangnya bagi kita generasi baru, walaupun kejayaan menentang penjajahan adalah kerana kegigihan ulama dan pendokongnya tetapi buah kemanisan kejayaan kemerdekaan telah dipetik oleh golongan secular kanan yang telah dibentuk dan dididik dalam rangka acuan pemikiran penjajahan. Golongan sekular kanan berpendidikan Barat inilah yang telah mengisi kemerdekaan dengan sistem dan nilai – nilai yang ditinggalkan oleh penjajah. Mereka mencedok dengan penuh bangga kemajuan ‘material’ Barat yang kosong.

Mengambil contoh lain, di mana konspirasi pelupaan ini telah berlaku sekitar tahun 1254 lagi di mana ketika itu zaman kegemilangan Islam. Seperti yang kita tahu hospital pertama didirikan oleh orang Islam. 

Sarjana perubatan Islam Parsi merupakan pelopor dalam pembinaan hospital tersebut. Malah nama hospital berkenaan diambil sempena perkataan Parsi. Sebelum ini pengamal perubatan tidak mempunyai tempat yang khusus untuk merawat pesakit. Namun pembukaan hospital Bimaristan merupakan kemuncak pengembangan ilmu perubatan di dunia dan puncak ketamadunan ilmu sarjana timur zaman pertengahan. 

Beberapa tahun selepas penubuhannya, Bimaristan telah menjadi sebuah universiti yang banyak melahirkan pakar perubatan.

Rahsia keilmuan ini kemudiannya terbongkar sewaktu perang salib kedua sekitar tahun 1254 – 1260. Ketika itu, Raja Louis IX melihat kehebatan orang Islam merawat dan menyembuhkan penyakit termasuklah ilmu pembedahan dan penyembuhan luka. Keadaan itu membuatkan beliau terfikir akan sesuatu. Beliau beranggapan walau sebesar mana pun angkatan perang tentera salib, mereka tidak mungkin akan menang.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari peperangan , Raja Louis IX berkata, “Kita tidak boleh kalahkan mereka dengan peperangan selagi kita tidak lupakan sejarah kehebatan mereka”.

Lalu bertanya seorang pembesar Perancis kepada beliau tentang bagaimana harus mereka pesongkan sejarah kehebatan mereka sedangkan kita tidak tahu apa yang mereka tahu. Lalu Raja Louis berkata, ‘kitalah orang yang akan menulis sejarah untuk mereka’.

Selepas sampai di Perancis, Lois IX mengarahkan sebuah hospital dibina di paris. Hospital ini bernama Quinze – Vingts. Dipercayai, inilah permulaan New World Order (NWO) di dunia. Zaman pencerahan Eropah sebenarnya rancangan penulisan sejarah untuk dipercayai orang-orang Islam supaya mereka lupa tentang diri mereka.

Sejarah merupakan satu cabang ilmu yang mempunyai peranan sangat penting terutamanya bagi kita yang berbilang keturunan. Pengetahuan tentang sejarah membolehkan kita mengenal pasti latar belakang sesebuah masalah, tindakan atau sesuatu isu. Dengan itu dapat kita jadikan sebagai garis panduan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Sejarah merupakan guru yang dapat mengelakkan kita dari mengulangi kesilapan. Ia memberi taulan dan menunjukkan batasan. Kajian sejarah mendorong kita mencari kebenaran dan bersikap kritis. Selain  itu ia juga turut membangkitkan perasaan bangga terhadap negara.

Malahan sejarah adalah satu alat yang penting untuk mencipta keperibadian kebangsaan.

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah, sejarah itu tidak wajar pandang pada hitam dan putih kerana sejarah ialah merakaman rentetan peristiwa sebenar (real) tanpa dinodai oleh mana-mana pihak terutamanya tangan – tangan penguasa mahupun badan politik yang ingin menjaga kepentingan sendiri. Jika hal ini berlaku maka ia harus ditentang kerana pekara ini telah mencabuli kebenaran yang mutlak. Pencabulan beginilah yang harus dibendung kerana ia merupakan salah satu agenda pelupaan yang di ciptakan oleh tangan – tangan yang tidak bertanggungjawab.