Ahad, 24 Ogos 2014

Resensi Buku : Nak Jadi Thukul : Biar Nyawa Terpisah Namun Tetap Hidup





Penghujung Julai 2014, sedang rakyat Malaysia beragama Islam sibuk membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri lahir sebuah naskah antologi yang memuatkan esei, cerpen dan sajak  berjudul ‘Nak Jadi Thukul’.

Mengapa Thukul, apa yang tersembunyi di balik perkataan tersebut? Mengapa mesti  dieja thukul  tidak tukul?  Teka-teki ini hanya akan terjawab apabila anda membaca naskah “Nak Jadi Thukul”. Buku tribute ini sebenarnya lebih mengangkat semangat juang seorang seniman  aktivis Indonesia yang secara tidak langsung terlibat dengan kegiatan kesusasteraan iaitu puisi. Selain itu beliau juga terlibat dalam kegiatan teater dan seni lukis.

Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya mengapa Wiji Thukul, tidak adakah tokoh sasterawan dari tanah air sehingga perlu kita angkat susuk tokoh luar sebagai contoh? Ya, sudah tentu kita punya ramai susuk tokoh negarawan yang boleh diangkat namun begitu, kelahiran antologi ini bukanlah menolak perjuangan nasionalis tanah air tetapi memperkenalkan kepada khalayak merasai semangat juang melalui persepsi yang berbeza. Adalah lebih baik kita mengangkat tokoh luar yang serumpun dengan kita dari mengangkat tokoh terlalu jauh dengan kebudayaan dan latar kita.

Hanya bahagian esei sahaja yang menceritakan perihal akan Wiji Thukul dan analis karya beliau manakala selebihnya bertampuk dan berlandaskan idea yang meletakkan kejituan terhadap kritikan sosial tanah air.

Buku tribute “Nak Jadi Thukul” yang diterajui Beduk Logam bersama sembilan penulis bersama telah meluahkan idea dan sudut pandang generasi muda terhadap sistem sosial masa kini. Ini adalah satu usaha yang baik dalam memperkayakan persuratan Melayu.  Penulisan esei yang dimulai dengan “Bisakah Seni Memperbaiki Hidup”  lebih banyak bermain dengan jiwa seseorang untuk menjadi seniman yang mengajak khalayak atau pembaca berfikir hala tuju sebuah karya seni ataupun persoalan ‘untuk apa kita berseni’.  Dengan adanya persoalan sebegini ia akan menentukan mutu sesebuah karya yang lahir.

Seterusnya diikuti dengan tulisan “ Negara dan Widji Thukul : Suatu Kalkulasi Simbolik” oleh Ramayda Akmal. Esei beliau membincangkan perihal akan Widji Thukul yang terkenal dengan puisi-puisi yang mengkritik pemerintah sehinggakan pihak kerajaan merasakan beliau adalah seorang yang merbahaya kerana menggugat kedudukan melalui karya yang bersifat protes dan kritikkan sehingga dapat memprovok massa. Hal ini menjadikan Widji Thukul sebagai simbolik kepada penentangan ketidakadilan penguasa atau pemerintah melalui semangat juang yang terlahir dari karya-karya beliau.

          Dalam “Sindrom Muhaya : Kritikan Wertheim dan Thukul atas Sosiologi” tulisan Benz  Ali, lebih mengetengahkan perihal kolompok kelas antara borjuis dan proletariat.  Apa yang ditekan di sini adalah tekanan yang dilempar oleh kaum pemodal terhadap kaum tani  kononnya mereka ini (petani) sangat malas berkerja kerana pengeluaran produksi terjejas akibat kekurangan bahan mentah atau sebagainya.

Dari sisi kaum perkerja karya Wiji  Thukul diangkat sebagai simbolik suara kuam pekerja yang menyatakan keperitan hidup dan betapa tertekannya hidup meraka. Adakah setimpal imbal-balik yang diterima? Tentu sekali tidak. Dengan itu maka  terlahirnya karya-karya yang menceritakan keperitan hidup atau ketidakadilan pemerintah terhadap rakyatnya atau majikan terhadap pekerja. Apa yang persoalkan di sini adalah kekalutan sistem yang lahir  hingga membuat golongan bawahan sentiasa tertindas. Mampukah  sesebuah negara itu hidup tanpa kelas?

“Thukul dan Peluru” lebih mengangkat tugas atau hala tuju seorang penyair, seorang penyair adalah seorang pemerhati dan jauh sama sekali terikat atau bergelumang dengan politik yang memberat kepada sebelah pihak sahaja. Penyair adalah pengkritik dan sentiasa menimbulkan persoalan-persoalan yang mengajak khalayak yang membaca syair atau sesebuah puisi itu untuk berfikir. 

Maka Hanya Ada Satu Kata : “Lawan” lebih menekan permaknaan diksi yang digarap oleh Wiji Thukul dalam pengisian karya beliau, secara keselurahan pengisian  sajak-sajak Wiji Thukul jika sekali imbas bersifat donotatif tetapi sekiranya dibaca secara berulang ia akan menjadi konotatif yang melahirkan permaknaan yang berbeza. Sajak-sajak Wiji Thukul  mudah untuk difahami dan mencapai maksud yang jelas dari segi penyampaiannya.

Cerpen atau cerita pendek adalah gagasan idea yang disampaikan melalui naratif. Adakalanya ia tidak menekankan jalan cerita tetapi lebih menekankan kepada mesej yang  ingin disampai. Cerpen berbeza dengan novel. Umum mengetahui novel adalah cerita panjang yang mempunyai ranting cerita, gagasan idea atau falsafahnya lebih dari satu, jika tidak digarap dengan baik maka akan terpesonglah konsep atau gagasan yang ingin dibawa.

“Rokok John Naik Tiga Kupang” karya Harafat Hambali menekan perihal kenaikan harga, yang mendadak.  Dalam tulisannya beliau juga turut mengkritik sikap pemimpin yang bersikap lepas tangan dalam menangani  masalah kenaikan harga. Justeru itu beliau mengangkat rokok John sebagai satu simbolik gagasan yang merosakkan sistem melalui peralihan dari rokok John ke rokok daun. Lebih jimat lebih nikmat. Seperti yang kita tahu rokok adalah sesuatu yang mendatangkan keburukan dari segi sistem kesihatan manusia.  Kita dapat lihat dari segi permaknaan yang digarap ialah rokok sebagai rakyat dan tubuh badan yang sihat itu adalah pemerintah. Biarpun begitu kemudaratan yang terhasil bukan untuk rakyat tetapi menyerang ke sistem  atau penguasa sesebuah negara. Alternatif yang diambil ini adalah inovasi pemikiran kristis seorang rakyat yang kecewa dengan sikap lepas tangan seorang pemimpin. Dari kecewaanlah bangkit satu perlawan yang mentang sistem yang sedia ada untuk kehidupan yang lebih baik.

Nik Aidil  dengan karya “Surat kepada Ala 1&2”  memecahkan kepada dua bahagia bahagian pertama menyentuh tentang rumah sajak secara tidak langsung menekan permasalahan yang timbul dalam kolompok sosial. Manakala bahagian kedua beliau meletakkan penekanan kepada gagasan idea sama ada berkesan atau apabila dilaksanakan. Walaupun begitu, banyak persoalan yang tersirat yang ditinggalkan kepada pembaca, antaranya ialah  falsafah  rumah, melihat kepada perkataan ‘rumah’  ia  membawa kepada satu gagasan yang menyingkap perihal intergiti, perpaduan dan kebertanggungjawaban. Bahagian dua pula lebih merujuk kepada kematian  budaya,  hal ini jadi akibat segelintir budayawan yang hilang rasa tanggungjawannya dan juga kritikan kepada masyarakat terhadap pemerimaan budaya tradisi mereka yang berlawan dengan tuntutan serba moden ini.

Selanjutnya kita susuri lima buah cerpen dari  Bedok Logam. “Tahi Sastera” mengisahkan tentang seorang pemuda yang sangat tinggi misi dan visinya memerangni kemasukkan budaya hedonism ke dalam dunia kesusasteraan, apa yang cuba dibangkitkan di sini wajarkah kita cuma mempunyai gagasan atau idea-idea sahaja tanpa ada sebarang tindakan? Tentu sekali tidak.

Cerpen “Orang Kecil” secara dasarnya merujuk kepada masalah kejiwaan yang dialami oleh watak ‘Aku’ iaitu anorexia (keinginan untuk menjadi kurus atau cantik). Apabila kita menyelami ke dasar pengisian cerpen ini ia merupakan simbolik kritikan kepada pemerintah yang tidak pernah puas akan apa yang telah mereka gelapkan ataupun mereka selewengkan, watak  bayang timbul dalam cermin  itu adalah gambaran kepada pemerintah yang semakin hari semakin gemuk sehinggakan tidak mampu berjalan. Manakala watak ‘Aku’ mewakili derita rakyat atau kaum tertindas yang semakin hari semakin kurus dan menderita.

Cerpen “Panggung  Absurd” adalah kritikan kepada golongan budayawan yang terlalu mementingkan teoritikal sehingga menghilangkan keindahan karya seni itu sendiri. Dan persoalan yang ditinggalkan kepada pembaca ialah dalam menghasilkan karya seni apa yang perlu didahulukan pengisian atau konsep teorinya? Teoritikal terhasil selepas wujudnya sesebuah karya. Maka jika seseuah karya seni itu dibina berdasarkan teori maka akan wujud sedikit kecacatan, kerana tidak ada pembebasan yang meluas saat karya itu terhasil.  

“Apakah yang Akan Berlaku Kalau Seluruh Manusia Berhenti bercakap” mengisahkan tetang kuasa besar dunia bersepakat untuk meletakkan undang-undang baru bahawa manusia dilarang sama sekali. Biarpun bentuk cerpen ini mudah diratah atau dihadami tetapi ia meninggalkan kesan dan persoalan yang besar kepada pembaca. Antaranya ialah larangan bercakap itu sendiri? Bercakap yang bagaimanakah dilarang? Mengapa larangan bercakap itu dikuatkuasakan adalah persoalan yang paling penting sekali yang harus dijawab oleh pembaca. Bercakap yang dimaksudkan oleh saudara Beduk Logam dalam cerpen ini lebih menjurus kepada kritikan kepada pembesar atau pemerintah.  Rakyat dilarang sama sekali menyuarakan segala keburukkan yang berlaku di dalam sistem pentadbiran. Ini kerana dengan adanya suara-suara sumbang inilah yang akan mencemari prestasi dan nama baik mereka. Seboleh-bolehnya penyelewengan dalam pemerintahan ini ingin sekali menyembunyikan segala kesalahanannya biar pun jelas terbukti. Dengan adanya kuatkuasa yang begini maka bersihlah segala kekotoran yang mereka lakukan dan rakyat pula seolah merelakan perbuatan mereka. Biarpun cerpen ini seperti memenangi idealogi pemerintah zalim terdapat satu watak “Aku” menentang kuatkuasa yang ingin dilakukan oleh pemerintah zalim.

Cerpen “Bila Perempuan Merintih” berkisahkan tentang  pengorbanan. Ia lebih mengajak kita berfikir kewajaran pengorbanan itu sendiri. Selain itu juga ia merujuk pada pengharapan yang tinggi atau dalam kata lain imbal-balik terhadap perngorbanan yang telah dilakukan. Keseluruhan pengisian penceritaan mengisahkan tentang keluhan orang-orang kecil dalam menangani penindasan terhadap mereka, contohnya watak “Aku” itu sendiri. Dia hanya akan memberikan wang kepada Midas setelah nafsu serakahnya dipuaskan. Rintihan yang diluahkan oleh watak ‘Midas’ kepada ‘Aku’ seakan tidak memberi apa-apa makna. Biar pun begitu inilah persoalan dan gagasan idea yang menjadi tunjang utama dalam cerpen ini. Ia lebih mengajak pembaca berfikir erti sebuah pengorbanan.

Pada bahagian sajak, antologi ini memuatkan dua puluh dua buah karya, masing-masing membawa gagasan yang tersendiri. Menurut Muhammad Haji Salleh sajak tidak dapat disamakan dengan bahan ilmu tulen seperti biologi atau psikologi atau sosiologi kerana ilmu tulen mempunyai disiplin dan kaedah yang khusus. Logik persembahan sajak  lebih berbaurkan logik perasaan dan wawasan, manakala ilmu lebih tulen lebih objektif dan terikat dengan peraturan dan disiplinnya. Sajak biasanya menjadi pembawa pengalaman hidup manusia, cara berasa dan berfikir, sikap dan pandangannya terhadap masyarakat dalam alam raya. Sajak menjadi pelengkap kepada ilmu tulen ini kerana ia  khusus membawa bahagian kehidupan yang tidak dapat dilihat dengan saksama hanya melalui sesuatu disiplin atau objektif ilmu.

Ada perasaan, ada fikiran dan ada pula deria. Sajak atau puisi sering menangkap kenyataan yang luar biasa, yang abstrak; membawa kita kepada pengalaman-pengalaman dari sudut pendekatan yang baru. Karya yang baik selalu membijaksanakan, dengan maksud ia menolong kita mengenal ke arah penyelesaian.

Sajak atau puisi menceritakan tentang kenyataan yang ada, tetapi dengan imaginasi dan kreativiti ia mungkin sampai kepada daerah-daerah yang tidak dapat dicapai oleh bahasa biasa.

Kimi Ismawi dalam nukilannya  berjudul “Kenapa Diam” mengajak pembaca atau khalayak yang mendengar isi atau bait sajak ini untuk bangkit melawan penindasan yang kita sendiri sedar, biarpun begitu tidak ramai berani bangkit untuk melawan seakan kita ini merelakan apa yang berlaku walaupun kita sendiri ditindas.

Awal permulaan sajak telah membentangkan kepada khalayak akan tekanan-tekanan yang dilakukan oleh penguasa-penguasa zalim kepada rakyat. Mari kita lihat rangkap pertama: -

Aku mahu tahu kenapa semua masih diam
apabila kepala dipijak sesedap hati
apabila suara dicantas mesin menteri
apabila hidup ditaja kuku besi
(m/s 130 Nak Jadi Thukul)

Baris pertama rangkap ini adalah pertanyaan keras yang dilontar oleh Kiwi Ismawi. Pertanyaan begini seakan satu sindiran kepada kita masih berdiam sedang diri ditindas seolah merelakan apa yang berlaku tanpa ada perlawanan.

Apa ada pada mahasiswa yang mahu menjadi peluru
kala mindanya dijajah penjajah
penjajah bertag nama “bumiputra”
hanya kuasa raksasa berpaksi hantu
(m/s 130 Nak Jadi Thukul)
        
        Rangkap tiga seperti di atas memperlihatkan gelagat segelintir pihak yang mahu lawan tetapi pemikirannya masih terbelenggu dengan idealogi lama tanpa membuat peralihan atau pembaharuan. selain itu juga pada rangkap ini juga sedikit mengkritik bangsa melayu dan sistem pemerintah yag sedia ada.

Apa yang kita dapat simpulkan pada keseluruahan sajak “Kenapa Diam” ialah mengajak kita berpindah minda ke satu era yang lebih nyata, untuk ke arah itu kita harus bangkit dan lawan bukan berdiam diri.

 “Aku Ingin Menjadi Peluru”  menyuntik semangat untuk mereka yang berdiri medan perjuangan. Namun begitu ada satu persoalan besar yang ditinggalkan oleh Muhammad Saifullah dalam iaitu makna peluru itu. Adakah peluru itu membela atau memusnahkan? Ia adalah sesuatu yang subjektif dan hanya boleh dijawab oleh pembaca atau khalayak yang menyusuri bait kata yang diukir.

Walau bagaimana pun pada rangkap terakhir Muhammad Saifullah menjelaskan menjadi peluru adalah jalan kematian, sama ada yang menentang peluru atau menjadi peluru. Keduanya pasti mati apabila bertembung. Namun kematian bukan ketakutan demi meraih  cita-cita dan impian. Jika mati. Mati yang bagaimana?  mari kita amati bait akhir  sajak “Aku Ingin Menjadi Peluru”

Bila dilepaskan konklusinya mati
tak perlu didacing lagi
hanya perlu ingat pada ilahi
hidup itu mesti, mati itu pasti
            (m/s 133 Nak Jadi Thukul)
            
Benz Ali dengan baris katanya melalui sajak “Dari Penjara Terlahirlah Wira” mendorong para pejuang yang menegakkan keadilan agar tidak berputus semangat biarpun mereka tertindas, di masa mendatang pasti akan ketemu jua keadilan baginya,  dan  penguasa zalim tentu saja akan merima balasan atas kezaliman yang telah dilakukan.

Rejim zalim pasti tumpas
biar mereka terus bercengkerama
biar mereka terus berama-rama
takhta jelata yang telah lama tertindas
pasti dunia ini kan akhirnya bebas
(m/s 135, Nak Jadi Thukul)

Sebagai seorang pejuang kita tidak harus mudah mengalah, malah sentiasa melawan demi menegakkan keadilan. Dan setiap setiap rintangan yang datang adalah penguat bukan melemahkan semangat.

Kardil Lani seorang yang  kreatif  dalam permainan kata. Sajak beliau “Ingat-ingat” sarat dengan simbol. Pada rangkap pertama sajaknya diiringi dengan suasana cuaca yang suram sebelum ia melontarkan pesan dan ingatan kepada pembaca mahupun khalayak sastera. Mari kita susuri bait kata tersebut :

Mega? Mendung,
Awan? Gugur tak berbumbung,
Laut? Sudah kembung jerung ratah duyung,
Jambatan agung? Merayang-rayang nisbah menggulug,
Atma terhayang, Sukma terhayung.
(m/s 138, Nak Jadi Thukul)

Bayangan cuaca dijadikan sebagai simbol akan datangnya bencana atau perkara buruk. Kemudian disoroti dengan tragedi, di mana jerung menjadi simbol sebagai penguasa zalim, manakala duyung pula adalah nasib orang yang tertindas, ‘jambatan  agung’ mungkin boleh di sifatkan sebagai perjalanan menuju kejayaan atau impian namun telah terkandas sehingga membuatkan jiwa terhuyung-hanyang.

Pada rangkap akhir sajak “Ingat-Ingat” jelas menerangkan kepada kita agar sentiasa menyampaikan pesan agar sentiasa menjaga adat dan tradisi dengan meletakan kain batik sebagai simbol tradisi, selain itu jati diri juga harus dipertahankan . Hal ini dapat di buktikan pada rangkap terakhir :

Dayang-dayang, ingatkan piat-piut,
Batik itu perlu diikat, usah lucut,
Badang-badang, ingatkan piat-piut,
Nusantra ini masih di jajah, usah kecut

Wallahualam... .
(m/s138, Nak Jadi Thukul)

“Negaraku Lucu” tulisan Arafat Hambali mengkritik arena politik negara berkecamuk yang berat sebelah, dan kita sebagai rakyat harus sedar dan bangkit untuk memperbetulkan kekecamukkan ini agar tidak diketawakan oleh negara melihat kemelut politik tanah air. Ini dapat dibuktikan pada rangkap berikut :

Ingat anak muda, jangan sangka matimu tua! Itu kerja tuhan.
Dan setan-setan sedang tertawakan kau, berteriakan-ria.
Ingat Sang Koruptor, hidupmu cuma serpihan najis berantakan
dari sisa-sisa buruhan.
Jangan enak kau liburan!
Kelak ajalmu di tiang gantungan
(m/s 149, Nak Jadi Thukul)

Kelucuan yang diketengahkan dalam sajak ini adalah derita atau tekanan yang terima oleh pihak oposisi mahupun rakyat dari penguasa  zalim. Oleh kita haruslah melawan dan menjernihkan segala kekeruhan.

Beduk logam dalam penyampaiannya yang telus melalui sajak  “Catatan Malam” mengenengahkan peranan sajak, atau kekuatan sajak sebagai satu senjata perlawanan yang dapat menggugat ketenteraman penguasa zalim. Mari kita perhatikan pada rangkap berikut :

‘Sajak mu telah melakukan criminal terhadap para penindas  dalam negeri ini.’  
(m/s 150, Nak Jadi Thukul)

 Apa yang cuba disampaikan di sini adalah dalam mencetuskan perlawanan kita tidak semestinya mengangkat senjata, kata-kata ataupun tulisan kita mampu menjadi peluru untuk menyerang penguasa zalim.

Amir Sazali dengan sajaknya yang berjudul “Dengar” memperlihatkan kepada kita tentang nasib sasterawan yang ditindas kerana melawan penguasa zalim. mari kita amati bait rangkap yang menjelaskan  situasi ini :

Adakah ini semua kerana perbuatanku
Adakah ini semua kerana pensil kontotku!
Salahkah aku menconteng sana sini?
Untuk memberi keindahan tapak yang korup ini!
(m/s 163 Nak Jadi Thukul)

Pada zaman serba edan ini  menjadi seorang penyair mahupun sasterawan yang menentang kezaliman pasti mendapat tentangan hebat dari penguasa yang tidak adil. Biarpun begitu halangan ini jauh sama sekali mematahkan semagat mereka untuk terus menulis demi menegakkan keadilan. Biarpun nyawa terpisah dari badan namun kata-katanya, setiap bait dari tulisan tidak akan mati, malah terus hidup melebihi umurnya sendiri. Untuk menjadi seorang Thukul bukan untuk bersenang-senang atau bermegah-megah. Menjadi seorang Thukul ada seorang yang melawan biar jasad terpisah. Namun setiap kata-kata yang lahir dari sukma nuraninya terus melawan sehingga akhirnya.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan