Rabu, 27 Januari 2016

Seni Hiburan Dalam Islam – Bhg 1


Seni merupakan ekspresi roh dan budaya manusia yang mengandungi dan mengungkapkan keindahan. Kecenderungan seseorang seniman terhadap keindahan terlahir dalam diri manusia itu sendiri kerana sesuatu keindahan itu memaparkan naluri  atau fitrah  manusia yang dianugerahkan Allah kepada hambaNya.

Elemen yang terdapat dalam kesenian dapat meningkatkan pertumbuhan pendidikan dan kebudayaan sesuatu bangsa yang sedang membangun. Seni sentiasa menjadi medan perbincangan dalam sejarah, kebudayaan dan ketamadunan manusia. Seni dihasilkan dalam bentuk yang kreatif yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi  dan inovasi seseorang individu.

Demi memperoleh satu sistem hidup Islam mengharuskan hiburan yang boleh membawa kebaikan. Seni lagu yang diharuskan oleh syarak boleh menjadi alat untuk mendidik sambil berhibur.

Muzik dan tarian merupakan ciri kehidupan yang melahiran gerak irama yang membawa manusia ke alam yang luas, jauh dan syahdu. Laungan Azan yang berkumandag dapat memikat hati manusia untuk mengerjakan solat. Paluan gendang dapat menyemarakan semangat manusia yang sedang perjuang. Alunan dodoi para ibu dapat mempercepatkan pertumbuhan bayi di dalam ayunan.

Mengulas mengenai muzik di dalam Islam membawa satu unsur penting dalam tradisi kerohanian Islam kerana ia merupakan satu disiplin ilmu dalam pembaharuan falsafah Islam. Di kalangan ahli sufi Islam, muzik merupakan wahana penting dalam memingkatkan tingkatan kerohanian di samping membentuk jiwa yang lembut, membangkitkan kedamaian rasa dan ketenangan hati.

Kebudayaan dan kesenian merupakan alat untuk menentukan nilai sesebuah bangsa. Seni dianggap sebagai salah satu pembangunan sesebuah tamadun. Oleh itu masyarakat Islam terutama mereka yang terdiri daripada lingkungan alim ulama, perlu mencapai kata sepakat dalam memandang dan menilai masalah dalam seni dan kebudayaan.

Pandangan Islam terhadap kesenian tidak kelihatan jelas pada zaman Nabi SAW dan pada zaman sahabat. Malah seakan ada pembatasan yang menghalang perkembang kesenian. Mungkin pada waktu itu  proses penghayatan Islam baru bermula dan Baginda Nabi SAW perlu berhati-hati dalam membentuk jiwa masyarakat yang telah sekian lama tercengkam dalam kehidupan yang jahil.

Bersambung…
  





Selasa, 26 Januari 2016

Kerana Mulut Badan Binasa



Belah halia masak di kuali
Tadah keranji sebentar nanti
Itulah manusia sejak azali
mudah berjanji sukar ditepati

Bidalan Melayu menyatakan mengungkap janji adalah sesuatu yang amat mudah, bagaimana pula dengan perlaksanaannya? Adakah ia juga semudah seperti yang kita ungkapkan?

Menurut Imam Ghazali dalam “Tujuh Jalan Ke Neraka” beliau menyatakan kegunaan lidah untuk membaca kitab Allah, menyatakan puji syukur kehadiratNya, memohon doa kepadaNya, mengajak manusia ke arah taat kepada Allah SWT dan membicarakan hal-hal yang baik baik serta bermanfaat. Selanjutnya Imam Ghazali berpesan agar kita tidak membiarkan lidah kita membawa kita ke neraka.

Seseorang itu tidak akan menjadi orang yang mungkir janji baik secara sengaja ataupun secara tidak sengaja seandainya dia tidak membuat janji. Lidah yang membawa kita ke neraka adalah lidah yang selalu mengucapkan janji-janji sehingga kita tidak lagi mampu menepati janji tersebut, kerana terlalu banyaknya janji yang telah diucapkan.

Dalam hidup, orang yang selayaknya paling dihormati adalah diri sendiri. Tiada sebab untuk marah jika diri tidak dihormati oleh orang lain, andai kita tidak menghormati diri sendiri. Cara untuk menghormati diri sendiri adalah dengan menepati janji yang dimeterai oleh diri kita kepada diri sendiri.

Janji merupkan 'self talk'. Menurut kajian, orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang punya harga diri yang tinggi. Salah satu tanda seseorang miliki harga diri yang tinggi adalah dengan menghormati dirinya sendiri.

Kesan daripada memungkiri janji pada diri sendiri, seseorang akan hilang semangat untuk hidup. Ia akan mengakibatkan murung, hilang keyakinan diri dan mudah kecewa dengan diri sendiri. Secara tidak langsung hilang jiwa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Kegagalan menunaikan janji ada kalanya disebabkan janji yang cuba dipenuhi itu tidak bersifat realistik. Janji memerlukan azam yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah. Contohnya, jika mahu melakukan solat lima waktu pada awal waktu, boleh dimulakan dengan solat Isyak berjemaah. Kemudian ditingkatkan kepada solat Subuh berjemaah dan akhirnya solat lima waktu akan terlaksana secara berjemaah yang secara tidak langsung akan didirikan pada awal waktu.

Orang yang bersifat menetapi janji selalu berusaha untuk mengelakkan dirinya dari berjanji. Ingatlah bahawa berjanji dan memungkirinya adalah salah satu sifat orang munafik.


Isnin, 25 Januari 2016

Langkah


Kehidupan ini adalah sebuah perjalanan, liku hidup yang penuh rintangan pula mengajar kita akan erti hidup. Dari situ akan kita rasai segala pahit-maung serta kemanisan. Dalam langkah yang kita atur, pernahkah kita fikir akan arah tuju yang mahu kita kecapi?


Apakah pengakhiran dalam kehidupan ini? Adakah kita akan hanya melangkah tanpa ada arah dan tujuan, atau barang kali kita cuma memikirkan hari ini adalah hari, esok adalah esok?

Jika sebegitulah pemikiran kita alangkah ruginya dan hidup ini seperti tiada maknanya?

Pernahkah kita memikirkan kefanaan ini cuma sementara yang dipisahkan oleh satu ruang deminsi yang tidak terlihat oleh kita?

Maka dengan itu haruslah kita memilih jalan sebaiknya demi mencari keredaanNya serta  mengkecapi nikmat yang hakiki yang tiada tolak -bandingnya dengan kesementaraan fana ini. 


Isnin, 28 Disember 2015

Toleransi Dan Islam

Toleransi Dan Islam

Toleransi itu adalah salah satu tata-fikir yang diajarkan oleh Islam, terutama sekali toleransi dalam beragama. Salah satu ajaran Islam yang digariskan oleh Allah SWT untuk pegangan kaum Musliman dalam kehidupan beragama dalam ayat yang berbunyi :

لا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لا اَنْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (٢٥٦)

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar itu daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul (ikatan) tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 256)

Pada ayat tersebut ditegaskan bahawa Agama Islam tidak mengenal unsur-unsur paksaan. Hal ini mengenai cara, tingkah-laku, sikap-hidup dalam segala keadaan dan bidang, serta dipandang sebagai satu hal yang hakiki.

Islam bukan sahaja mengajarkan supaya jangan melakukan kekerasan atau paksaan, akan tetapi diwajibkan pula supaya seseorang Muslim itu menghormati agama-agama lain dan menghargai pemeluk-pemeluknya dalam pergaulan. 


Selasa, 15 Disember 2015

Toleransi


Toleransi adalah salah satu tata fikir yang diajarkan oleh Islam, terutama toleransi beragama. Salah satu ajaran Islam yang di gariskan Allah SWT untuk menjadi pegangan kaum Muslimin dalam kehidupan beragama ialah tidak ada paksaan dalam agama, kerana sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang salah.

Katakanlah : “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, Bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka : “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”. 

Ali ‘Imran:64
Apakah toleransi?

Toleransi dapat diertikan sebagai kelapangan dada, keluasan fikiran serta berkait rapat dengan kesabaran dan sikap bertolak ansur. Contohnya toleransi antara pelbagai keturunan penduduk di Malaysia.

Dari huraian tadi dapat disimpulkan, bahawa tolenransi adalah satu tata-fikir atau sikap-hidup, mental attitude, yang menunjukkan kesabaran kelapangan dada dan kelapangan fikiran dalam menghadapi fikiran-fikiran, pendapat dan pendirian orang lain.

Dalam Istilah Agama Islam, kata toleransi itu dinamakan tasamuh iaitu membiarkan secara sedar terhadap fikiran atau pendapat orang lain. Orang yang demikian dinamakan tolerant. 

Toleransi membentuk sikap lahiriah tentang antara hubungan manusia dan masyarakat. Ciri-ciri toleransi itu diantaranya tergambar dalam kebesaran jiwa seseorang, keluasan faham dan pengertiannya. Kelapangan dada dan sabar menghadapi pendapat atau pendirian orang lain yang bertentangan dengan pendapat dan fikirannya sendiri. Di dalamnya termasuk toleransi kerana perbezaan kepercayaan agama.

Sifat toleransi menghendaki, bahawa perbezaan agama, perbezaan kepercayaan, perbezaan keyakinan dan pendirian. Perbezaan faham dan pernilaian dan seumpanya itu tidak boleh membuat satu garis pemisah mempengaruhi hubungan dalam segala bidang-kehidupan.

Harus sentiasa mewujudkan hubungan yang hormoni serta menjauhkan sikap kaku dan konfrontatif. Toleransi itu membentuk watak manusia supaya bersikap menahan diri, berlapang dada dan bertolak-ansur.

Selasa, 27 Oktober 2015

Solat Nawafil



Menurut kitab Fekah, solat sunat di sebut sebagai nawafil, bentuk jamak daripada nafilah yang bermakna tambahan Nawafil bermaksud solat-solat  tambahan. Solat sunat ialah selain daripada solat fardu lima waktu. Di dalam Al-Quran Allah telah memerintahkan agar melakukan solat tahajjud di waktu malam sebagai nafilah solat tambahan kepada solat yang lima waktu itu.

Imam Ghazali membahagikan solat nawafil itu ke dalam tiga istilah iaitu:-
  1. Sunat
  2. Mustahab
  3. Tatawu
Menurut Hujjahtu Islam ini, pembahagian itu hanya istilah sahaja untuk memudahkan darjat ketika-tiga solat sunat itu dilihat dari hadis-hadis yang menerangkannya dan kerajinan Rasullulah mengerjakannya.Imam Al-Ghazali tidak menolak sekiranya ada pihak yang memberikan istilah lain.

Apa yang dimaksudkan dengan Sunat ialah solat yang disandarkan kepada rasulullah SAW bahawa baginda sangat mengerjakannya (di samping menerangkan keutamaannya). Contoh seperti solat Sunat Rawatib sama ada sebelum solat fardu atau sesudahnya, juga solat Tahajjud, Solat witir  dan lain-lain.


Mustahab pula ialah solat sunat yang ada dalilnya daripada Rasulullah yang menerangkan tentang keutamaannya, tetapi tidak diterangkan bahawa baginda rajin mengerjakannya.

Manakala yang dimaksudkan Tatawwu, ialah solat sunat lain dari kedua-dua yang disebut di atas, tidak ada dalil khusus mengenainya. Tatawwu’ seerti dengan Tabarru’ yang bermakna berbuat kebaikan atau berbakti.

Solat Tatawwu’ adalah solat sunat yang dilakukan tidak ada kaitan dengan sebarang sebab sama ada waktu, tempat atau sebab lain. Tetapi hanya kerana ingin berbuat baik dengan mengerjakan solat secara mutlak.