Sabtu, 5 April 2014

Bangsa Kita Lupa Sejarah

Tajuk: Bangsa Kita Lupa Sejarah.

Selesai membaca sebuah penulisan esai ringkas dari seorang sahabat Arian Ploso, mengenai “Langkah-Langkah ke Arah Kemajuan Bangsa". Apa yang dipertegaskan oleh beliau ialah mengenai sejarah. Betapa pentingnya kita melihat kita merujuk sejarah sebagai satu garis panduan dalam melangkah ke masa mendatang.  

            Menyentuh perkara ini mungkin ramai tidak mengambil endah tentang betapa pentingnya kita merujuk kepada latar peristiwa lalu. Apa yang ingin dibangkitkan sini, generasi muda kini semakin menjauh dengan sejarah. Di sekolah-sekolah atau Universiti pula mata pelajaran yang berkaitan dengan sejarah boleh dikatakan sebagai matapelajaran yang sangat membosankan. Mungkin kaedah atau silibus atau sukatan pembelajaran itu sendiri kurang menarik. Mungkin gaya bahasa penulisan sejarah itu kurang menarik. Ramai antara pelajar kita pada era kini mengeluh, mereka menyatakan mata pelajaran sejarah adalah seseuatu  yang membosankan.

            Oleh yang semikian perkara sebegini harus dititik beratkan pada generasi muda kini kerana tanpa pemupukan semangat, generasi muda kini akan terjajah kembali dengan cara moden di era globalisasi ini. Hal begini harus dibendung. Penulisan sejarah di sekolah-sekolah harus di tulis semula, kerana sebahagian sejarah bangsa Malaysia disenyapkan atas dasar dan kepentingan pihak tertentu. Sejarah yang tercacat pada buku rujukan sekolah-sekolah kini lebih banyak menceritakan tetang kehebatan penjajahan menakluki bumi Malaysia. Perihal tentang kita kemerdekaan kita juga tidak jelas. Ada sebahagian perkara yang menaikkan semangat kenegaraan kita disembunyikan. Cara kemerdekaan kita yang tercacat di buku-buku sekolah  pula mengangkat golongan bangsawan, hanya sebilangan kecil sahaja golongan bawahan yang diangkat seperti semua sedia maklum, antaranya Dato Bahaman, Tok Janggut, Dato Naning, dan beberapa orang lagi.

            Golongan kiri yang dianggap kiri oleh pihak penjajah tidak begitu diangkat, malah seboleh-bolehnya ingin disembunyikan daripada pengetahuan umum. Ketidakjujuran dalam penulisan sejarah inilah yang membuatkan generasi muda kini merasakan mempelajari sejarah itu adalah satu yang membosankan. Ini kerana sumber sejarah yang tertulis di peringkat sekolah tidak sedikitpun yang memupuk mereka untuk bersemangat. Sumber sejarah kita lebih banyak memperhebatkan bangsa asing yang menjajah. Seolah-olah bangsa kita ini adalah bangsa yang begitu lemah sekali. Mungkin boleh kita katakan sumber sejarah kita juga turut terjajah.

            Oleh yang demikian kita memerlukan satu perubahan yang drastik. Pemupukan budaya yang pelbagai harus disatukan kerana negara kita mempunyai masyarakat yang majmuk. negara kita tidak seperti kebanyakan negara yang lain. Dalam sistem kini kita masih terikat dengan pemecahan kelas iaitu masyarkat Melayu hidup di kampung-kampung, Masyarakat India di estet-estet, masyarakat cina pula di bandar-bandar. Sistem yang ditinggalkan oleh penjajah ini masih terpupuk dalam masyarakat kini. Perkara sedemikian harus dihakis dan disimulasikan semula. Supaya antara kita tiada perbezaan bangsa biar pun berlainan kaum  mahupun anutan agama. Meletakkan perbezaan bangsa itulah yang menjatuhkan sesuatu bangsa. Di Malaysia, Bangsa Melayu menganggap diri mereka sebagai tuan, di tambah pula berbagai peruntukkan dan subsidi diutamakan kepada mereka. Hal ini jugalah yang membuatkan mereka malas bersaing. Malah sering ditindas oleh bangsa lain, biarpun mempunyai taraf warganegara yang sama.

            Selain itu budaya terikut-ikut dengan budaya kearaban, kebaratan inilah yang menjatuhkan malah menghakis identiti bangsa sesebuah negara. Hal ini lebih ditekankan kepada masyarakat Melayu. Apa yang dapat kita lihat pada hari  ini masyarakat melayu lebih terikut-ikut dengan pembudayaan luar ini. Mereka merasakan seolah-oleh budaya mereka sendiri itu tidak bertamadun, sehingga perlu mengangkat budaya yang begitu asing pada diri mereka sebagai satu pahaman dan anutan. Ini adalah satu perkara yang amat menyedihkan.


            Mungkin ini juga boleh kita katakan sebagai satu permasalahan dalam negara banga yang serba pincangan ini. Oleh yang demikian penitikberatkan dalam menggali permasalahan ini harus dilakukan dengan kadar segera agar  kepincangan ini tidak berlanjutan, sehingga pupusnya sesuatu bangsa yang pernah menggelarkan diri mereka sebagai tuan kepada negeri yang berdaulat. Era kini kita masyarakat Melayu bukan lagi tuan tanah yang berdaulat. Kini tanah ini adalah tanah bersama, kita berkongsi tanah. Memajukan dan memeliharanya adalah tanggungjawab bersama.        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan