Keperluan Yang Wajar Dibawa Ke Tanah Suci Bagi Jemaah Haji
Selasa, 11 Ogos 2015
Rabu, 29 Julai 2015
Bahasa Mempengaruhi Perkembangan Tamadun
Bahasa Mempengaruhi Perkembangan Tamadun.
Agama berkembang melalui bahasa. Sebagaimana bermulanya pengislaman
raja-raja Melayu melalui pedagang Islam yang datang berniaga di Melaka sewaktu
zaman kegemilangan Kerajaan Melayu sebagai pusat dagangan dunia pada abad
ke-15. Ketika itu juga dikatakan Bahasa
Melayu telah menjadi lingua fanca dan di kenali seantero dunia.
Dengan adanya hubungan komunikasi bahasa yang baik menyebaran agama
itu dapat berkembang dengan lebih lancar ke dalam jiwa sesuatu bangsa kerana
mereka lebih lebih mudah faham dengan pendekatan bahasa setempat.
Melihat kepada karya-karya lama Melayu, masyarakat melayu
tradisional menerapkan elemen Islam itu dalam penggunaan bahasa Melayu demi
memudahkan orang Melayu faham akan ajaran Islam itu sendiri, ini dapat kita
lihat melalui syair berikut :
Bismillah itu permulaan kalam
Dengan nama Allah Khaliqul alam
Adam diturunkan ke dalam alam
Dunia gelita semua kelam
Adam terkejut tiada terperi
Turun di Pulau Serindit nama negeri
Menangis adam beriberi-peri
Mengenangkan nasib badan sendiri
Jibril datang membawa wahi
Menyuruh Adam sembayang berdiri
Sembayang Adam satu rakaat
membawa iman dengan taat
Fajar terbit waktu subuh
Adam duduk sedang bersimpuh
Ia menyesal serta mengeluh
badan hangat serta peluh
Bangkitlah adam lalu berdiri
Membaca Qunut sambil berperi
mengangkat tangan menyusun jari
Matari terbit sianglah hari.
(Hj, Mohd. Wajib bin Abdul Rahman
Slim River, Perak 1976)
Gaya Syair di atas telah mengingatkan kita kepada Jalaluddin
Rumi. Seorang tokoh Islam yang terkenal sebagai penyair lagenda parsi. Di
kalangan orang Arab, India dan Pakistan Jalaluddin Rumi dipandang sebagai
seorang sufi agung dan guru mistik tingkat (maqam) tertinggi meski pun ia
menyatakan bahawa ajaran-ajaran Al-Quran bersifat alegoris (kiasan) dan
memiliki tujuh makna yang berbeza.
Oleh kerana Al-Quran bersifat kiasan maka sewajarnya ia
memerlukan penafsiran atau ulasan dalam bahasa tempatan bagi memudahkan kita
menangkap makna sebenar atau pengertian yang lebih jelas untuk memahami
Al-Quran itu sendiri. Itulah yang telah dilaku oleh Jalaluddin Rumi melalui
kitab Matsnawi. Ada pendapat mengatakan karya ini samudera ‘irfani yang sarat
dengan visi spiritual dan sosial yang unik dan istimewa. Matsnawi merupakan
takwil kerohanian atas ayat-ayat Al-Quran yang ditulis dalam bentuk sajak yang
indah.
Seperti yang kita ketahui Rumi menawarkan lautan pengetahuan
yang luas, dan perlu juga kita fahami bahawa tradisi Rumi bukan sebuah tradisi
“Timur” yang selama ini kita anggap sebagai kaum gasar yang rindukan
“keindahan”. Bahkan apa yang dipersembahkan oleh beliau bukanlah berasal dari
Timur mahupun barat, tetapi berada diantara keduanya.
Dalam “Tradisi Islam” yang telah dipercantikan Rumi, cara
hidup Islam telah membentuk “kesedaran” spiritual di kalangan masyarakat umum.
Dalam Matsnawi beliau menjelaskan mengenai tingkat kesedaran spiritual sebagai
titik awal untuk meningkatkan pemahaman rohani.
Oleh demikian Sumbangan Jalaluddin Rumi amatlah besar
terhadap perkembangan agama Islam. Jika juga wajar untuk mengikut jejak langkah
beliau dengan menggunakan kaedah yang sama melalui pemahaman kita mengikut
lokaliti kita sendiri. Di sini bukanlah kita hendak mengubah isi kandungan
Al-Quran, tetapi kita memberi pemahaman kepada masyarakat agar mereka dapat
menekuni apa yang tersirat dalam kitab suci itu sendiri.
Agamawan dan para ulamak juga
perlu bersifat progresif, dalam memperkembangan agama Islam dalam bahasa
tempatan, melihat keadaan hari ini, kita amat sukar untuk menemui karya agung
Islam dalam bahasa melayu, kekurangan sumber bahan terjemahan dan hanya
tertumpu pada karya atau sumber ilmu dalam bahasa arab. Disini bukanlah untuk
kita menolok penggunaan bahasa arab sebagai bahasa syurga, tetapi berapa ramai
antara rakyat kita di Malaysia yang boleh berbahasa arab dengan baik? Hal ini
diketengahkan adalah kerana penyebaran ilmu dalam bahasa tempatan adalah lebih
baik ia mudah untuk kita fahami merentasi semua golongan yang ada sama ada
berpendidikan tinggi mahupun tidak kerana penggunaan bahasa tempatan itu sampai
ke jiwa mereka. Malaysia terdapat ramai
golongan cendekiawan yang mendapat didikan dari negara timur dan dan sewajarnya
kepulangan mereka itu dapat memberi manfaat kepada warga kita dengan
melakukan pelbagai terjemahan ke dalam
bahasa Melayu. Agar Ilmu yang diperoleh ini dapat dikembangkan atau
diinovasikan dalam kaedah susur budaya dan nilai agama mengikut latar sosial
tempatan. Oleh demikian bahasa memberi peranan penting dalam penyebaran agama
dan mengangkat martabat agama itu sendiri. Seperti yang dilaku oleh Jalaluddin
rumi dalam menghasilkan karyanya ke dalam bahasa Parsi dan begitu diangkat
kemata dunia. Tidak mustahil juga bahasa Melayu juga dapat melangkah jauh
kehadapan. Jika kita tidak segan silu menggunakan bahasa tempatan. Dalam
konteks begini Ilmuan negara kita perlu belajar bagaimana negara jiran kita
iaitu Indonesia yang begitu mengangkat keilmuan dalam bahasa kebangsaan mereka.
Ahad, 8 Februari 2015
Cerpundek; Menguji Mata Fikir
Baru-baru ini
sebuah penerbitan bawah tanah iaitu Cukong Press telah menerbitan zine yang
berjudul ‘Cerpundek’ yang memuatkan dua buah ceritera bersiri dan sebuah cerita
pendek. Tentu sahaja penggemar tulisan bawah tanah atau ahli pergerakan bawah tanah ini mengenali
tiga orang penulis yang menerajui naskah ‘Cerpundek’ ini. Mereka ialah Nomy
Nozwir, Aepool dan Ocha Vozvyshenny.
Ketiga-tiga
penulis muda ini telah meluahkan idea mereka dengan baik serta menghubungkan
isu-isu semasa ke dalam bentuk yang santai dan menghiburkan Dalam cerpen
‘Yuanfen’ watak Sidi yang digambarkan oleh penulis sebagai seorang berisi cuba
mengantung diri namun cubaan beliau gagal, kerana tali gantung tersebut tidak
dapat menampung berat badannya. Akibat dari itu ia telah menyebabkan Sidi
hilang ingatan. Berikutan dari kehilangan daya ingatan itu, rakan-rakan Sidi
cuba membantu untuk memulihkan ingatannya. Dalam waktu yang sama Sidi juga
turut bermimipi akan tragedi-tragedi yang pernah berlaku satu ketika
dahulu. Fikiran zidi juga diberatkan dengan
puisi yang tercacat dalam zine yang diberikan oleh Anna. Antara bait yang
tercatat dalam zine tersebut ialah :
“Aku berfikir, maka aku wujud
tapi aku fikir
bagaimana aku boleh wujud,
kalau aku sendiri tak pernah fikir mengapa aku wujud?
kalau aku tak pernah fikir mengapa aku wujud,
macam mana aku nak kata yang aku ini wujud?”
Disini
pencarian diri Sidi bermula, bertanya tentang kewujudan diri dan fungsi diri
didalam dunia ini.
Maka sangat
digalakan kepada anda yang telah mendapatkan Antologi “Cerpundek” untuk
mendapat edisi yang berikutnya.
Seterusnya
kita beralih pula kepada kisah bersiri yang dikarang oleh saudara Aepool yang
bertajuk “Degil” ia mengangkat kisah semasa berkaitan tentang banjir. Dimana
bapa dan abang kepada Apit tidak diketahui apa yang terjadi ke atas mereka saat
semua keluarga mangsa banjir berpindah ke kawasan perpindahan sementara, namun mereka
dan beberapa penduduk tidak juga tiba di kawasan permindahan sementara
tersebut. Hal ini telah menyebabkan Rahim dan Pak Yusof bersama berberapa penduduk yang lain bercadang
ke kawasan banjir untuk mencari mereka yang belum tiba ke kawasan pemindahan. Keadaan
bertambah rumit apabila PakYusuf dikatakan telah hayut dibawa arus, manakala
Rahim pula patah kaki.
Mendengar
perbualan orang di kawasan pemindahan banjir, Apit nekad untuk menuruni bukit
mencari bapa dan abangnya. Dalam perjalanan tersebut Apit telah tergelincir di
gaung sehingga mencampakkan dirinya di taman, anehnya kawasan tersebut
tidak di tenggelami air, malah kawasan tersebut dikawal dengan anjing pengawal.
Dimanakah sebenarnya Apit berapa, mengapa kawasan taman yang baru ditemui itu
tidak dilanda banjir? Ini menjadi dan persoalan besar yang sengaja ditinggalkan
oleh penulis bagi mengikat pembaca untuk membaca tulisan terseterusnya.
Manakala
cerpen “Munuju Interaksi Lubang Faraj” telah digarap dengan baik. Watak Chayya
secara tidak langsung dijadikan sebagi simbol kepada nilai ketuhanan ini dapat
kita lihat pada rangkap dan baris berikut :
“... . semua orang mahu melindungi Chayya kononya, menyelamatkan
wanitakononnya, sedangkan mereka itu semua siapa? Mereka bukan Chayya, Chayya
ku yang agung bboleh menyelamatkan dan menjaga dirinya sendiri, aku kenal
kekasihku, Chayya ku yang kuat dan bijaksana, semua kata-kata ini adalah
bertujuan memberi semangat pada aku dan Chayya untuk terus mencapai cinta kami.”
Jika di lihat dari aspek ketuhanan cinta yang paling agung adalah cinta
kepada tuhan, dan tuhan juga tidak memerlukan sesiapa untuk melindunginya
kerana ia maha berkuasa lagi bijaksana. Walaupun cerpen ini kelihatan seperti
mengenengahkan perjalan cerita yag berbaur erotik. Namun telah digarap dengan
baik dengan meletakkan unsur-unsur sufisme iaitu kecintaan terhadap tuhan
mungkin itu yang ingin dibawa oleh saudara Ocha Vozvyshenny.
Ini dapat diperkuatkan lagi pada baris berikut untuk memperkuatkan lagi
nilai kecintaan Azam kepada tuhan, apabila orang menjatuhkan hukum terhadap apa
yang dia percaya.
“...maka riuhlah umat-umat manusia sekeliling kami akan menjatuhkan
hukum pada kami, tetapi aku tidak fikir panjang lagi dengan menjaga-jaga
hati-hati manusia ini, di mana pula hatiku mahu dicampakkan?”
Apa yang boleh kita lihat hari ini, masyarakat sering bertelagah tentang
pandangan atau pendapat dalam nilai kepercayaan terhadap tuhan ini dapat kita
lihat dalam masyarakat islam itu sendiri, mereka sering bertelagah sesame sendiri
malah menghukum atas sebab berlainan pendapat atau mazhab.
Walaupun cerpen ini sebenarnya menceritakan tentang imaginasi seorang
remaja yang ingin melepaskan nafsunya didalam tandas (onani), namun apa yang tersirat
adalah lebih besar dari itu. Bentuk penulisan yang begini boleh digelar sebagai erotiksufi.
Begitulah secara ringkasnya ulasan mengenai zine “Cerpundek”. Sekian terima kasih.
Jumaat, 2 Januari 2015
PENDERHAKA DARI MIMPI MENYUSURI REALITI
Dari Mimpi Menyunsur Realiti
Mimpi,
semua orang mengenal mimpi. Ia dapat
disimpulkan sebagai gambaran aktiviti atau kejadian sewaktu seseorang itu
sedang tidur atau keinginan, cita-cita, harapan dan khayalan untuk suatu hak
yang akan terjadi di masa hadapan. Mimpi adalah pengalaman bawah sedar yang
melibatkan pengelihatan, pendengaran, fikiran, perasaan atau pancaindera lain
dalam tidur. Ia disertai dengan gerakan mata yang cepat (rapid eye movement/REM
sleep).
Mimpi
adalah satu keajaiban yang menakjubkan, setiap orang boleh membina mimpi
sendiri. Alam mimpi boleh membawa kita mengembara ke mana saja pelusuk dunia yang
kita mahu, melalui pengalaman yang didapati dari dunia realiti. Alam mimpi
juga adakalanya membawa kita ke zaman atau waktu yang tidak pernah kita sampai
seperti membawa ke masa hadapan yang
kita gelar sebagai dejavu atau membawa waktu silam kita yang tidak pernah kita jejak secara realiti. Pengalaman mimpi ini
jika digarap ke dalam sesebuah karya sastera atau seni halus ia boleh digelar
sebagai realisme magis.
Apa
yang hendak ditekan di sini adalah sebuah genre sastera yang berbentuk realisme magis
yang terdiri dua perspektif yang saling bertentangan, iaitu di satu sisi
berpaksi pada sudut pandang rasional dan realiti manakala pada sisi lain pula
berpaksikan pada penerimaan sesuatu perkara yang bersifat supernatural sebagai
sebuah realiti yang prosaik (menjemukan). Namun begitu realisme magis berbeza
dari fantasi, ini kerana realisme magis mempunyai aturan atau sistem dalam bentuk yang normal, sebuah dunia moden
dengan deskripsi autentik (kepercayaan/keyakinan) atas manusia dan masyarakat.
Kebiasaannya,
karya-karya realisme magis, sentiasa melahirkan watak-watak yang hidup di dunia
realiti dan watak mimpi atau
imaginasinya sendiri. Meskipun demikian, realisme magis juga dapat
didefinisikan sebagai suatu keasyikan atau daya tarik yang memperlihatkan hal-hal yang biasa atau yang terjadi dalam
kitaran harian yang bukan sekadar biasa, bahkan aneh.
Merujuk
pada Novel ‘Penderhaka’ tulisan Marsli N.O pada bab terakhirnya, yang secara
jelasnya keseluruahan naratif yang berjalan dari bab satu bukanlah di dunia
nyata. Ini dapat kita lihat pada perenggan terakhir beliau.
“ Dan tubuhku kini menginjak dunia nyata.”
m/s 190
Penutup
kepada novel inilah dapat dirujuk bahawa perjalanan naratif pada bab satu
hingga 19 merujuk bukan berada di dunia
nyata. Biarpun kelangsungan naratif tidak berada didunia nyata. Tetapi ia masih
real (nyata) di alam mimpi, kerana disana kita masih dapat merasa,
melihat dan mendengar.
Angel
Flores berpendapat bahawa realisme magis melibatkan suatu penggabungan atau
peleburan dari realisme dan fantasi. Dalam realisme magis kehadiran supernatural
seringkali terhubung pada perkara purba dan mentaliti magis orang Indian yang
hidup dalam semesta gabungan dengan
rasionaliti Eropah. Melihat pada pemikiran tersebut ia bukanlah sesuatu yang
menghairankan apabila Ray Vrezasconi, seperti pengkritik-pengkritik lain,
pernah menyatakan bahawa realisme magis adalah sebuah ekspresi dari realiti Dunia Baru yang pada suatu saat menggabungkan
elemen rasionalisasi peradapan Eropah dan elemen irasional (tak rasional) suatu
peradapan primitif Amerika.
Menurut
Gonzales Echeverria, realisme magis adalah sebuah pandangan dunia yang tidak
berdasarkan pada alam atau hukum fizik juga realiti objektif. Dalam realisme
magis seorang penulis berusaha untuk melawan kenyataan dan cuba untuk kembali menyingkapnya dengan
jalan yang menjadi inti misteri dalam kehidupan objek, serta perilaku manusia.
Ini
dapat kita lihat pada bab pertama dalam novel ‘Penderhaka’ Pada muka dua :
“...
. Tiba-tiba diri berteriak. Langit di sekeliling pun terbelah. Dan pada pada
detik yang sama, kelihatan segerombolan helang terbang melayah-layah. Hei! Hei!
Mahu ke mana? diri berteriak kearah sekalian helang. Sekalian Helang kelihatan
menyeringai. Mahu ke mana? Teriak diri lagi. Mahu ke taman. Ke taman? Ke Taman
Inderaloka. Aku ikut? Kalau kau mahu. Tetapi aku tidak memiliki sayap. seperti
kalian. Bayangkanlah bahawa kau kini
telah pun memiliki sayap. Dan mulailah terbang ke mana pun yang kau
suka. Diri teragak-agak. Antara percaya dengan tidak. Antara yakin dengan
tidak. Kenapa masih tercenung-cenung? Tanya sekalian helang. Mustahil, diri
mendesis. Usah banyak soal. Apa saja yang kau inginkan dan fikirkan. Ayuh.
Pejamkan mata. Dan ternyata benar kini di kedua-dua belah bahu terasa telah
tumbuh dua sayap. Satu di kiri dan satu di kanan. Ayuh, Mulailah terbang.”
m/s 2-3
Apa yang cuba di tampilkan di sini adalah bermulanya pengembaraan
watak diri di alam mimpi. Jika di dunia nyata, amatlah mustahil untuk sseorang
manusia itu dapat berinteraksi dengan sekawan helang. Dan tentulah amat tidak logik
atau rasional sekali untuk seorang manusia boleh mengeluarkan sayap saat dia
inginkan. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Dengan garapan di alam
luar nyata ia adalah sesuatu yang benar lagi nyata. Kerana, di alam mimpi ia melibatkan pengelihatan, pendengaran, fikiran
perasaan atau pancaindera lain dalam tidur.
Melalui realisme magis, seorang sasterawan atau seniman mencipta ilusi atas “sesuatu yang tidak nyata”, ia berusaha untuk memalsukan pelarian dari
hal-hal natural, dan menyampaikan suatu tindakan yang seandainya dapat hadir
sebagai suatu yang dapat dijelaskan akan
datang dan melintas sebagai suatu keanehan. Ini meninggalkan kesan bahawa dalam realisme magis seorang penulis
itu mengubah realiti seharian menjadi sesuatu yang ajaib, ghaib, penuh
dengan nausa-nausa mistik.
Dalam realisme magis, kesedaran keajaiban penciptaan kesedaran yang
tidak biasa, tak terduga, dan sentiasa merujuk pada fenomena yang tidak mungkin
terjadi. Tetapi dalam ralisme magis, Hal
ini tidaklah terjadi secara ilmiah, melainkan manipulasi yang disengajakan atas
realiti dan persepsi seorang sasterawan atau seniman sendiri dalam usahanya
mencipta karya.
Biarpun Marsli N.O memaparkan keanehan luar dari ruang lingkup
nyata namun ia bukanlah satu naratif yang kosong, ia menjadi sarat jika kita
tidak membuka ruang pemikiran bawah sedar kita. Oleh demikian sebagai seorang
pembaca kita harus amati dengan teliti untuk memahami pergerakan naratif yang
ingin disampaikan oleh penulis.
Secara keseluruhan cerita digerakan oleh watak ‘DIRI’ dan ‘AKU’
yang merupakan seorang penyair. Ini dapat dibuktikan pada dialog yang di
kemukan oleh Marsli N.O :
“ Sudahlah. Hentikan omonganmu itu. Aku sudah bosan mendengarnya,”
kini salah seorang daripada mereka pula menempelak diriku.
“Hei! Kau ini siapa sebenarnya?” Tanya pula seorang daripada mereka
yang lain.
Aku terkesima dan terkedu beberapa detik lamanya.
“Apakah kau seorang penyair?” Tanya salah seorang daripada mereka
yang lain.
Aku terkedu.
“Benarkah kau ini seorang penyair?” terdengar tanya terlontar lagi.
“Perlukah kalian tahu?” Kini aku kembali membalas dengan tanya.
“Kenapa tidak?”
“Untuk apa?”
“Tetapi kalau benar kau ini seorang penyair, sudah tidak ada
gunanya lagi kau menasihati kami,” balas salah seorang daripada mereka.
“Ah, apalah ertinya. Seorang penyair dan sebuah puisi. Apalah
ertinya. Pemerkosaan demi pemerkosaan tetap juga bermaharajalela. Di
mana-mana.”
“Jika pun itu yang terjadi, kenapa pula kepada penyair salah dan
dosa mesti di bebankan?” Sanggahku.
“Kerana kami tahu betapa penyair juga tidak lebih hanyalah seorang pemimpi yang
mencipta utopia demi utopia dengan omongannya,” tempelak salah seorang daripada
mereka.
“Dan lebih meng'aibkan lagi, betapa kadang-kadang penyair jugalah
yang ikut sama bersekongkol membiak pemerkosaan. Mengatakan benar terhadap apa
yang sepatutnya ia tidakkan.” Salah seoarang daripada mereka turut menempelak.
“Jangan sebarang menuduh. Tidak semua penyair sedemikian dan rendah
martabat dirinya.” Tegas aku membela.
“Kelihatannya kau begitu bersungguh membela penyair. Barangkali kau
ini memang seorang penyair.”
m/s 184-185
Keseluruhan isi novel ini sarat dengan mesej dan kritikal sosial
yang bersifat sejagat yang digarap dengan unsur-unsur tradisional dan moden
serta diiring dengan emosi seorang penyair yang kembali mencari keakuan dirinya
dalam kemelut sistem dunia yang semakin porak-peranda.
Pada bab satu kita dapat melihat bagaimana Marsli N.O mengemukakan
perasaan yang diliputi keresahan diri. Dimulai bunyi Tra-la-la yang sentiasa
menghantui diri. Kemudian di susuri dengan sekawan helang yang menuduh ia
mencintai dunia dan dia juga yang mengotornya. Watak diri bertemu dengan wajah
menyerupai watak diri, dan memberi peringatan bahawa dia (watak diri) adalah
mangsa dari idealisme dan utopia muluknya sendiri.
Merujuk kembali pada pengalaman mimpi seperti yang tertera pada
rangkap pertama dalam penulisan ini. Di alam mimpi kita boleh mewujudkan pelbagai watak
dan latar yang di garap dari pengamalan di dunia realiti. Biarpun di dunia
nyata kita menyatakan ianya tidak benar tetapi pada hakikatnya di alam mimpi ia
adalah kebenaran yang mutlak. Demi mencari sebuah kebenaran ia bermula dengan
perubahan diri.
Dalam pembentukan sistem masyarakat yang seimbang peranan kepercayaan atau yang lebih tepat
lagi adalah peranan agama sangat penting, kerana dengan adanya kepercayaan ia
akan membentuk akhlak yang mulia dan nilai moral yang murni. Sekiranya bentuk
kepercayaan ini di selewengkan maka akan punahlah sesuatu bangsa. Berlakulah
keruntuhan moral, demi menjaga kepentingan sendiri.
Apabila watak diri melihat segerombolan manusia berbondong-bondong
ke puncak bukit untuk melihat sesuatu yang keramat dalam acara korban. Watak diri
melayangkan diri ke udara untuk melihat
apa yang berlaku di atas sana. Keramat
adalah sesuatu yang di anggap suci, dalam masyarakat tradisional Melayu keramat
melibatkan unsur-unsur spiritual dan kuasa ghaib yang secara tidak langsung ia
juga melibatkan kepercayaan spiritual atau kepercayaan terhadap agama.
Pada bab ini Marsli N.O memaparkan kepada pembaca akan lima orang
yang berkerudung dan seorang pemuda yang akan dijadikan korban. Apa yang boleh
kita gambarkan disini adalah watak lima orang berkerudung yang kononnya dapat
mendatangkan keramat sebenarnya adalah penyeleweng. Mereka meminta itu dan ini
sehingga kan masyarakat setempat sudah tidak punya apa-apa untuk diberikan
namun keramat yang dijanjikan tidak juga muncul. Disini ia merujuk kepada
penyelewengan ahli agama yang mengambil kesempatan yang ada dengan
mempergunakan agama demi meraih kemewahan.
Melihat kekalutan
dalam sistem masyarakat yang kian porak, watak aku mengambil keputusan untuk
menyendiri di sebuah pulau yang jauh dari masyarakat setempat. Biarpun begitu
pengasingan itu telah dikejam malah watak aku telah di tuduh sebagai penderhaka
kerana tidak sefahaman dengan mereka yang lain.
Kekalutan ini
bermula dari penyelewengan agama, kemudian terus menular ke media akhbar yang
cuba menempelkan berita bencana namun tidak dikemukakan punca. Malah punca
sesuatu bencana itu digelapkankan dari pengetahuan masyarakat kononnya bagi
mengelakan masyarakat atau selurah warga berasa bimbang. Dan perkara ini juga
sering berlaku di dunia nyata (luar dari kotak naratif) contohnya, punca
berlakunya banjir, atau kehilangan pesawat yang tidak dapat dipastikan sama ada
terhempas mahupun dirampas oleh pihak tertentu. Biarpun penggelapan punca
bencana atau malapetaka ini sengaja diadakan tiada siapa yang bangkit melawan
hannya menurut. Dengan pendapat pihak kerajaan atau pihak berwajib tahu apa
dilakukan. Hal sebegini tidak seharusnya terus berlangsung dan harus
dipecahkan. Agar pimikiran masyarakat setempat terus berkembang. Masyarakat
hari ini seolah-olah dibekukan pemikiran mereka. Oleh demikian sampai bila kita
akan membiarkan pembekuan pemikiran ini?
Menyebut pada
pembekuan pemikiran, ia lebih merujuk kepada kepakaran dalam bidang tentu
seperti kejuruteraan, pertanian, perubatan, keagamaan, keilmuan atau falsafah
serta lain-lain lagi. Untuk menjadi ahli kepakaran dalam bidang-bidang tersebut
haruslah mendapat kelulusan dan iktiraf dari badan kerajaan atau dilantik oleh
penguasa. Ahli yang pakar dalam sesuatu bidang itu pula perlu mengikut acuan
yang telah ditetapkan oleh pihak penguasa, sekiranya terdapat sebarang
pengcanggahan maka ahli pakar ini akan disingkirkan dan dianggap telah
menderhaka kepada kerajaan.
Apa yang cuba disampaikan
oleh Marsli N.O dalam novel PENDERHAKA ialah beliau cuba mengajak kita cuba
berfikir dari kotak pemikiran biasa dengan menilai atau melihat kembali sistem
sosial yang ada. Dengan penelitian dan pengamatan yang baik kita akan melihat
kesan dan keburukan sistem sedia ada, malah mungkin akan menemui penyelesai
untuk menstruktur kembali kekalutan yang ada. Akhir kata, menjadi seorang
penderhaka bukanlah untuk keburukan tetapi menjadi penderhaka demi kemakmuran
sejagat dengan melawan kegelapan yang
telah sekian lama memegang tampuk pemerintahan mahupun sistem tertentu. Mungkin juga novel ini mengajar kita untuk menjadi penderhaka yang baik.
Sumber
dan rujukan :
1.
Novel
Penderhaka, Masli N.O, DBP-2011
Selasa, 9 Disember 2014
part1 ( PERUBAHAN DI JALAN MARAH )
Fendi merenung jauh ke dasar sungai yang hitam, sesekali lalu
sampah dihanyutkan deras air. Dia meneka-neka hitam sungai ini kerana apa?
Adakah kerana lumpur bergolak tatkala dipukul deras atau apa? Hanyut sampah
meresahkan fikirnya. Mungkin di hujung sana ada bekas sampah yang terkopak atau
sampahnya telah bertimbun tidak diangkut oleh perkerja pengakut sampah kerana
lorinya rosak.
Fendi mencucuh rokok dari luar negara yang masih tersisa di saku.
Hampir lima belas tahun dia di rantauan orang. Pengalaman yang dilalui akan
diguna sebaik mungkin demi negara dan nusa bangsa begitulah azamnya sebaik
sahaja menjejak kaki di tanah air tercinta. Beberapa jam lagi dia akan
berangkat pulang ke kampung.
Nyaman udara segar terngia-ngia di benak. Kokok ayam, lunak
burung berkicauan, kerdipan si kunang-kunang, kocak air sungai sewaktu ikan
melompat, semuanya bergolak di sanubari. Betapa rindunya dia sukar sekali untuk
digambarkan. Perjalanan dari pusat bandar ibu negara ini mengambil masa
kira-kira dua jam. Masa seakan lambat bergerak, di dalam bas dia ingin
memejamkan mata namun tidak terlelap.
Entah bagaimana fikirannya melayang mengimbau kembali pengalamannya
bekerja jauh beribu batu menyeberang sempadan negara dan lautan. Hutang yang
membelenggu telah mencampakkan dia ke sini – sebuah ladang. Gara-gara judi, dia
terpaksa berkerja di ladang yang penuh kehinaan. Fendi mempertaruhkan dirinya
dalam perjudian dan akbiatnya dia telah dijual menjadi hamba ladang milik tuan
negara atas angin.
Biar pun begitu segala kepahitan ditelan demi meneruskan hidup.
Sebagai tahi judi yang tegar, dia masih berkira-kira mempertaruhkan segala isi
dalam diri untuk meraih kemerdekaan. Bagaimana jalan dan caranya dia tidak
tahu? Namun naluri kuat mengatakan dia bakal bebas suatu masa nanti.
Kali pertama dia menjejakkan kaki ke
ladang ini, hidupnya tidak tenteram, perasaan hina mencurah-curah ke dalam
dirinya. Barulah dia tahu erti haram yang sering di sebut-sebut oleh ahli agama
yang selama ini tidak pernah diendahkan. Dia sendiri berasa jijik terhadap
dirinya dengan perkerjaan yang dilakukan sekarang. Namun apakan daya dia kini
seorang hamba. Segala raganya milik tuannya, biar pun jiwanya tidak rela.
Sebaik sahaja turun dari bas Fendi
menghirup udara pekan, dia terbatuk-batuk. Sedikit kecewa, sudah tidak senyaman
dahulu, cepat benar semuanya berubah. Dia menahan teksi menuju ke rumah
tercinta yang sekian lama ditinggalkan. Apa khabarkah ayah dan ibunya? Sihatkah
mereka? Sungguh tidak sabar jiwanya untuk mendakap mereka.
Pemandangan kampung sudah tidak
sehijau dahulu, Fendi cuba mengingati saat melihat kawasan yang telah
digondolkan. Ya, dulu di situlah dia dan beberapa rakan meracik burung dan ayam
hutan. Kini kawasan itu telah menjadi tanah lapang, mungkin akan dibangunkan dengan
penempatan manusia atau kilang-kilang yang kononnya akan memberi sumbangan
kepada pembangunan negara. Oh, betapa ruginya generasi akan datang. Keseronokkan
yang dia nikmati suatu ketika dulu mungkin tidak akan dikecapi oleh generasi
baru, rugi. Sungguh rugi.
Fendi menghulurkan wang tambang kepada pemandu teksi. Dia tercegat
dihalaman rumah seketika. Jantung berdegup kencang, kaki seakan kaku, takut
untuk melangkah masuk ke dalam rumah itu. Apa yang dia perhatikan, tidak banyak
perubahan terhadap luaran rumah tersebut. Masih ingatkah ayah dan ibu akan
dirinya? Ketakutan menyerang sanubari Fendi. Asap hitam teksi membuatkan dia
terbatuk-batuk. Di balik langsir ada tampang meninjau-ninjau keluar.
Degupan jantung bertambah kencang, peluh membasahi dahi, kad di tangan
tak menyebelahi nasib, dia bakal kalah. Entah bagaimana dia boleh bersetuju
untuk menawarkan dirinya sebagai taruhan. Segala penyesalan sudah tidak
berguna, dia harus berbuat sesuatu. Ya, melarikan diri. Itu adalah salah satu jalan terbaik untuk dia selamat dari
menjadi hamba. Tangan terketar-ketar memegang kad, mata mencari-cari ruang
untuk meloloskan diri. Fendi mencampak kad, lalu menolak salah seorang pemain
judi. Dia berlari sekuat hati menuju ke dalam hutan.
Mak
Milah, meninjau ke luar tingkap, dia seakan kenal dengan lelaki yang berdiri di
halaman rumah, Namun pengelihatan tak berapa jelas disebabkan faktor usia, lalu
mengenakan kaca mata. Dia mengecam seketika. “Fendi” terpacul dari bibir Mak
Milah. Lantas dia keluar menyambut kepulangan anaknya itu. Melihat Mak Milah
berlari kecil, Fendi segera mendapatkan ibunya.
“Fendi,
kau balik juga nak... mak rindu betul dengan kau.” Fendi tak
terkata apa lantas memeluk
ibunya. “Mari, mari kita masuk tentu kau penat. Malam ni mak masak sedap-sedap
untuk kau.” Fendi hanya tersenyum.
Benar
suadah lama dia tidak menjamah masakan air tangan ibunya, kali pertama dia
menjejak kasi di negeri atas angin dulu, dia langsung tidak menjamah apa-apa
makanan yang disediakan oleh majikannya. Dia takut, rasa geli untuk menyentuh
semua makanan yang tersedia di ruang makan pekerja. Dan pada saat itulah dia
mula berkira-kira tentang halal dan haram dalam pemakanan.
Diri
terasa sungguh jahil. Dari mana dia hendak mencari kitab-kitab agama untuk
dijadikan rujukan? Adakah diantara mereka ini seagama dengannya?
bersambung.......
Khamis, 30 Oktober 2014
Industri Filem Malaysia Harus Seimbang
Industri
Filem Malaysia Harus Seimbang
Hanya
tiga buah filem inggeris berkisahkan tentang penulis (watak utamanya adalah
penulis) yang pernah aku tonton. Pertama Finding Neverland 2004 menyisahkan
tentang seorang penulis Scotland JM
Barrie, yang melahirkan sebuah drama pentas yang berjudul Peter Pan yang terinspirasi daripada hubungan
platonik (hubungan yang terlahir bukan kerana dorongan nafsu) Sylvia Llewelyn
Davies, dan persahabat rapat dengan anak-anaknya terutamanya Peter.
Filem
kedua ialah The Ghost Writer 2010. Lakonan Ewan McGregor sebagai watak penulis
yang tidak diberi nama, ditugaskan untuk menyambung kerja-kerja penulisan
memoir Perdana Menteri British Adam
Lang. Yang akhirnya membawa hidupnya ke dalam bahaya.
Dan
filem terbaru yang aku tonton adalah Kill The Messenger 2014, filem ini
berdasarkan kisah benar penyiasatan wartawan Gary Webb tentang penglibatan CIA
dalam penyebaran kokain di Los Angelas, California. Webb terus menggali untuk
mengungkap konspirasi besar yang mengakibatkan bukan sahaja mengancam kariernya
tapi juga keluarga dan hidupnya.
Ketiga-tiga
cerita yang aku kemukan tadi amat menarik untuk ditonton. Dan aku sebagai
seorang yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan ini, sangat terdorong
untuk menjadi penulis yang baik apabila
menonton filem-filem yang begitu. Mungkin banyak lagi filem-filem barat atau
luar negara yang mengisahkan tentang penulis yang tidak pernah aku tonton.
Malaysia
juga turut mempunyai filem berkisahkan tentang penulis (pergerakan ceritanya
tentang penulis) pertama filem “Mat Som” 1990 arahan Prof. Dr. Hatta Azad Khan
yang diadaptasi dari komik karya Lat (Mohammad Nor Khalid). Dan sebuah lagi
ialah “Penyair Malam” arahan dan lakon layar Kamal Ishak, cerita asal Ning
Irdahayu. Pada pandangan aku yang dangkal ini, kedua filem ini adalah antara
filem terbaik Malaysia yang memaparkan pergerakan naratif tentang penulis.
Ada
juga filem-filem yang mengisahkan tentang penulis namun hanya wataknya sahaja
tentang penulis tetapi pergerakan ceritanya tidak. Apa yang ingin aku
perkatakan disini adalah mengenai industri kita yang sangat kurang memaparkan filem-filem yang
berkualiti. Jika ada sekalipun filem itu tidak dapat menembusi tayangan perdana
kerana kekangan-kekangan tertentu seperti menjaga sensetifviti agama, keluarga
atau masyarakat tertentu, dan negara/tampuk pemerintahan sendiri.
Biarpun
kita berhadapan dengan kekangan-kekangan begitu itu, sebagai pengiat seni atau pengiat filem haruslah
menjana satu idea yang kreatif untuk melepasi kekangan-kekangan tersebut. Akar
sesebuah filem bermula dari naskahnya iaitu skrip. Selain itu tajuk memainkan
peranan penting, kerana dari tajuk telah melambangkan isi yang cuba di
sampaikan. Seperti yang kita ketahui kebanyakan tajuk filem di Malaysia tidak
membijakan penonton ataupun audian. Contohnya “Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa”
“Sebenarnya Saya Isteri Dia” dan banyak
lagi. Berbeza dengan negara jiran serumpun kita dengan menggunakan tajuk yang
penuh dengan simbolik seperti “Negeri Tanpa Telinga” dengan penggunaan tajuk
yang baik ia sedikit sebanyak menunjukkan isi filem tersebut. Audian akan
membayangkan apa yang ingin gambarkan dalam filem tersebut, secara tidak
langsung mengajak khalayak yang ingin menonton berfikir apabila mendengar,
melihat judul filem tersebut.
Apa yang ingin diperkatakan di sini bukanlah untuk
menafikan kehadiran filem yang
berkualiti di Malaysia, tetapi jumlah yang ada terlalu sedikit. Sampai bila kita hendak jadikan menjadikan budaya rempit, gangsterisme,
hantu/kekurafatan dan cinta, sebagai
satu anjakan paradigma. Tentu juga kita akan tertanya-tanya apakah manfaatnya?
Peralihan yang bagaimana kita terima saat menonton filem yang begitu?
Selain
kekurangan filem yang mengisahkan tentang penulis, kita juga kekurang cerita sejarah.
Sewajarnya badan tertentu, mengimbangi pengeluaran produk industri filem kita,
agar masyarakat tidak terlalu dilekakan dengan hiburan semata-mata.
Berbalik
semula kepada filem yang mengisahkan tentang penulis, (plot ceritanya tentang
dunia penulisan). Malaysia tentu sekali ramai penulis-penulis besar, yang boleh
diadaptasikan atau diangkat tokoh-tokoh sasterawan ini ke layar perak. Amatlah rugi sekali jika tidak
dapat mengangkat tokoh-tokoh besar kita untuk digarap ke dalam cereka perfileman tempatan, kerana rakaman sesebuah video
atau filem adalah sebahagian dokumentasi sejarah yang memberi makna atau nilai
yang besar pada masa akan datang.
Apa
yang dapat aku simpulkan di sini adalah keseimbangan dalam penghasilan filem tempatan
adalah perlu. Dengan adanya kesimbangan ini kita dalam mengubah cita-rasa
masyarakat atau khalayak yang menonton
telah di momokkan dengan cerita seperti rempit, gangster, cinta dan cerita
hantu yang berbentuk hiburan semata-mata. Dengan adanya kepelbagaian genre
filem, masyarakat kita dapat berhibur sambil berfikir. Dengan adanya elemen
seni untuk masyarakat yang mengangkat isu sosial yang menyampaikan pandangan
hidup yang progresif.
Ahad, 24 Ogos 2014
Aneh-Aneh
Aneh sungguh... .
penghormatan diselewengkan
dan budaya ikut-ikutan
menular- menjadi virus,
perlahan ... .
memakan jati insani
sedang terkorban demi nusa
terus terpinggir
tiada tanda
apatah lagi sekalung ucapan
jauh sekali penghormatan.
Ogos 2014
Langgan:
Catatan (Atom)













