Khamis, 12 Disember 2013

Welcome to Malynasia

 Resensi buku : Welcome to Malynasia

Welcome to Malynasia merupakan sebuah novelet yang dikarang oleh tujuh orang penulis. Gabungan penulisan sebegini adalah satu langkah eksprimental kombinasi ini membolehkan cetusan  idea yang sangat unik.


Apabila sesebuah cereka yang dikarang dalam bentuk penggabungan  ia memerlukan komitmen  yang tinggi.  Percambahan idea dan pemikiran yang berbeza  akan menyebabkan percanggahan jalan cerita. Ini akan menyebabkan tema besar dalam sesebuah cereka ditenggelami dengan subplot yang terlalu banyak. Kebanjiran subplot akan mengelirukan pembaca kerana panduan narasi yang membawa pembaca kepada plot utama telah dipesongkan oleh plot ranting.

Novelet yang terbahagi kepada 10 bab dan sebuah Konklusi yang terdiri daripada 66 halaman. Memaparkan perjalanan cerita yang bergerak pantas serta adegan yang dilukiskan dapat mengikat pembaca untuk mengakhiri naskah ini.

Mari kita susuri ringkasan perjalanan cereka tujuh penulis  ini, Welcome to Malynasia mengisahkan tentang kemusnahan sebuah negara akibat projek mega Lynas Corporation, ia merupakan kilang pengeluaran  nadir bumi. Watak utama Adenan Muir merupakan egen pemantau pihak Kompeni untuk membangunkan kembali Malynasia.

Sebaik sahaja sampai di Malynasia teksi yang dinaiki oleh Adenan dan isteri telah di serang oleh pihak Nazi yang di ketuai oleh Adolph  Aliph. Dalam serangan itu Adenan Muir dan isterinya Muna telah diselamatakan oleh pasukan Soladaritas.

Sewaktu di markas pasukan Solidaritas telah diserang oleh puak manusisa. Puak ini adalah mangsa radiasi. Kesan dari operasi kilang  membuatkan puak manusisa memiliki kekuatan  yang luar biasa,  tetapi rupa mereka tidak  seperti manusia normal.

Puak manusisa yang diketuai  oleh Markus menyerang markas  tersebut kerana ingin  mendapatkan orang mereka yang sedang diujikaji oleh Buyamin ketua yang menubuhkan Soladaritas. Adenan Muir menawarkan dirinya untuk berunding dengan puak manusisa.

Setelah perundingan dibuat Adenan Muir dan isterinya dijadikan tawanan. Dia dia bawa ke Quantwon.  Sebaik sahaja tiba di sana Adenan Muir diperkenalkan dengan kumpulan yang digelar Forradalom. Mereka merupakan sainstis dan pecinta alam yang  terselamat dari bahana kilang nuklear tersebut.

Kumpulan Soladaritas telah menghasilkan vaksin yang dapat memulihkan mutasi kaum puak manusisa. Namun vaksin  tersebut hanya dapat memulihkan beberapa peratus sahaja. Kesan vaksin  tersebut juga akan mengurangkan kekuatan  yang sedia  ada puak manusisa. Oleh itu  Thom mengambil  keputusan  untuk  tidak mengambil vaksin  tersebut. Ini kerana dia berasa bimbang akan keselamatan dirinya dan  puak manusisa.

Kumpulan Nazi telah menyerang Quantown secara besar-besaran. Adenan Muir telah bersemuka dengan Adolph Aliph. Pada saat ini barulah Adenan Muir sedar yang Adolph Aliph  itu  adalah abang tirinya yang terpisah  sejak kecil lagi. Adoph Aliph mempelawa Adenan Muir agar menyertai kumpulan  Nazi. Biar pun  begitu pelawaan  tersebut ditolak mentah-mentah oleh Adenan Muir.

Pertempuran  tersebut  telah menyebabkan Markus terkorban. Thom telah menyerang Adolp Aliph dan mengarahkan agar Adenan Muir naik ke trak.

Serangan yang teruk  itu juga telah mengubah Adenan menjadi manusia raksasa. Apabila dia terjatuh di gaung sampah  di mana kawasan  itu mengalami radiasi tahap bahaya.

Perperang antara kumpulan masih berlaku  tanpa kesudahan. Hal ini kerana masing-masing menjaga kepentingan diri dan ketamakkan  yang membelenggu diri. Begitulah secara ringkasnya jalan cerita yang dipaparkan  dalam novelet Welcome to Malynasia.
         
   Apa yang boleh kita garapkan di sini adalah perperangan  hanya membawa kemusahan semata-mata. Kaedah yang digunakan melalui isu perperangan ini boleh juga di jadikan simbolik kepada isu semasa yang berlaku sekarang  ini.

Dalam  naskah Welcome to Malynasia  telah memdedahkan beberapa  kelompok yang mengalami dilema tersendiri. Kelompok pertama ialah Kompeni iaitu sebuah organisasi mega yang menjalankan projek mega nuklear. Keduanya kumpulan Nazi yang mengaut keuntungan melalui penindasan. Ketiga kumpulan yang berusaha memberi bantuan kepada orang tertindas iaitu kumpulan Solidaritas. Keempat kumpulan yang tertindas iaitu puak mamusisa. Kelima kumpualan yang digelar Forradalom merupakan saintis tua dan pasukan pecinta alam yang terselamat dari bahana nuklear.

Lima kelompok yang dinyatakan tadi hanya tiga sahaja penggerak  utama dalam naskah  ini. Biarpun  begitu matlamat utama kelompok-kelompok  ini kurang  jelas dan tidak dinyatakan secara terperinci. Terutamanya kumpulan Nazi yang dilebel sebagai pengganas.

Apa itu Nazi?

Pada September 1919 sebuah parti baru  telah ditubuhkan di Jerman iaitu German Worker Party (GWP) yang diterajui oleh Anton Drexler yang cenderung ke arah revolusi komunis. Pada waktu  itu Adoft Hitler telah dihantar ke minit mesyuarat GWP sebagai perisik oleh kerajaaan Jerman. Oleh kerana misi GWP berteraskan nasionalisme dan anti-semitisme membuatkan dirinya tidak dapat menahan dirinya untuk memberi ucapakan yang berkobar-kobar sehingga Drexler tertarik dengan karisma Hitler berpidato dan menjemput beliau untuk menyertai parti tersebut.

Awalnya keahlian GWP hanyalah 46 orang. Biarpun begitu bakat kepidatoran yang ada  pada Hitler diasah dan dapat menarik ramai orang untuk menyertai parti  tersebut. Beliau juga telah kawan tenteranya Ernst Roehm. Kemasukan Roehm amat bermakna kepada parti yang baru ini, kerana dia mempunyai akses kepada tabung tentera dan wang ini telah disalurkan kepada parti tersebut. Hitler kemudiannya diberi tugas menguruskan jentera propaganda parti pekerja ini dan beliau kemudiannya menukar nama Parti Pekerja German kepada Nationalist Socialist German Workers Party (NSDAP) ataupun parti Nazi.

Begitulah serba ringkas pensejarah  tentang Nazi. Apa yang cuba dibangkitkan di sini adalah peranan watak kumpulan  Nazi dalam  naskah Welcome to Malynasia? Tanpa peranan atau perincian ia hanya menjadi bahan tempelan yang sia-sia sahaja. Gambaran yang jelas kepada pembaca agar watak yang diterajui oleh Adolph Aliph sebagai antoganis menyerlah. Sebaiknya sebuah bab harus diadakan bagi memperincikan watak Adolph Ali dan mengapa  ia menyertai  gerakkan  Nazi  tersebut.

Kumpulan Soladaritas dan Forradalom adalah merupakan kumpulan watak  sampingan yang membantu perjalanan narasi, watak utama iaitu  Adenan Muir. Sewajarnya pembinaan watak begini harus bertaut hingga pengakhiran bab.

Konflik utama dalam naskah  ini ialah perjuangan puak manusisa. Pertamanya mereka harus mempertahankan diri dari dihapuskan oleh kumpulan Nazi. Jika kita rujuk  kembali sejarah  Kumpulan Nazi memegang ideologi nationalisme-sosialisme dan anti-semitisme. Anti-Semitisme adalah merujuk kepada Anti -Yahudi. Oleh  demikian klonflik harus  dikuatkan mengapa kumpulan Nazi yang diketuai oleh Adolph Aliph begitu membenci puak manusisa. Perincian  begini akan membuatkan pembaca lebih memahami gelodakkan jiwa watak Adolph Aliph.

 Pembaca juga mugkian  akan tertanya-tanya apakah  peranan watak Chipko yang digambarkan sebagai seoarang lelaki negro yang berkerjasama dengan kumpulan Nazi. Watak ini muncul  dan hilang begitu sahaja. Perkara ini tidak harus berlaku. Setiap watak yang dibina harus ada pengakhiran  yang jelas serta menyusuri perjalan  cerita.

Mari kita membuat sedikit pembandingan naskah Welcome to Malynasia dengan Daerah Beta karya penulis mampan iaitu Azizi Haji Abdullah. Novel Daerah  Beta ini dihasilkan berdasarkan kisar benar yang berlaku pada tahun 1985, di mana operasi kilang Asia Rare Earth (A.R.E) yang menghasilkan sisa radioaktif di kawasan Bukit Merah. Hal ini telah mencetuskan satu pergerakan rakyat yang berlanjutan selama kira-kira satu dekad.

Pada permulaan bab novel Daerah Beta, Azizi Hj Abdullah  telah melukiskan latar dan watak secara terperinci melalui narasi  yang sangat mudah. Watak utama seperti Aslee, May, Woon Ta Ka, Lau Fa Ta, Chong Leek, Murty, Lee Meng, Hew Yoon Tat.

Watak-watak  yang ditimbulkan oleh  beliau mempunyai peranan yang tertentu hingga ke hujung muka surat. Ia tidak diwujudkan dan dihilangkan begitu sahaja.

Novelet Welcome to Malynasia mungkin boleh ditulis semula dengan versi yang lebih mantap. Jika sebelum ini Novelet ini di tulis melalui gabungan tujuh orang penulis. Maka untuk memperbanyakkan versi Welcome to Malynasia, ketujuh-tujuh orang penulis gabungan ini boleh menulis mengikut idealogi tersendiri. Berteraskan konsep intertekstualiti.  


Kesimpulannya disini naskah Welcome to Malaynasia merupakan sebuah naskah novel eksprerimental radikal yang baik. Sesebuah karya eksperimental akan membawa perubahan gaya penulisan dari takuk lama ke takuk yang baru. Ini akan memperbagaikan gaya seni penulisan itu tersendiri terutamanya dalam bidang kesusasteraan.

Jumaat, 19 Julai 2013

Dia Nasuha

Tajuk : Dia Nasuha

Dia Nasuha
Bayang hitammu
Bermain di benakku
Hanya baris kata dapatku zahirkan

Maaf... kerna,
Membangkitkan kembali bayang ngerimu
Maaf... kerna,
Menyelam ke dasar silammu

Sejarah lampaumu 
Mengingatkan  aku
Sejarah lampaumu
Menyentuh ke dalam kalbu
Sejarah lampaumu 
Membuka rinduku
Rindu pada yang satu.






Aku cipta sajak ini pada tanggal 16 febuari 2013, jam 2:21 di Muzium Negara sajak ini khas aku tujukan kepada Siti Dianasuha. Aku sendiri pun tak tahu bagaimana naluri kecilku meronta-ronta untuk menulis sajak ini. 


Rabu, 9 Januari 2013

Resensi Buku : Nak Jadi Thukul ; Biar Nyawa Terpisah Namun Tetap Hidup.

 T




Penghujung Julai 2014, sedang rakyat Malaysia beragama Islam sibuk membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri lahir sebuah naskah antologi yang memuatkan esei, cerpen dan sajak  berjudul ‘Nak Jadi Thukul’.

Mengapa Thukul, apa yang tersembunyi di balik perkataan tersebut? Mengapa mesti  dieja thukul  tidak tukul?  Teka-teki ini hanya akan terjawab apabila anda membaca naskah “Nak Jadi Thukul”. Buku tribute ini sebenarnya lebih mengangkat semangat juang seorang seniman  aktivis Indonesia yang secara tidak langsung terlibat dengan kegiatan kesusasteraan iaitu puisi. Selain itu beliau juga terlibat dalam kegiatan teater dan seni lukis.

Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya mengapa Wiji Thukul, tidak adakah tokoh sasterawan dari tanah air sehingga perlu kita angkat susuk tokoh luar sebagai contoh? Ya, sudah tentu kita punya ramai susuk tokoh negarawan yang boleh diangkat namun begitu, kelahiran antologi ini bukanlah menolak perjuangan nasionalis tanah air tetapi memperkenalkan kepada khalayak merasai semangat juang melalui persepsi yang berbeza. Adalah lebih baik kita mengangkat tokoh luar yang serumpun dengan kita dari mengangkat tokoh terlalu jauh dengan kebudayaan dan latar kita.

Hanya bahagian esei sahaja yang menceritakan perihal akan Wiji Thukul dan analis karya beliau manakala selebihnya bertampuk dan berlandaskan idea yang meletakkan kejituan terhadap kritikan sosial tanah air.

Buku tribute “Nak Jadi Thukul” yang diterajui Beduk Logam bersama sembilan penulis bersama telah meluahkan idea dan sudut pandang generasi muda terhadap sistem sosial masa kini. Ini adalah satu usaha yang baik dalam memperkayakan persuratan Melayu.  Penulisan esei yang dimulai dengan “Bisakah Seni Memperbaiki Hidup”  lebih banyak bermain dengan jiwa seseorang untuk menjadi seniman yang mengajak khalayak atau pembaca berfikir hala tuju sebuah karya seni ataupun persoalan ‘untuk apa kita berseni’.  Dengan adanya persoalan sebegini ia akan menentukan mutu sesebuah karya yang lahir.

 Seterusnya diikuti dengan tulisan “ Negara dan Widji Thukul : Suatu Kalkulasi Simbolik” oleh Ramayda Akmal. Esei beliau membincangkan perihal akan Widji Thukul yang terkenal dengan puisi-puisi yang mengkritik pemerintah sehinggakan pihak kerajaan merasakan beliau adalah seorang yang merbahaya kerana menggugat kedudukan melalui karya yang bersifat protes dan kritikkan sehingga dapat memprovok massa. Hal ini menjadikan Widji Thukul sebagai simbolik kepada penentangan ketidakadilan penguasa atau pemerintah melalui semangat juang yang terlahir dari karya-karya beliau.

            Dalam “Sindrom Muhaya : Kritikan Wertheim dan Thukul atas Sosiologi” tulisan Benz  Ali, lebih mengetengahkan perihal kolompok kelas antara borjuis dan proletariat.  Apa yang ditekan di sini adalah tekanan yang dilempar oleh kaum pemodal terhadap kaum tani  kononnya mereka ini (petani) sangat malas berkerja kerana pengeluaran produksi terjejas akibat kekurangan bahan mentah atau sebagainya.

Dari sisi kaum perkerja karya Wiji  Thukul diangkat sebagai simbolik suara kuam pekerja yang menyatakan keperitan hidup dan betapa tertekannya hidup meraka. Adakah setimpal imbal-balik yang diterima? Tentu sekali tidak. Dengan itu maka  terlahirnya karya-karya yang menceritakan keperitan hidup atau ketidakadilan pemerintah terhadap rakyatnya atau majikan terhadap pekerja. Apa yang persoalkan di sini adalah kekalutan sistem yang lahir  hingga membuat golongan bawahan sentiasa tertindas. Mampukah  sesebuah negara itu hidup tanpa kelas?

“Thukul dan Peluru” lebih mengangkat tugas atau hala tuju seorang penyair, seorang penyair adalah seorang pemerhati dan jauh sama sekali terikat atau bergelumang dengan politik yang memberat kepada sebelah pihak sahaja. Penyair adalah pengkritik dan sentiasa menimbulkan persoalan-persoalan yang mengajak khalayak yang membaca syair atau sesebuah puisi itu untuk berfikir. 

Maka Hanya Ada Satu Kata : “Lawan” lebih menekan permaknaan diksi yang digarap oleh Wiji Thukul dalam pengisian karya beliau, secara keselurahan pengisian  sajak-sajak Wiji Thukul jika sekali imbas bersifat donotatif tetapi sekiranya dibaca secara berulang ia akan menjadi konotatif yang melahirkan permaknaan yang berbeza. Sajak-sajak Wiji Thukul  mudah untuk difahami dan mencapai maksud yang jelas dari segi penyampaiannya.

Cerpen atau cerita pendek adalah gagasan idea yang disampaikan melalui naratif. Adakalanya ia tidak menekankan jalan cerita tetapi lebih menekankan kepada mesej yang  ingin disampai. Cerpen berbeza dengan novel. Umum mengetahui novel adalah cerita panjang yang mempunyai ranting cerita, gagasan idea atau falsafahnya lebih dari satu, jika tidak digarap dengan baik maka akan terpesonglah konsep atau gagasan yang ingin dibawa.

“Rokok John Naik Tiga Kupang” karya Harafat Hambali menekan perihal kenaikan harga, yang mendadak.  Dalam tulisannya beliau juga turut mengkritik sikap pemimpin yang bersikap lepas tangan dalam menangani  masalah kenaikan harga. Justeru itu beliau mengangkat rokok John sebagai satu simbolik gagasan yang merosakkan sistem melalui peralihan dari rokok John ke rokok daun. Lebih jimat lebih nikmat. Seperti yang kita tahu rokok adalah sesuatu yang mendatangkan keburukan dari segi sistem kesihatan manusia.  Kita dapat lihat dari segi permaknaan yang digarap ialah rokok sebagai rakyat dan tubuh badan yang sihat itu adalah pemerintah. Biarpun begitu kemudaratan yang terhasil bukan untuk rakyat tetapi menyerang ke sistem  atau penguasa sesebuah negara. Alternatif yang diambil ini adalah inovasi pemikiran kristis seorang rakyat yang kecewa dengan sikap lepas tangan seorang pemimpin. Dari kecewaanlah bangkit satu perlawan yang mentang sistem yang sedia ada untuk kehidupan yang lebih baik.

Nik Aidil  dengan karya “Surat kepada Ala 1&2”  memecahkan kepada dua bahagia bahagian pertama menyentuh tentang rumah sajak secara tidak langsung menekan permasalahan yang timbul dalam kolompok sosial. Manakala bahagian kedua beliau meletakkan penekanan kepada gagasan idea sama ada berkesan atau apabila dilaksanakan. Walaupun begitu, banyak persoalan yang tersirat yang ditinggalkan kepada pembaca, antaranya ialah  falsafah  rumah, melihat kepada perkataan ‘rumah’  ia  membawa kepada satu gagasan yang menyingkap perihal intergiti, perpaduan dan kebertanggungjawaban. Bahagian dua pula lebih merujuk kepada kematian  budaya,  hal ini jadi akibat segelintir budayawan yang hilang rasa tanggungjawannya dan juga kritikan kepada masyarakat terhadap pemerimaan budaya tradisi mereka yang berlawan dengan tuntutan serba moden ini.

Selanjutnya kita susuri lima buah cerpen dari  Bedok Logam. “Tahi Sastera” mengisahkan tentang seorang pemuda yang sangat tinggi misi dan visinya memerangni kemasukkan budaya hedonism ke dalam dunia kesusasteraan, apa yang cuba dibangkitkan di sini wajarkah kita cuma mempunyai gagasan atau idea-idea sahaja tanpa ada sebarang tindakan? Tentu sekali tidak.

Cerpen “Orang Kecil” secara dasarnya merujuk kepada masalah kejiwaan yang dialami oleh watak ‘Aku’ iaitu anorexia (keinginan untuk menjadi kurus atau cantik). Apabila kita menyelami ke dasar pengisian cerpen ini ia merupakan simbolik kritikan kepada pemerintah yang tidak pernah puas akan apa yang telah mereka gelapkan ataupun mereka selewengkan, watak  bayang timbul dalam cermin  itu adalah gambaran kepada pemerintah yang semakin hari semakin gemuk sehinggakan tidak mampu berjalan. Manakala watak ‘Aku’ mewakili derita rakyat atau kaum tertindas yang semakin hari semakin kurus dan menderita.

Cerpen “Panggung  Absurd” adalah kritikan kepada golongan budayawan yang terlalu mementingkan teoritikal sehingga menghilangkan keindahan karya seni itu sendiri. Dan persoalan yang ditinggalkan kepada pembaca ialah dalam menghasilkan karya seni apa yang perlu didahulukan pengisian atau konsep teorinya? Teoritikal terhasil selepas wujudnya sesebuah karya. Maka jika seseuah karya seni itu dibina berdasarkan teori maka akan wujud sedikit kecacatan, kerana tidak ada pembebasan yang meluas saat karya itu terhasil.  

“Apakah yang Akan Berlaku Kalau Seluruh Manusia Berhenti bercakap” mengisahkan tetang kuasa besar dunia bersepakat untuk meletakkan undang-undang baru bahawa manusia dilarang sama sekali. Biarpun bentuk cerpen ini mudah diratah atau dihadami tetapi ia meninggalkan kesan dan persoalan yang besar kepada pembaca. Antaranya ialah larangan bercakap itu sendiri? Bercakap yang bagaimanakah dilarang? Mengapa larangan bercakap itu dikuatkuasakan adalah persoalan yang paling penting sekali yang harus dijawab oleh pembaca. Bercakap yang dimaksudkan oleh saudara Beduk Logam dalam cerpen ini lebih menjurus kepada kritikan kepada pembesar atau pemerintah.  Rakyat dilarang sama sekali menyuarakan segala keburukkan yang berlaku di dalam sistem pentadbiran. Ini kerana dengan adanya suara-suara sumbang inilah yang akan mencemari prestasi dan nama baik mereka. Seboleh-bolehnya penyelewengan dalam pemerintahan ini ingin sekali menyembunyikan segala kesalahanannya biar pun jelas terbukti. Dengan adanya kuatkuasa yang begini maka bersihlah segala kekotoran yang mereka lakukan dan rakyat pula seolah merelakan perbuatan mereka. Biarpun cerpen ini seperti memenangi idealogi pemerintah zalim terdapat satu watak “Aku” menentang kuatkuasa yang ingin dilakukan oleh pemerintah zalim.

Cerpen “Bila Perempuan Merintih” berkisahkan tentang  pengorbanan. Ia lebih mengajak kita berfikir kewajaran pengorbanan itu sendiri. Selain itu juga ia merujuk pada pengharapan yang tinggi atau dalam kata lain imbal-balik terhadap perngorbanan yang telah dilakukan. Keseluruhan pengisian penceritaan mengisahkan tentang keluhan orang-orang kecil dalam menangani penindasan terhadap mereka, contohnya watak “Aku” itu sendiri. Dia hanya akan memberikan wang kepada Midas setelah nafsu serakahnya dipuaskan. Rintihan yang diluahkan oleh watak ‘Midas’ kepada ‘Aku’ seakan tidak memberi apa-apa makna. Biar pun begitu inilah persoalan dan gagasan idea yang menjadi tunjang utama dalam cerpen ini. Ia lebih mengajak pembaca berfikir erti sebuah pengorbanan.

Pada bahagian sajak, antologi ini memuatkan dua puluh dua buah karya, masing-masing membawa gagasan yang tersendiri. Menurut Muhammad Haji Salleh sajak tidak dapat disamakan dengan bahan ilmu tulen seperti biologi atau psikologi atau sosiologi kerana ilmu tulen mempunyai disiplin dan kaedah yang khusus. Logik persembahan sajak  lebih berbaurkan logik perasaan dan wawasan, manakala ilmu lebih tulen lebih objektif dan terikat dengan peraturan dan disiplinnya. Sajak biasanya menjadi pembawa pengalaman hidup manusia, cara berasa dan berfikir, sikap dan pandangannya terhadap masyarakat dalam alam raya. Sajak menjadi pelengkap kepada ilmu tulen ini kerana ia  khusus membawa bahagian kehidupan yang tidak dapat dilihat dengan saksama hanya melalui sesuatu disiplin atau objektif ilmu.

Ada perasaan, ada fikiran dan ada pula deria. Sajak atau puisi sering menangkap kenyataan yang luar biasa, yang abstrak; membawa kita kepada pengalaman-pengalaman dari sudut pendekatan yang baru. Karya yang baik selalu membijaksanakan, dengan maksud ia menolong kita mengenal ke arah penyelesaian.

Sajak atau puisi menceritakan tentang kenyataan yang ada, tetapi dengan imaginasi dan kreativiti ia mungkin sampai kepada daerah-daerah yang tidak dapat dicapai oleh bahasa biasa.

Kimi Ismawi dalam nukilannya  berjudul “Kenapa Diam” mengajak pembaca atau khalayak yang mendengar isi atau bait sajak ini untuk bangkit melawan penindasan yang kita sendiri sedar, biarpun begitu tidak ramai berani bangkit untuk melawan seakan kita ini merelakan apa yang berlaku walaupun kita sendiri ditindas.

Awal permulaan sajak telah membentangkan kepada khalayak akan tekanan-tekanan yang dilakukan oleh penguasa-penguasa zalim kepada rakyat. Mari kita lihat rangkap pertama: -

Aku mahu tahu kenapa semua masih diam
apabila kepala dipijak sesedap hati
apabila suara dicantas mesin menteri
apabila hidup ditaja kuku besi
(m/s 130 Nak Jadi Thukul)

Baris pertama rangkap ini adalah pertanyaan keras yang dilontar oleh Kiwi Ismawi. Pertanyaan begini seakan satu sindiran kepada kita masih berdiam sedang diri ditindas seolah merelakan apa yang berlaku tanpa ada perlawanan.

Apa ada pada mahasiswa yang mahu menjadi peluru
kala mindanya dijajah penjajah
penjajah bertag nama “bumiputra”
hanya kuasa raksasa berpaksi hantu
(m/s 130 Nak Jadi Thukul)

            Rangkap tiga seperti di atas memperlihatkan gelagat segelintir pihak yang mahu lawan tetapi pemikirannya masih terbelenggu dengan idealogi lama tanpa membuat peralihan atau pembaharuan. selain itu juga pada rangkap ini juga sedikit mengkritik bangsa melayu dan sistem pemerintah yag sedia ada.

Apa yang kita dapat simpulkan pada keseluruahan sajak “Kenapa Diam” ialah mengajak kita berpindah minda ke satu era yang lebih nyata, untuk ke arah itu kita harus bangkit dan lawan bukan berdiam diri.

 “Aku Ingin Menjadi Peluru”  menyuntik semangat untuk mereka yang berdiri medan perjuangan. Namun begitu ada satu persoalan besar yang ditinggalkan oleh Muhammad Saifullah dalam iaitu makna peluru itu. Adakah peluru itu membela atau memusnahkan? Ia adalah sesuatu yang subjektif dan hanya boleh dijawab oleh pembaca atau khalayak yang menyusuri bait kata yang diukir.

Walau bagaimana pun pada rangkap terakhir Muhammad Saifullah menjelaskan menjadi peluru adalah jalan kematian, sama ada yang menentang peluru atau menjadi peluru. Keduanya pasti mati apabila bertembung. Namun kematian bukan ketakutan demi meraih  cita-cita dan impian. Jika mati. Mati yang bagaimana?  mari kita amati bait akhir  sajak “Aku Ingin Menjadi Peluru” :

Bila dilepaskan konklusinya mati
tak perlu didacing lagi
hanya perlu ingat pada ilahi
hidup itu mesti, mati itu pasti
            (m/s 133 Nak Jadi Thukul)

            Benz Ali dengan baris katanya melalui sajak “Dari Penjara Terlahirlah Wira” mendorong para pejuang yang menegakkan keadilan agar tidak berputus semangat biarpun mereka tertindas, di masa mendatang pasti akan ketemu jua keadilan baginya,  dan  penguasa zalim tentu saja akan merima balasan atas kezaliman yang telah dilakukan.

 Rejim zalim pasti tumpas
biar mereka terus bercengkerama
biar mereka terus berama-rama
takhta jelata yang telah lama tertindas
pasti dunia ini kan akhirnya bebas
(m/s 135, Nak Jadi Thukul)

Sebagai seorang pejuang kita tidak harus mudah mengalah, malah sentiasa melawan demi menegakkan keadilan. Dan setiap setiap rintangan yang datang adalah penguat bukan melemahkan semangat.

Kardil Lani seorang yang  kreatif  dalam permainan kata. Sajak beliau “Ingat-ingat” sarat dengan simbol. Pada rangkap pertama sajaknya diiringi dengan suasana cuaca yang suram sebelum ia melontarkan pesan dan ingatan kepada pembaca mahupun khalayak sastera. Mari kita susuri bait kata tersebut :

Mega? Mendung,
Awan? Gugur tak berbumbung,
Laut? Sudah kembung jerung ratah duyung,
Jambatan agung? Merayang-rayang nisbah menggulug,
Atma terhayang, Sukma terhayung.
(m/s 138, Nak Jadi Thukul)

Bayangan cuaca dijadikan sebagai simbol akan datangnya bencana atau perkara buruk. Kemudian disoroti dengan tragedi, di mana jerung menjadi simbol sebagai penguasa zalim, manakala duyung pula adalah nasib orang yang tertindas, ‘jambatan  agung’ mungkin boleh di sifatkan sebagai perjalanan menuju kejayaan atau impian namun telah terkandas sehingga membuatkan jiwa terhuyung-hanyang.

Pada rangkap akhir sajak “Ingat-Ingat” jelas menerangkan kepada kita agar sentiasa menyampaikan pesan agar sentiasa menjaga adat dan tradisi dengan meletakan kain batik sebagai simbol tradisi, selain itu jati diri juga harus dipertahankan . Hal ini dapat di buktikan pada rangkap terakhir :

Dayang-dayang, ingatkan piat-piut,
Batik itu perlu diikat, usah lucut,
Badang-badang, ingatkan piat-piut,
Nusantra ini masih di jajah, usah kecut

Wallahualam... .
(m/s138, Nak Jadi Thukul)

“Negaraku Lucu” tulisan Arafat Hambali mengkritik arena politik negara berkecamuk yang berat sebelah, dan kita sebagai rakyat harus sedar dan bangkit untuk memperbetulkan kekecamukkan ini agar tidak diketawakan oleh negara melihat kemelut politik tanah air. Ini dapat dibuktikan pada rangkap berikut :

Ingat anak muda, jangan sangka matimu tua! Itu kerja tuhan.
Dan setan-setan sedang tertawakan kau, berteriakan-ria.
Ingat Sang Koruptor, hidupmu cuma serpihan najis berantakan
dari sisa-sisa buruhan.
Jangan enak kau liburan!
Kelak ajalmu di tiang gantungan
(m/s 149, Nak Jadi Thukul)

Kelucuan yang diketengahkan dalam sajak ini adalah derita atau tekanan yang terima oleh pihak oposisi mahupun rakyat dari penguasa  zalim. Oleh kita haruslah melawan dan menjernihkan segala kekeruhan.

Beduk logam dalam penyampaiannya yang telus melalui sajak  “Catatan Malam” mengenengahkan peranan sajak, atau kekuatan sajak sebagai satu senjata perlawanan yang dapat menggugat ketenteraman penguasa zalim. Mari kita perhatikan pada rangkap berikut :

‘Sajak mu telah melakukan criminal terhadap para penindas  dalam negeri ini.’  
(m/s 150, Nak Jadi Thukul)

 Apa yang cuba disampaikan di sini adalah dalam mencetuskan perlawanan kita tidak semestinya mengangkat senjata, kata-kata ataupun tulisan kita mampu menjadi peluru untuk menyerang penguasa zalim.

Amir Sazali dengan sajaknya yang berjudul “Dengar” memperlihatkan kepada kita tentang nasib sasterawan yang ditindas kerana melawan penguasa zalim. mari kita amati bait rangkap yang menjelaskan  situasi ini :

Adakah ini semua kerana perbuatanku
Adakah ini semua kerana pensil kontotku!
Salahkah aku menconteng sana sini?
Untuk memberi keindahan tapak yang korup ini!
(m/s 163 Nak Jadi Thukul)

Pada zaman serba edan ini  menjadi seorang penyair mahupun sasterawan yang menentang kezaliman pasti mendapat tentangan hebat dari penguasa yang tidak adil. Biarpun begitu halangan ini jauh sama sekali mematahkan semagat mereka untuk terus menulis demi menegakkan keadilan. Biarpun nyawa terpisah dari badan namun kata-katanya, setiap bait dari tulisan tidak akan mati, malah terus hidup melebihi umurnya sendiri. Untuk menjadi seorang Thukul bukan untuk bersenang-senang atau bermegah-megah. Menjadi seorang Thukul ada seorang yang melawan biar jasad terpisah. Namun setiap kata-kata yang lahir dari sukma  terus melawan sehingga akhirnya.