Jumaat, 2 Januari 2015

PENDERHAKA DARI MIMPI MENYUSURI REALITI


Dari Mimpi Menyunsur Realiti

       Mimpi, semua orang mengenal mimpi.  Ia dapat disimpulkan sebagai gambaran aktiviti atau kejadian sewaktu seseorang itu sedang tidur atau keinginan, cita-cita, harapan dan khayalan untuk suatu hak yang akan terjadi di masa hadapan. Mimpi adalah pengalaman bawah sedar yang melibatkan pengelihatan, pendengaran, fikiran, perasaan atau pancaindera lain dalam tidur. Ia disertai dengan gerakan mata yang cepat (rapid eye movement/REM sleep).

         Mimpi adalah satu keajaiban yang menakjubkan, setiap orang boleh membina mimpi sendiri. Alam mimpi boleh membawa kita mengembara ke mana saja pelusuk dunia yang kita mahu, melalui pengalaman yang didapati dari dunia realiti. Alam mimpi juga adakalanya membawa kita ke zaman atau waktu yang tidak pernah kita sampai seperti membawa  ke masa hadapan yang kita gelar sebagai dejavu atau membawa waktu silam kita yang tidak pernah kita jejak secara realiti. Pengalaman mimpi ini jika digarap ke dalam sesebuah karya sastera atau seni halus ia boleh digelar sebagai realisme magis.

          Apa yang hendak ditekan di sini adalah sebuah genre sastera yang berbentuk realisme magis yang terdiri dua perspektif yang saling bertentangan, iaitu di satu sisi berpaksi pada sudut pandang rasional dan realiti manakala pada sisi lain pula berpaksikan pada penerimaan sesuatu perkara yang bersifat supernatural sebagai sebuah realiti yang prosaik (menjemukan). Namun begitu realisme magis berbeza dari fantasi, ini kerana realisme magis mempunyai aturan atau sistem  dalam bentuk yang normal, sebuah dunia moden dengan deskripsi autentik (kepercayaan/keyakinan) atas manusia dan masyarakat.

          Kebiasaannya, karya-karya realisme magis, sentiasa melahirkan watak-watak yang hidup di dunia realiti dan watak  mimpi atau imaginasinya sendiri. Meskipun demikian, realisme magis juga dapat didefinisikan sebagai suatu keasyikan atau daya tarik  yang memperlihatkan  hal-hal yang biasa atau yang terjadi dalam kitaran harian yang bukan sekadar biasa, bahkan aneh.

          Merujuk pada Novel ‘Penderhaka’ tulisan Marsli N.O pada bab terakhirnya, yang secara jelasnya keseluruahan naratif yang berjalan dari bab satu bukanlah di dunia nyata. Ini dapat kita lihat pada perenggan terakhir beliau.

“ Dan tubuhku kini menginjak dunia nyata.”
m/s 190

              Penutup kepada novel inilah dapat dirujuk bahawa perjalanan naratif pada bab satu hingga 19 merujuk bukan berada di dunia nyata. Biarpun kelangsungan naratif tidak berada didunia nyata. Tetapi ia masih real (nyata) di alam mimpi, kerana disana kita masih dapat merasa, melihat dan mendengar.

            Angel Flores berpendapat bahawa realisme magis melibatkan suatu penggabungan atau peleburan dari realisme dan fantasi. Dalam realisme magis kehadiran supernatural seringkali terhubung pada perkara purba dan mentaliti magis orang Indian yang hidup dalam semesta gabungan  dengan rasionaliti Eropah. Melihat pada pemikiran tersebut ia bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Ray Vrezasconi, seperti pengkritik-pengkritik lain, pernah menyatakan bahawa realisme magis adalah sebuah ekspresi dari realiti  Dunia Baru yang pada suatu saat menggabungkan elemen rasionalisasi peradapan Eropah dan elemen irasional (tak rasional) suatu peradapan primitif Amerika.
Menurut Gonzales Echeverria, realisme magis adalah sebuah pandangan dunia yang tidak berdasarkan pada alam atau hukum fizik juga realiti objektif. Dalam realisme magis seorang penulis berusaha untuk melawan kenyataan  dan cuba untuk kembali menyingkapnya dengan jalan yang menjadi inti misteri dalam kehidupan objek, serta perilaku manusia.

       Ini dapat kita lihat pada bab pertama dalam novel ‘Penderhaka’ Pada muka dua :

“... . Tiba-tiba diri berteriak. Langit di sekeliling pun terbelah. Dan pada pada detik yang sama, kelihatan segerombolan helang terbang melayah-layah. Hei! Hei! Mahu ke mana? diri berteriak kearah sekalian helang. Sekalian Helang kelihatan menyeringai. Mahu ke mana? Teriak diri lagi. Mahu ke taman. Ke taman? Ke Taman Inderaloka. Aku ikut? Kalau kau mahu. Tetapi aku tidak memiliki sayap. seperti kalian. Bayangkanlah bahawa kau kini  telah pun memiliki sayap. Dan mulailah terbang ke mana pun yang kau suka. Diri teragak-agak. Antara percaya dengan tidak. Antara yakin dengan tidak. Kenapa masih tercenung-cenung? Tanya sekalian helang. Mustahil, diri mendesis. Usah banyak soal. Apa saja yang kau inginkan dan fikirkan. Ayuh. Pejamkan mata. Dan ternyata benar kini di kedua-dua belah bahu terasa telah tumbuh dua sayap. Satu di kiri dan satu di kanan. Ayuh, Mulailah terbang.”  
                                                                                                                                m/s 2-3

          Apa yang cuba di tampilkan di sini adalah bermulanya pengembaraan watak diri di alam mimpi. Jika di dunia nyata, amatlah mustahil untuk sseorang manusia itu dapat berinteraksi dengan sekawan helang. Dan tentulah amat tidak logik atau rasional sekali untuk seorang manusia boleh mengeluarkan sayap saat dia inginkan. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Dengan garapan di alam luar nyata ia adalah sesuatu yang benar lagi nyata. Kerana, di alam mimpi ia melibatkan pengelihatan, pendengaran, fikiran perasaan atau pancaindera lain dalam tidur.

              Melalui realisme magis, seorang sasterawan atau seniman mencipta ilusi atas “sesuatu yang tidak nyata”, ia berusaha untuk memalsukan pelarian dari hal-hal natural, dan menyampaikan suatu tindakan yang seandainya dapat hadir sebagai suatu yang dapat dijelaskan akan datang dan melintas sebagai suatu keanehan. Ini meninggalkan kesan bahawa dalam realisme magis seorang penulis itu mengubah realiti seharian menjadi sesuatu yang ajaib, ghaib, penuh dengan nausa-nausa mistik.

            Dalam realisme magis, kesedaran keajaiban penciptaan kesedaran yang tidak biasa, tak terduga, dan sentiasa merujuk pada fenomena yang tidak mungkin terjadi.  Tetapi dalam ralisme magis, Hal ini tidaklah terjadi secara ilmiah, melainkan manipulasi yang disengajakan atas realiti dan persepsi seorang sasterawan atau seniman sendiri dalam usahanya mencipta karya.

          Biarpun Marsli N.O memaparkan keanehan luar dari ruang lingkup nyata namun ia bukanlah satu naratif yang kosong, ia menjadi sarat jika kita tidak membuka ruang pemikiran bawah sedar kita. Oleh demikian sebagai seorang pembaca kita harus amati dengan teliti untuk memahami pergerakan naratif yang ingin disampaikan oleh penulis.

           Secara keseluruhan cerita digerakan oleh watak ‘DIRI’ dan ‘AKU’ yang merupakan seorang penyair. Ini dapat dibuktikan pada dialog yang di kemukan oleh Marsli N.O :

“ Sudahlah. Hentikan omonganmu itu. Aku sudah bosan mendengarnya,” kini salah seorang daripada mereka pula menempelak diriku.
“Hei! Kau ini siapa sebenarnya?” Tanya pula seorang daripada mereka yang lain.
Aku terkesima dan terkedu beberapa detik lamanya.
“Apakah kau seorang penyair?” Tanya salah seorang daripada mereka yang lain.
Aku terkedu.
“Benarkah kau ini seorang penyair?” terdengar tanya terlontar lagi.
“Perlukah kalian tahu?” Kini aku kembali membalas dengan tanya.
“Kenapa tidak?”
“Untuk apa?”
“Tetapi kalau benar kau ini seorang penyair, sudah tidak ada gunanya lagi kau menasihati kami,” balas salah seorang daripada mereka.
“Ah, apalah ertinya. Seorang penyair dan sebuah puisi. Apalah ertinya. Pemerkosaan demi pemerkosaan tetap juga bermaharajalela. Di mana-mana.”
“Jika pun itu yang terjadi, kenapa pula kepada penyair salah dan dosa mesti di bebankan?” Sanggahku.
“Kerana kami tahu betapa penyair juga  tidak lebih hanyalah seorang pemimpi yang mencipta utopia demi utopia dengan omongannya,” tempelak salah seorang daripada mereka.
“Dan lebih meng'aibkan lagi, betapa kadang-kadang penyair jugalah yang ikut sama bersekongkol membiak pemerkosaan. Mengatakan benar terhadap apa yang sepatutnya ia tidakkan.” Salah seoarang daripada mereka turut menempelak.
“Jangan sebarang menuduh. Tidak semua penyair sedemikian dan rendah martabat dirinya.” Tegas aku membela.
“Kelihatannya kau begitu bersungguh membela penyair. Barangkali kau ini memang seorang penyair.”
m/s 184-185

         Keseluruhan isi novel ini sarat dengan mesej dan kritikal sosial yang bersifat sejagat yang digarap dengan unsur-unsur tradisional dan moden serta diiring dengan emosi seorang penyair yang kembali mencari keakuan dirinya dalam kemelut sistem dunia yang semakin porak-peranda.

        Pada bab satu kita dapat melihat bagaimana Marsli N.O mengemukakan perasaan yang diliputi keresahan diri. Dimulai bunyi Tra-la-la yang sentiasa menghantui diri. Kemudian di susuri dengan sekawan helang yang menuduh ia mencintai dunia dan dia juga yang mengotornya. Watak diri bertemu dengan wajah menyerupai watak diri, dan memberi peringatan bahawa dia (watak diri) adalah mangsa dari idealisme dan utopia muluknya sendiri.

      Merujuk kembali pada pengalaman mimpi seperti yang tertera pada rangkap pertama  dalam penulisan ini. Di alam mimpi kita boleh mewujudkan pelbagai watak dan latar yang di garap dari pengamalan di dunia realiti. Biarpun di dunia nyata kita menyatakan ianya tidak benar tetapi pada hakikatnya di alam mimpi ia adalah kebenaran yang mutlak. Demi mencari sebuah kebenaran ia bermula dengan perubahan diri. 

       Dalam pembentukan sistem masyarakat yang seimbang  peranan kepercayaan atau yang lebih tepat lagi adalah peranan agama sangat penting, kerana dengan adanya kepercayaan ia akan membentuk akhlak yang mulia dan nilai moral yang murni. Sekiranya bentuk kepercayaan ini di selewengkan maka akan punahlah sesuatu bangsa. Berlakulah keruntuhan moral, demi menjaga kepentingan sendiri.

        Apabila watak diri melihat segerombolan manusia berbondong-bondong ke puncak bukit untuk melihat sesuatu yang keramat dalam acara korban. Watak diri melayangkan diri  ke udara untuk melihat apa yang berlaku di atas sana.   Keramat adalah sesuatu yang di anggap suci, dalam masyarakat tradisional Melayu keramat melibatkan unsur-unsur spiritual dan kuasa ghaib yang secara tidak langsung ia juga melibatkan kepercayaan spiritual atau kepercayaan terhadap agama. 

          Pada bab ini Marsli N.O memaparkan kepada pembaca akan lima orang yang berkerudung dan seorang pemuda yang akan dijadikan korban. Apa yang boleh kita gambarkan disini adalah watak lima orang berkerudung yang kononnya dapat mendatangkan keramat sebenarnya adalah penyeleweng. Mereka meminta itu dan ini sehingga kan masyarakat setempat sudah tidak punya apa-apa untuk diberikan namun keramat yang dijanjikan tidak juga muncul. Disini ia merujuk kepada penyelewengan ahli agama yang mengambil kesempatan yang ada dengan mempergunakan agama demi meraih kemewahan.

            Melihat kekalutan dalam sistem masyarakat yang kian porak, watak aku mengambil keputusan untuk menyendiri di sebuah pulau yang jauh dari masyarakat setempat. Biarpun begitu pengasingan itu telah dikejam malah watak aku telah di tuduh sebagai penderhaka kerana tidak sefahaman dengan mereka yang lain.

            Kekalutan ini bermula dari penyelewengan agama, kemudian terus menular ke media akhbar yang cuba menempelkan berita bencana namun tidak dikemukakan punca. Malah punca sesuatu bencana itu digelapkankan dari pengetahuan masyarakat kononnya bagi mengelakan masyarakat atau selurah warga berasa bimbang. Dan perkara ini juga sering berlaku di dunia nyata (luar dari kotak naratif) contohnya, punca berlakunya banjir, atau kehilangan pesawat yang tidak dapat dipastikan sama ada terhempas mahupun dirampas oleh pihak tertentu. Biarpun penggelapan punca bencana atau malapetaka ini sengaja diadakan tiada siapa yang bangkit melawan hannya menurut. Dengan pendapat pihak kerajaan atau pihak berwajib tahu apa dilakukan. Hal sebegini tidak seharusnya terus berlangsung dan harus dipecahkan. Agar pimikiran masyarakat setempat terus berkembang. Masyarakat hari ini seolah-olah dibekukan pemikiran mereka. Oleh demikian sampai bila kita akan membiarkan pembekuan pemikiran ini?

            Menyebut pada pembekuan pemikiran, ia lebih merujuk kepada kepakaran dalam bidang tentu seperti kejuruteraan, pertanian, perubatan, keagamaan, keilmuan atau falsafah serta lain-lain lagi. Untuk menjadi ahli kepakaran dalam bidang-bidang tersebut haruslah mendapat kelulusan dan iktiraf dari badan kerajaan atau dilantik oleh penguasa. Ahli yang pakar dalam sesuatu bidang itu pula perlu mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh pihak penguasa, sekiranya terdapat sebarang pengcanggahan maka ahli pakar ini akan disingkirkan dan dianggap telah menderhaka kepada kerajaan.

        Apa yang cuba disampaikan oleh Marsli N.O dalam novel PENDERHAKA ialah beliau cuba mengajak kita cuba berfikir dari kotak pemikiran biasa dengan menilai atau melihat kembali sistem sosial yang ada. Dengan penelitian dan pengamatan yang baik kita akan melihat kesan dan keburukan sistem sedia ada, malah mungkin akan menemui penyelesai untuk menstruktur kembali kekalutan yang ada. Akhir kata, menjadi seorang penderhaka bukanlah untuk keburukan tetapi menjadi penderhaka demi kemakmuran sejagat  dengan melawan kegelapan yang telah sekian lama memegang tampuk pemerintahan mahupun sistem tertentu. Mungkin juga novel ini mengajar kita untuk menjadi penderhaka yang baik.


Sumber dan rujukan :
1.     Novel Penderhaka, Masli N.O, DBP-2011