Selasa, 9 Disember 2014

part1 ( PERUBAHAN DI JALAN MARAH )

Fendi merenung jauh ke dasar sungai yang hitam, sesekali lalu sampah dihanyutkan deras air. Dia meneka-neka hitam sungai ini kerana apa? Adakah kerana lumpur bergolak tatkala dipukul deras atau apa? Hanyut sampah meresahkan fikirnya. Mungkin di hujung sana ada bekas sampah yang terkopak atau sampahnya telah bertimbun tidak diangkut oleh perkerja pengakut sampah kerana lorinya rosak.

Fendi mencucuh rokok dari luar negara yang masih tersisa di saku. Hampir lima belas tahun dia di rantauan orang. Pengalaman yang dilalui akan diguna sebaik mungkin demi negara dan nusa bangsa begitulah azamnya sebaik sahaja menjejak kaki di tanah air tercinta. Beberapa jam lagi dia akan berangkat pulang ke kampung.

Nyaman udara segar  terngia-ngia di benak. Kokok ayam, lunak burung berkicauan, kerdipan si kunang-kunang, kocak air sungai sewaktu ikan melompat, semuanya bergolak di sanubari. Betapa rindunya dia sukar sekali untuk digambarkan. Perjalanan dari pusat bandar ibu negara ini mengambil masa kira-kira dua jam. Masa seakan lambat bergerak, di dalam bas dia ingin memejamkan mata namun tidak terlelap.

Entah bagaimana fikirannya melayang mengimbau kembali pengalamannya bekerja jauh beribu batu menyeberang sempadan negara dan lautan. Hutang yang membelenggu telah mencampakkan dia ke sini – sebuah ladang. Gara-gara judi, dia terpaksa berkerja di ladang yang penuh kehinaan. Fendi mempertaruhkan dirinya dalam perjudian dan akbiatnya dia telah dijual menjadi hamba ladang milik tuan negara atas angin.

Biar pun begitu segala kepahitan ditelan demi meneruskan hidup. Sebagai tahi judi yang tegar, dia masih berkira-kira mempertaruhkan segala isi dalam diri untuk meraih kemerdekaan. Bagaimana jalan dan caranya dia tidak tahu? Namun naluri kuat mengatakan dia bakal bebas suatu masa nanti.

            Kali pertama dia menjejakkan kaki ke ladang ini, hidupnya tidak tenteram, perasaan hina mencurah-curah ke dalam dirinya. Barulah dia tahu erti haram yang sering di sebut-sebut oleh ahli agama yang selama ini tidak pernah diendahkan. Dia sendiri berasa jijik terhadap dirinya dengan perkerjaan yang dilakukan sekarang. Namun apakan daya dia kini seorang hamba. Segala raganya milik tuannya, biar pun jiwanya tidak rela.

            Sebaik sahaja turun dari bas Fendi menghirup udara pekan, dia terbatuk-batuk. Sedikit kecewa, sudah tidak senyaman dahulu, cepat benar semuanya berubah. Dia menahan teksi menuju ke rumah tercinta yang sekian lama ditinggalkan. Apa khabarkah ayah dan ibunya? Sihatkah mereka? Sungguh tidak sabar jiwanya untuk mendakap mereka.

            Pemandangan kampung sudah tidak sehijau dahulu, Fendi cuba mengingati saat melihat kawasan yang telah digondolkan. Ya, dulu di situlah dia dan beberapa rakan meracik burung dan ayam hutan. Kini kawasan itu telah menjadi tanah lapang, mungkin akan dibangunkan dengan penempatan manusia atau kilang-kilang yang kononnya akan memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Oh, betapa ruginya generasi akan datang. Keseronokkan yang dia nikmati suatu ketika dulu mungkin tidak akan dikecapi oleh generasi baru, rugi. Sungguh rugi.

Fendi menghulurkan wang tambang kepada pemandu teksi. Dia tercegat dihalaman rumah seketika. Jantung berdegup kencang, kaki seakan kaku, takut untuk melangkah masuk ke dalam rumah itu. Apa yang dia perhatikan, tidak banyak perubahan terhadap luaran rumah tersebut. Masih ingatkah ayah dan ibu akan dirinya? Ketakutan menyerang sanubari Fendi. Asap hitam teksi membuatkan dia terbatuk-batuk. Di balik langsir ada tampang meninjau-ninjau keluar.

Degupan jantung bertambah kencang, peluh membasahi dahi, kad di tangan tak menyebelahi nasib, dia bakal kalah. Entah bagaimana dia boleh bersetuju untuk menawarkan dirinya sebagai taruhan. Segala penyesalan sudah tidak berguna, dia harus berbuat sesuatu. Ya, melarikan diri. Itu adalah salah satu jalan terbaik  untuk dia selamat dari menjadi hamba. Tangan terketar-ketar memegang kad, mata mencari-cari ruang untuk meloloskan diri. Fendi mencampak kad, lalu menolak salah seorang pemain judi. Dia berlari sekuat hati menuju ke dalam hutan. 

Mak Milah, meninjau ke luar tingkap, dia seakan kenal dengan lelaki yang berdiri di halaman rumah, Namun pengelihatan tak berapa jelas disebabkan faktor usia, lalu mengenakan kaca mata. Dia mengecam seketika. “Fendi” terpacul dari bibir Mak Milah. Lantas dia keluar menyambut kepulangan anaknya itu. Melihat Mak Milah berlari kecil, Fendi segera mendapatkan ibunya.

“Fendi, kau balik juga nak... mak rindu betul dengan kau.”  Fendi tak  terkata apa lantas  memeluk ibunya. “Mari, mari kita masuk tentu kau penat. Malam ni mak masak sedap-sedap untuk kau.” Fendi hanya tersenyum.

Benar suadah lama dia tidak menjamah masakan air tangan ibunya, kali pertama dia menjejak kasi di negeri atas angin dulu, dia langsung tidak menjamah apa-apa makanan yang disediakan oleh majikannya. Dia takut, rasa geli untuk menyentuh semua makanan yang tersedia di ruang makan pekerja. Dan pada saat itulah dia mula berkira-kira tentang halal dan haram dalam pemakanan.


Diri terasa sungguh jahil. Dari mana dia hendak mencari kitab-kitab agama untuk dijadikan rujukan? Adakah diantara mereka ini seagama dengannya? 

bersambung.......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan