Khamis, 30 Oktober 2014

Industri Filem Malaysia Harus Seimbang

Industri Filem Malaysia Harus Seimbang


Hanya tiga buah filem inggeris berkisahkan tentang penulis (watak utamanya adalah penulis) yang pernah aku tonton. Pertama Finding Neverland 2004 menyisahkan tentang  seorang penulis Scotland JM Barrie, yang melahirkan sebuah drama pentas yang berjudul Peter  Pan yang terinspirasi daripada hubungan platonik (hubungan yang terlahir bukan kerana dorongan nafsu) Sylvia Llewelyn Davies, dan persahabat rapat dengan  anak-anaknya terutamanya Peter.

Filem kedua ialah The Ghost Writer 2010. Lakonan Ewan McGregor sebagai watak penulis yang tidak diberi nama, ditugaskan untuk menyambung kerja-kerja penulisan memoir Perdana Menteri  British Adam Lang. Yang akhirnya membawa hidupnya ke dalam bahaya.

Dan filem terbaru yang aku tonton adalah Kill The Messenger 2014, filem ini berdasarkan kisah benar penyiasatan wartawan Gary Webb tentang penglibatan CIA dalam penyebaran kokain di Los Angelas, California. Webb terus menggali untuk mengungkap konspirasi besar yang mengakibatkan bukan sahaja mengancam kariernya tapi juga keluarga dan hidupnya.

Ketiga-tiga cerita yang aku kemukan tadi amat menarik untuk ditonton. Dan aku sebagai seorang yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan ini, sangat terdorong untuk menjadi penulis yang baik  apabila menonton filem-filem yang begitu. Mungkin banyak lagi filem-filem barat atau luar negara yang mengisahkan tentang penulis yang tidak pernah aku tonton.

Malaysia juga turut mempunyai filem berkisahkan tentang penulis (pergerakan ceritanya tentang penulis) pertama filem “Mat Som” 1990 arahan Prof. Dr. Hatta Azad Khan yang diadaptasi dari komik karya Lat (Mohammad Nor Khalid). Dan sebuah lagi ialah “Penyair Malam” arahan dan lakon layar Kamal Ishak, cerita asal Ning Irdahayu. Pada pandangan aku yang dangkal ini, kedua filem ini adalah antara filem terbaik Malaysia yang memaparkan pergerakan naratif tentang penulis.

Ada juga filem-filem yang mengisahkan tentang penulis namun hanya wataknya sahaja tentang penulis tetapi pergerakan ceritanya tidak. Apa yang ingin aku perkatakan disini adalah mengenai industri kita  yang sangat kurang memaparkan filem-filem yang berkualiti. Jika ada sekalipun filem itu tidak dapat menembusi tayangan perdana kerana kekangan-kekangan tertentu seperti menjaga sensetifviti agama, keluarga atau masyarakat tertentu, dan negara/tampuk pemerintahan sendiri.

Biarpun  kita berhadapan  dengan kekangan-kekangan begitu itu, sebagai  pengiat seni atau pengiat filem haruslah menjana satu idea yang kreatif untuk melepasi kekangan-kekangan tersebut. Akar sesebuah filem bermula dari naskahnya iaitu skrip. Selain itu tajuk memainkan peranan penting, kerana dari tajuk telah melambangkan isi yang cuba di sampaikan. Seperti yang kita ketahui kebanyakan tajuk filem di Malaysia tidak membijakan penonton ataupun audian. Contohnya “Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa”  “Sebenarnya Saya Isteri Dia” dan banyak lagi. Berbeza dengan negara jiran serumpun kita dengan menggunakan tajuk yang penuh dengan simbolik seperti “Negeri Tanpa Telinga” dengan penggunaan tajuk yang baik ia sedikit sebanyak menunjukkan isi filem tersebut. Audian akan membayangkan apa yang ingin gambarkan dalam filem tersebut, secara tidak langsung mengajak khalayak yang ingin menonton berfikir apabila mendengar, melihat judul filem tersebut.

 Apa yang ingin diperkatakan di sini bukanlah untuk menafikan kehadiran  filem yang berkualiti di Malaysia, tetapi jumlah yang ada terlalu sedikit. Sampai bila  kita hendak jadikan menjadikan budaya rempit, gangsterisme, hantu/kekurafatan  dan cinta, sebagai satu anjakan paradigma. Tentu juga kita akan tertanya-tanya apakah manfaatnya? Peralihan yang bagaimana kita terima saat menonton filem yang begitu?

Selain kekurangan filem yang mengisahkan tentang penulis, kita juga kekurang cerita sejarah. Sewajarnya badan tertentu, mengimbangi pengeluaran produk industri filem kita, agar masyarakat tidak terlalu dilekakan dengan hiburan semata-mata.

Berbalik semula kepada filem yang mengisahkan tentang penulis, (plot ceritanya tentang dunia penulisan). Malaysia tentu sekali ramai penulis-penulis besar, yang boleh diadaptasikan atau diangkat tokoh-tokoh sasterawan ini  ke layar perak. Amatlah rugi sekali jika tidak dapat mengangkat tokoh-tokoh besar kita untuk digarap ke dalam cereka  perfileman tempatan, kerana rakaman sesebuah video atau filem adalah sebahagian dokumentasi sejarah yang memberi makna atau nilai yang besar pada masa akan datang.


Apa yang dapat aku simpulkan di sini adalah keseimbangan dalam penghasilan filem tempatan adalah perlu. Dengan adanya kesimbangan ini kita dalam mengubah cita-rasa masyarakat atau khalayak  yang menonton telah di momokkan dengan cerita seperti rempit, gangster, cinta dan cerita hantu yang berbentuk hiburan semata-mata. Dengan adanya kepelbagaian genre filem, masyarakat kita dapat berhibur sambil berfikir. Dengan adanya elemen seni untuk masyarakat yang mengangkat isu sosial yang menyampaikan pandangan hidup yang progresif.