Selasa, 9 Februari 2016

Keteguhan Iman Berlantaikan Amanah




Dalam kehidupan manusia tidak akan lari daripada kitaran amanah yang dipertanggungjawabkan. Perkerjaan, kekuasaan, pengetahuan, pangkat, anak dan bumi kita berpijak merupakan sebahagian daripada jalur hidup yang berteraskan amanah. Amanah yang harus kita tunaikan dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya. Hukum menunaikan amanah adalah wajib dan mengkhianatnya adalah haram.

Sesungguhnya amanah merupakan tiang  dan dasar bagi setiap amal baik dalam  setiap urusan di antara kita dan Allah SWT,  antara kita dan keluarga atau masyarakat. Hanya orang yang teguh imannya kepada Allah akan menjaga amanah.

Dalam kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, jilid 3 halaman 154, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Tiadalah iman itu sempurna bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan baginya. Dan tiada agama itu sempurna bagi orang yang sama sekali tidak menepati janjinya”

Masyarakat yang diselubungi dengan amalan rasuah dan nepotisme adalah yang tidak mahu mempedulikan amanah. Banyak pengkhianatan dan penipuan, rasuah sudah bermaharajarela di tengah-tengah masyarakat; tidak sedikit kesaksian pembohongan dilakukan oleh sesetengah pihak dan tidak sedikit pula orang menunda-nunda menyampaikan hak kepada yang sepatutnya. Semua ini adalah menyimpang daripada amanah, bahkan termasuk juga khianat.

Demikian juga hari ini dalam memilih pemimpin atau ketua agak sulit memilih yang terbaik. Rasulullah SAW memberi erti amanah dalam kepemimpinan adalah kemampuan atau keahlian dalam jawatan yang dipangku, bukan ukuran kekayaan semata-mata.

Kita boleh menetapkan pertimbangan dalam memilih pemimpin tetapi ingatlah selalu sabda nabi SAW yang bermaksud :

“Siapa yang mengangkat seseorang untuk jabatan yang berkitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih, maka seseugguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul dan kaum Muslim”

Semua berkaitan dengan kuasa. Kerana itu kekuasaan adalah amanah yang lebih penting untuk diawasi kerana kekuasaan itu cenderung untuk curang. Kekuasaan yang mutlak akan menjadi curang yang mutlak.

Maka dalam agama kita tidak diizinkan adanya kekuasaan yang mutlak. Seperti firman Allah kepada Musa AS yang bermaksud :

“Pergilah Musa Kepada Firaun itu, sesungguhnya ia telah melampaui batas.” Surah TAHA: 24

Maka Kekuasaan tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan. Pengawasan itu dilakukan oleh masyarakat. Semua ini terletak dalam rangka penegakan keadilan.

Dalam Al-Quran di ingatkan bahawa salah satu bentuk menyalahguna kuasa ialah melindungi tindakan-tindakan yang salah. Wujud penyalahgunaan kuasa tidak saja berupa tindakan salah daripada seorang penguasa secara langsung, tetapi juga berupa langkah melindungi kesalahan orang lain memalui penyalahgunaan kuasa.

Pada umumnya sesuatu hak tidak sampai kepada orang yang berhak memilikinya, kecuali setelah melalui kesulitan yang amat berat, atau setelah dipotong sebahagian hak itu dengan tanpa ada alasanya.

Dalam situasi begini, dimanakah yang dinamakan ‘takut’ kepada Allah? Dimanakah letaknya waspada diri terhadap Allah Maha Mengetahui, yang ghaib dan yang nyata? Allah berfirman bermaksud :

“… dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak. Mereka datang bergegas-gegas memenuhi panggilan dengan mengangkat kepalanya sedang mata tidak berkelip-kelip dan hati mereka kosong.”

(surah Ibrahim : 42-43)

Janganlah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang disifatkan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud:

“Biarlah mereka (di dunia ini makan dan bersenang-senang dan lalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka).”

(surah Al-Hijr: 3)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan