Selasa, 9 Februari 2016

Islam Meraikan Seni – Bhg 2

Dunia Seni amat indah dan sensetif.  Ia disukai, dicemburui malah sering dieksploitasi sehingga menjerumuskan seseorang seniman ke jurang maksiat. Hakikatnya, seni  itu bersifat murni dan amat bermanfaat untuk untuk membangunkan hati nurani manusia  dan kehidupan muslim. Dewasa ini seni dilihat dari segi perfektif negatif berdasarkan situasi semasa yang berlaku dalam dunia muzik dan hiburan. Perkembangan seni muzik dan hiburan masa kini sama ada di barat atau di negara Islam sendiri di lihat banyak yang memesongkan akidah dan pemikiran masyarakat, namun begitu bukanlah semua karya seni hiburan dan muzik bersifat demikian ada juga yang meletakan elemen-elemen kesedaran dan nilai murni dalam lirik lagu walaupun beraromakan muzik rock.

Realitinya, masyarakat Islam kini dihujani dengan pelbagi ancaman budaya yang berbentuk hiburan yang mencetekkan pemikiran seperti drama-drama cinta dan alunan rentak muzik yang kurang baik nilai liriknya.
Kesenian ‘sumbang’ ini disalurkan melalui pelbagai sumber dan wahana yang kini menjadi pilihan untuk berhibur. Seperti yang dapat kita lihat hari ini terlalu banyak program-program realiti yang kurang memberi manfaat kepada penonton melainkan hiburan semata-mata. Nilai hiburan yang baik adalah memberi kesan kepada jiwa manusia dengan menanamkan nilai pengajaran yang tinggi apabila seseorang itu menghayati sesuatu muzik atau pun menonton filem.

Seni muzik seringkali dikatakan sebagai sesuatu wadah yang melalaikan, membuang masa dan mendorang manusia kepada kemungkaran. Adakah begitu? Dalam hal ini seseorang pengkarya itu haruslah bijak dalam meletakkan unsur-unsur harmoni dengan menerapkan elemen ketenangan, kedamaian, ketakwaan dan keimanan serta menjaga batas-batas dan larangan dalam hukum agama.  Seorang seniman yang baik sesungguhkan akan menjaga elemen ini kerani seni adalah sebagian wadah dalam penyebaran dakwah kepada masyarakat.

Menyusur kepada kehidupan Rasulullah SAW, membuktikan bahawa baginda tidak melarang nyanyian yang tidak membawa kepada kemaksiatan. Nyanyian yang sangat popular di kalangan umat Islam ialah berzanji dan marhaban yang memuji Rasulullah SAW, nyanyian yang sarat dengan nilai-nilai agama.

Sementara itu, Imam Ahmad telah meriwayatkan, bahawa dua wanita mendendangkan lagu yang isinya mengenang para pahlawan yang telah gugur dalam peperangan Badar sambil menabuh gendang.

Berbeza pula dengan pendapat Para Ulama mengenai hukum muzik dalam Islam samada ia dibolehkan atau dilarang. Sebahagian ulama mengharamkan mendengar muzik atau memainkannya secara umum. Manaka sebahagian lagi membolehkan selama muzik itu mengandungi nasihat yang tidak bertentangan dengan Islam. Beberapa Ulama seperti Imam Az-Zahiri, Imam Asy-Syafie, Imam Malik dan Al-Ghazali membolehkan penggunaan alat muzik dan nyanyian selagi liriknya tidak terdapat ungkapan yang tidak baik dan boleh menimbulkan fitnah. Di samping itu terdapat juga beberapa hadis Nabi SAW tentang hal ini dan di perkuatkan dengan dalil pada surah  Luqman ayat 19 yang bemaksud :

“ Dan serdahanalah kamu dalam berjalan, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai”

Mengulas tentang ayat itu, Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa Allah memuji suara yang baik sehingga tidak dilarang mendengarkan nyanyian yang baik.

Muzik yang harus adalah muzik yang berilmu – membawa kepada pemurnian hati sanubari insan. Muzik yang bersifat kejahilan – merangsang kegelisahan dan kecetekan hati hati nurani insan yang boleh membawa kepada kekaburan  kemuliaan insan adalah dilarang. Seni kata juga sewajarnya membawa mesej kea rah akhlak mulia dan tidak melanggar batasan akidah Islam. Lagu-lagu cinta yang memuja perasaan cinta berlebih-lebihan misalnya dan terkandung kesesatan nafsu adalah haram. Sebaliknya, lagu-lagu sedemikian boleh menjadi kebaikan sekiranya senikata lagu menjurus ke arah pujian terhadap wanita yang baik akhlaknya dan beragama serta mulia. Namun begitu, pujian atau  sanjungan itu bukan ditujukan kepada wanita tetapi kepada nilai-nilai agama yang mulia  yang terpapar pada wanita tersebut. 

-THiJARI-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan