Ahad, 9 Februari 2014

Penekanan Akhlak Dalam Penyebaran Agama



Ulasan buku: Kisah Wali Songo Penyebaran Agama                      Islam diTanah Jawa

Tajuk : Penekanan Akhlak dalam penyebaran                       Agama.

Hikayat merupakan salah satu bidang kesusteraan Melayu silam. Cerita-cerita hikayat biasanya berbentuk panjang dan menceritakan mengenai seseorang atau kejadian yang penting seperti sejarah atau cerita roman fiktif bertujuan untuk hiburan serta pembangkit semangat juang.

 Kebiasaannya cerita hikayat adalah warisan dari penceritaan secara lisan, dengan itu ia mengekalkan format penceritaan lisan. Kebanyakan cerita hikayat ditulis dalam bentuk dimana, pembaca akan membacanya secara kuat untuk didengari oleh pendengar.

            Wali songo adalah nama yang tidak asing dikalangan masyarakat Indonesia, terutamanya masyarakat Islam yang tinggal di Pulau Jawa. Umumnya kita mengetahui Walisongo hanyalah sembilan orang iaitu Syed Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Giri, Sunan Drajad, Sunan Kalijaga, Sunan Kudus, Sunan Muria dan Sunan Gunung Jati.

            Sebenarnya Walisongo adalah nama satu Dewan Dakwah atau Dewan Mubaligh. Apabila salah seorang ahli dewan tersebut meninggal dunia maka akan segera diganti dengan ahli yang baharu.

            Seperti yang tertulis dalam Kitab Kanzul Ulum Ibnu Bathuthah yang penulisannya dilanjutkan oleh Syeh Maulana Al-Maghrobi, Walisongo mengadakan musyawarah sebanyak tiga kali iaitu :

1.       1404 M adalah sembilan wali.
2.       1436 M masuk tiga wali menggantikan yang wafat.
3.       1463 M masuk empat wali menggantikan yang wafat dan pergi.

Menurut KH. Dachian Abd. Qohar, pada tahun 1466 M, Walisongo sekali lagi mengadakan musyawarah untuk membincangkan pelbagai hal. Diantaranya adalah perakara mengenai Syeh Siti Jenar.

Apa yang dapat kita amati ‘kisah Wali Songo’  merupakan karya sastera  berbentuk Islamik. Dimana watak yang dipertonjolkan adalah tokoh-tokoh yang menyebarkan agama Islam di sekitar Tanah Jawa.

Menurut R.O. Winstedt dalam bukunya A History Of Classical Malay Literature dalam bab 6 mencatatkan bahawa, terdapat 3 naskhah atau manuskrip sastera Islam iaitu Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, dan Hikayat Iskandar Zulkarnain, Ketiga-tiga cerita ini digolongkan  sebagai cerita-cerita  kepahlawanan islam. Dua daripada cerita ini pernah disebutkan dalam naskhah Sejarah Melayu dibaca oleh orang-orang muda Melaka di malam hari sebagai salah satu cara untuk mempertingkatkan semangat mereka menentang orang-orang Portugis. Teks-teks seperti  ini dikarang oleh para pendakwah Islam semasa mereka menjalankan aktiviti dakwah. Teks-teks cerita mengenai kepahlawanan Islam ini berupaya menandingi teks-teks daripada tradisi Hindu seperti Ramayana dan juga Mahabarata.

Terdapat  juga karya-karya yang digolongkan sebagai sastera Islam ini menceritakan kisah para nabi dan rasul misalnya Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat Nabi Yusuf, Qisas al-Anbia, Hikayat Zakaria, dan Hikayat Nabi Musa. tujannya ialah supaya masayarakat islam mengetahui cerita yang lebih panjang mengenai para nabi dan rasul lebih daripada yang terdapat di dalam Al-Quran dan juga kitab tafsir. kisah nabi dan rasul ini dipercayai dikarang pada abad ke 17M. Sebelum itu kisah para nabi serta rasul hanya berkembang atau diceritakan secara lisan dalam masyarakat Melayu (Ismail Hamid, 1990;87).

Selain itu, terdapat juga beberapa buah teks menceritakan kisah orang-orang soleh. Contohnya Hikayat Jumjumah atau Tengkorak Kering, Hikayat Lukman al-Hakim, Hikayat Sultan Ibrahim Adham dan Hikayat Abu Yazid al-Bistami. Isi kandungan teks-teks ini menceritakan tentang sesuatu watak yang mempunyai ilmu dan tingkat keimanan yang tinggi.

Kesemua teks-teks yang disebutkan di atas adalah berbahasa Melayu dan dikarang oleh pengarang Melayu dalam tulisan jawi, cuma tidak diketahui bila tarikh ditulis atau digubah semula dan siapa pengarangnya. Tentang sumbernya pula bersumberkan dari Parsi dan Arab. Hal ini tidak dinafikan kerana telah ramai sarjana-sarjana yang telah mengkaji baik dari barat mahupun tempatan antaranya seperti Werdly R.O Winstedt, Van Ronkel, Brakel dan Ismail Hamid. Kesemua sarjana-sarjana ini sepakat menyatakan hikayat-hikayat di atas di karang oleh pengarang melayu. Tujuan hikayat sebegini ditulis tidak lain untuk menambahkan lagi keimanan  dan keyakinan  Umat Islam terhadap agama Islam yang menjadi anutan mereka.

Apakah kesemua teks-teks di atas dapat diterima sebagai teks sastera Islam atau hanya layak digolongkan sebagai teks sastera bercorak Islam? Ini kerana teks tadi telah mengalami proses kreativiti pengarang (tokok tambah) yang mungkin sukar diterima oleh sesetengah golongan pembaca jika ia hendak digolongkan sebagai teks sastera Islam. Kesusteraan  Islam  itu sepatutnya tidak terbatas kepada teks-teks yang berasal dari tradisi Arab dan juga Parsi semata-mata seperti sajak, cerpen, dan juga novel. Ini kerana teks-teks yang disenutkan diatas tadi juga adalah cerita rekaan yang berasaskan kepada fakta-fakta yang benar-benar berlaku. Cuma pengarang telah melakukan tokok tambah disana-sini bagi tujuan untuk memperindahkan lagi cerita berkenaan. Bagaimanapun sastera Islam memerlukan satu konsep yang jelas supaya hanya teks yang benar bercirikan Islam dapat digolongkan sebagai sastera Islam.

Ismail Hamid dalam kertas kerja beliau yang bertajuk “Ciri-Ciri Cereka Keislaman” telah memberikan beberapa cirri yang dapat digunakan untuk menentukan sesebuah karya itu boleh digolongkan sebagai sastera Islam atau bukan. Menurut beliau :

“Cerita-cerita yang terkandung di dalam al-Quran dari kisah-kisah yang digubah kembali oleh pengarang-pengarang Islam dalam bentuk antologi cerita-cerita nabi yang pelbagai versi  itu dapat dijadikan modal dalam penghasilan cereka bercorak Islam. Tegasnya asas-asas cereka yang terdapat dalam kisah-kisah tersebut dapat dijadikan titik penulisan Islam” (1995:218).

Dalam sesebuah cereka Islam watak utama tidak semestinya seorang tokoh agama seperti ustaz, lebai, kiai dan sebagainya, tetapi watak protagonis itu harus memperlihatkan nilai-nilai Islam bagi memperkukuhkan keimanan kepada Allah atau menegakkan kebaikan dan keadailan seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Cereka Islam juga harus mempunyai amanat kebaikan seperti yang dianjurkan oleh Islam.  Unsur konflik merupakan salah satu aspek struktur cereka Islam yang harus memperlihatkan pertentangan antara kekuatan kebaikan dengan kejatan, antara moral dengan immoral, antara kezaliman dan keadilan. Cereka Islam harus menegaskan bahawa tindak-tanduk yang bercorak immoral dan akan mengakibatkan padah kepada manusia serta masyarakat. Sementara itu unsur ketidakadilan boleh membawa ketidakstabilan dalam masyarakat manusia.

Ismail juga menegaskan bahawa dalam cereka Islam, Konflik antara dua unsur yang bertentangan digambarkan dalam plot cerita harus memperlihatkan unsur positif pada penekanan kejahatan. Penekanan kebaikan dan unsur negatif pada penekanan kejahatan. Penekanan watak-watak antoganis dan tindak-tanduk atau pelakunya yang jahat dan immoral pula digambarkan secara tidak keterlaluan sehingga membangkitkan nafsu pembaca dan mendorong mereka melakukan perbuatan  yang  sama.

Pengarang cereka Islam juga mempunyai daya kreativiti untuk menghasilkan karya yang digambarkan dengan memenuhi keperluan estetik. Dalam penghasilan karya tersebut pengarang boleh menggunakan pelbagai struktur cereka tetapi kreativiti pengarang dalam karya dibatasi oleh gambaran  yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip agama Islam. Sebagai sebuah cereka sastera Islam semestinya memenuhi unsur estetik untuk menjadikan sesebuah karya Islam lebih bercorak ditaktik dalam fungsinya, namun jika stuktur ceritanya digubah dengan pelbagai teknik yang estetik, maka cereka itu  tetap akan menjadi sesebuah karya yang baik bermutu (1995: 218-219)  

Apa yang kita  dapat lihat dalam Kisah Wali Songo ini ialah bagaimana ketokohan para ulama mengembangkan ajaran Islam. Penekanan akhlak banyak dipertonjolkan bagi memikat pembaca untuk mendalami Islam.

Islam merangkumi aqidah dan syariat itu mengandungi roh Akhlak. Akhlak adalah risalah Islam sementara syariat adalah lembaga jelmaan daripada roh tersebut. Ini bererti Islam tanpa akhlak seperti rangka yang tidak mempunyai isi atau jasad yang tidak bernyawa. Oleh itu salah satu misi yang dibawa oleh Rasullullah saw ialah membina kembali akhlak manusia yang telah runtuh sejak zaman para nabi terdahulu ekoran penyembahan berhala oleh pengikut yang telah menyelewang.

Hal ini telah berlaku pada zaman jahiliyyah dimana akhlak manusia telah runtuh berpunca daripada mewarisi perangai umat yang terdahulu dengan tradisi meminum arak, membuang anak, membunuh, melakukan kezaliman sesuka hati, menindas, suka memulaukan kaum yang rendah martabatnya dan sebaginya. dengan itu mereka sebenarnya tidak berakhlak dan tidak ada bezanya dengan manusia yang tidak beragama.

Kekalnya sesustu ummah juga kerana kukuhnya akhlak dan begitu juga runtuhnya sesuatu ummah itu kerana lemahnya akhlaknya. Hakikat kenyataan di atas dijelaskan dalam kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia melalui al-Quran seperti kisah kaum Lut, Samud, kaum nabi Ibrahim, Bani Israel dan lain-lain. Ketiadaan akhlak yang baik pada diri individu atau masyarakat akan menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat belia yang mundur dan boleh membawa kehancuran sesebuah negara.

Pencerminan diri seseorang sering digambarkan melalui tingkah laku atau akhlak yang ditunjukkan. Malahan akhlak merupakan perhiasan diri bagi seseorang sebagaimana aqidah merupakan tunjang agama, syariat merupakan cabang dan rantingnya manakala akhlak adalah yang mewarnai seperti bunga-bungaan yang menyerikan hiasan pokok tersebut.

Akhlak tidak dapat dibeli atau dinilai dengan wang ringgit Ia wujud di dalam diri seseorang hasil daripada didikan kedua ibu bapa atau penjaga serta pengaruh dari masyarakat sekeliling mereka. Jika sejak kecil kita didedahkan dengan akhlak yang mulia, maka secara tidak langsung ia akan mempengaruhi tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari hinggalah seterusnya.

Proses pembentukan sesebuah masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Kalau dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, begitu juga dengan membentuk masyarakat mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya terlebih dahulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegaklah masyarakat itu. Jika lemah maka robohlah apa-apa sahaja yang dibina di atasnya.

Akhlak amat penting kerana merupakan asas yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika memulakan pembentukan masyarakat Islam. Sheikh Mohamad Abu  Zahrah dalam kitabnya Tanzim al-Islam Li al-Mujtama' menyatakan bahawa budi pekerti atau moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia yang berhati bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas, cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan.


Rujukan
1.      Zahir bin Ahmad, Peranan Sastera Islam Dalam Pempentukkan Akhlak Penduduk Alam Melayu, Jurnal Pengajian Melayu Jilid 15,2005
2.      Asnan Wahyudi-Abu Khalid MA, Kisah Wali Songo Penyebaran Agama Islam Ditanah Jawa, Karya Ilmu, Surabaya

3.      https://sites.google.com/site/khazalii/4udi2052akhlakdalamislam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan