Dari
Mimpi Menyunsur Realiti
Mimpi,
semua orang mengenal mimpi. Ia dapat
disimpulkan sebagai gambaran aktiviti atau kejadian sewaktu seseorang itu
sedang tidur atau keinginan, cita-cita, harapan dan khayalan untuk suatu hak
yang akan terjadi di masa hadapan. Mimpi adalah pengalaman bawah sedar yang
melibatkan pengelihatan, pendengaran, fikiran, perasaan atau pancaindera lain
dalam tidur. Ia disertai dengan gerakan mata yang cepat (rapid eye movement/REM
sleep).
Mimpi
adalah satu keajaiban yang menakjubkan, setiap orang boleh membina mimpi
sendiri. Alam mimpi boleh membawa kita mengembara ke mana saja pelusuk dunia yang
kita mahu, melalui pengalaman yang didapati dari dunia realiti. Alam mimpi
juga adakalanya membawa kita ke zaman atau waktu yang tidak pernah kita sampai
seperti membawa ke masa hadapan yang
kita gelar sebagai dejavu atau membawa waktu silam kita yang tidak pernah kita jejak secara realiti. Pengalaman mimpi ini
jika digarap ke dalam sesebuah karya sastera atau seni halus ia boleh digelar
sebagai realisme magis.
Apa
yang hendak ditekan di sini adalah sebuah genre sastera yang berbentuk realisme magis
yang terdiri dua perspektif yang saling bertentangan, iaitu di satu sisi
berpaksi pada sudut pandang rasional dan realiti manakala pada sisi lain pula
berpaksikan pada penerimaan sesuatu perkara yang bersifat supernatural sebagai
sebuah realiti yang prosaik (menjemukan). Namun begitu realisme magis berbeza
dari fantasi, ini kerana realisme magis mempunyai aturan atau sistem dalam bentuk yang normal, sebuah dunia moden
dengan deskripsi autentik (kepercayaan/keyakinan) atas manusia dan masyarakat.
Kebiasaannya,
karya-karya realisme magis, sentiasa melahirkan watak-watak yang hidup di dunia
realiti dan watak mimpi atau
imaginasinya sendiri. Meskipun demikian, realisme magis juga dapat
didefinisikan sebagai suatu keasyikan atau daya tarik yang memperlihatkan hal-hal yang biasa atau yang terjadi dalam
kitaran harian yang bukan sekadar biasa, bahkan aneh.
Merujuk
pada Novel ‘Penderhaka’ tulisan Marsli N.O pada bab terakhirnya, yang secara
jelasnya keseluruahan naratif yang berjalan dari bab satu bukanlah di dunia
nyata. Ini dapat kita lihat pada perenggan terakhir beliau.
“ Dan tubuhku kini menginjak dunia nyata.”
m/s 190
Penutup
kepada novel inilah dapat dirujuk bahawa perjalanan naratif pada bab satu
hingga 19 merujuk bukan berada di dunia
nyata. Biarpun kelangsungan naratif tidak berada didunia nyata. Tetapi ia masih
real (nyata) di alam mimpi, kerana disana kita masih dapat merasa,
melihat dan mendengar.
Angel
Flores berpendapat bahawa realisme magis melibatkan suatu penggabungan atau
peleburan dari realisme dan fantasi. Dalam realisme magis kehadiran supernatural
seringkali terhubung pada perkara purba dan mentaliti magis orang Indian yang
hidup dalam semesta gabungan dengan
rasionaliti Eropah. Melihat pada pemikiran tersebut ia bukanlah sesuatu yang
menghairankan apabila Ray Vrezasconi, seperti pengkritik-pengkritik lain,
pernah menyatakan bahawa realisme magis adalah sebuah ekspresi dari realiti Dunia Baru yang pada suatu saat menggabungkan
elemen rasionalisasi peradapan Eropah dan elemen irasional (tak rasional) suatu
peradapan primitif Amerika.
Menurut
Gonzales Echeverria, realisme magis adalah sebuah pandangan dunia yang tidak
berdasarkan pada alam atau hukum fizik juga realiti objektif. Dalam realisme
magis seorang penulis berusaha untuk melawan kenyataan dan cuba untuk kembali menyingkapnya dengan
jalan yang menjadi inti misteri dalam kehidupan objek, serta perilaku manusia.
Ini
dapat kita lihat pada bab pertama dalam novel ‘Penderhaka’ Pada muka dua :
“...
. Tiba-tiba diri berteriak. Langit di sekeliling pun terbelah. Dan pada pada
detik yang sama, kelihatan segerombolan helang terbang melayah-layah. Hei! Hei!
Mahu ke mana? diri berteriak kearah sekalian helang. Sekalian Helang kelihatan
menyeringai. Mahu ke mana? Teriak diri lagi. Mahu ke taman. Ke taman? Ke Taman
Inderaloka. Aku ikut? Kalau kau mahu. Tetapi aku tidak memiliki sayap. seperti
kalian. Bayangkanlah bahawa kau kini
telah pun memiliki sayap. Dan mulailah terbang ke mana pun yang kau
suka. Diri teragak-agak. Antara percaya dengan tidak. Antara yakin dengan
tidak. Kenapa masih tercenung-cenung? Tanya sekalian helang. Mustahil, diri
mendesis. Usah banyak soal. Apa saja yang kau inginkan dan fikirkan. Ayuh.
Pejamkan mata. Dan ternyata benar kini di kedua-dua belah bahu terasa telah
tumbuh dua sayap. Satu di kiri dan satu di kanan. Ayuh, Mulailah terbang.”
m/s 2-3
Apa yang cuba di tampilkan di sini adalah bermulanya pengembaraan
watak diri di alam mimpi. Jika di dunia nyata, amatlah mustahil untuk sseorang
manusia itu dapat berinteraksi dengan sekawan helang. Dan tentulah amat tidak logik
atau rasional sekali untuk seorang manusia boleh mengeluarkan sayap saat dia
inginkan. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Dengan garapan di alam
luar nyata ia adalah sesuatu yang benar lagi nyata. Kerana, di alam mimpi ia melibatkan pengelihatan, pendengaran, fikiran
perasaan atau pancaindera lain dalam tidur.
Melalui realisme magis, seorang sasterawan atau seniman mencipta ilusi atas “sesuatu yang tidak nyata”, ia berusaha untuk memalsukan pelarian dari
hal-hal natural, dan menyampaikan suatu tindakan yang seandainya dapat hadir
sebagai suatu yang dapat dijelaskan akan
datang dan melintas sebagai suatu keanehan. Ini meninggalkan kesan bahawa dalam realisme magis seorang penulis
itu mengubah realiti seharian menjadi sesuatu yang ajaib, ghaib, penuh
dengan nausa-nausa mistik.
Dalam realisme magis, kesedaran keajaiban penciptaan kesedaran yang
tidak biasa, tak terduga, dan sentiasa merujuk pada fenomena yang tidak mungkin
terjadi. Tetapi dalam ralisme magis, Hal
ini tidaklah terjadi secara ilmiah, melainkan manipulasi yang disengajakan atas
realiti dan persepsi seorang sasterawan atau seniman sendiri dalam usahanya
mencipta karya.
Biarpun Marsli N.O memaparkan keanehan luar dari ruang lingkup
nyata namun ia bukanlah satu naratif yang kosong, ia menjadi sarat jika kita
tidak membuka ruang pemikiran bawah sedar kita. Oleh demikian sebagai seorang
pembaca kita harus amati dengan teliti untuk memahami pergerakan naratif yang
ingin disampaikan oleh penulis.
Secara keseluruhan cerita digerakan oleh watak ‘DIRI’ dan ‘AKU’
yang merupakan seorang penyair. Ini dapat dibuktikan pada dialog yang di
kemukan oleh Marsli N.O :
“ Sudahlah. Hentikan omonganmu itu. Aku sudah bosan mendengarnya,”
kini salah seorang daripada mereka pula menempelak diriku.
“Hei! Kau ini siapa sebenarnya?” Tanya pula seorang daripada mereka
yang lain.
Aku terkesima dan terkedu beberapa detik lamanya.
“Apakah kau seorang penyair?” Tanya salah seorang daripada mereka
yang lain.
Aku terkedu.
“Benarkah kau ini seorang penyair?” terdengar tanya terlontar lagi.
“Perlukah kalian tahu?” Kini aku kembali membalas dengan tanya.
“Kenapa tidak?”
“Untuk apa?”
“Tetapi kalau benar kau ini seorang penyair, sudah tidak ada
gunanya lagi kau menasihati kami,” balas salah seorang daripada mereka.
“Ah, apalah ertinya. Seorang penyair dan sebuah puisi. Apalah
ertinya. Pemerkosaan demi pemerkosaan tetap juga bermaharajalela. Di
mana-mana.”
“Jika pun itu yang terjadi, kenapa pula kepada penyair salah dan
dosa mesti di bebankan?” Sanggahku.
“Kerana kami tahu betapa penyair juga tidak lebih hanyalah seorang pemimpi yang
mencipta utopia demi utopia dengan omongannya,” tempelak salah seorang daripada
mereka.
“Dan lebih meng'aibkan lagi, betapa kadang-kadang penyair jugalah
yang ikut sama bersekongkol membiak pemerkosaan. Mengatakan benar terhadap apa
yang sepatutnya ia tidakkan.” Salah seoarang daripada mereka turut menempelak.
“Jangan sebarang menuduh. Tidak semua penyair sedemikian dan rendah
martabat dirinya.” Tegas aku membela.
“Kelihatannya kau begitu bersungguh membela penyair. Barangkali kau
ini memang seorang penyair.”
m/s 184-185
Keseluruhan isi novel ini sarat dengan mesej dan kritikal sosial
yang bersifat sejagat yang digarap dengan unsur-unsur tradisional dan moden
serta diiring dengan emosi seorang penyair yang kembali mencari keakuan dirinya
dalam kemelut sistem dunia yang semakin porak-peranda.
Pada bab satu kita dapat melihat bagaimana Marsli N.O mengemukakan
perasaan yang diliputi keresahan diri. Dimulai bunyi Tra-la-la yang sentiasa
menghantui diri. Kemudian di susuri dengan sekawan helang yang menuduh ia
mencintai dunia dan dia juga yang mengotornya. Watak diri bertemu dengan wajah
menyerupai watak diri, dan memberi peringatan bahawa dia (watak diri) adalah
mangsa dari idealisme dan utopia muluknya sendiri.
Merujuk kembali pada pengalaman mimpi seperti yang tertera pada
rangkap pertama dalam penulisan ini. Di alam mimpi kita boleh mewujudkan pelbagai watak
dan latar yang di garap dari pengamalan di dunia realiti. Biarpun di dunia
nyata kita menyatakan ianya tidak benar tetapi pada hakikatnya di alam mimpi ia
adalah kebenaran yang mutlak. Demi mencari sebuah kebenaran ia bermula dengan
perubahan diri.
Dalam pembentukan sistem masyarakat yang seimbang peranan kepercayaan atau yang lebih tepat
lagi adalah peranan agama sangat penting, kerana dengan adanya kepercayaan ia
akan membentuk akhlak yang mulia dan nilai moral yang murni. Sekiranya bentuk
kepercayaan ini di selewengkan maka akan punahlah sesuatu bangsa. Berlakulah
keruntuhan moral, demi menjaga kepentingan sendiri.
Apabila watak diri melihat segerombolan manusia berbondong-bondong
ke puncak bukit untuk melihat sesuatu yang keramat dalam acara korban. Watak diri
melayangkan diri ke udara untuk melihat
apa yang berlaku di atas sana. Keramat
adalah sesuatu yang di anggap suci, dalam masyarakat tradisional Melayu keramat
melibatkan unsur-unsur spiritual dan kuasa ghaib yang secara tidak langsung ia
juga melibatkan kepercayaan spiritual atau kepercayaan terhadap agama.
Pada bab ini Marsli N.O memaparkan kepada pembaca akan lima orang
yang berkerudung dan seorang pemuda yang akan dijadikan korban. Apa yang boleh
kita gambarkan disini adalah watak lima orang berkerudung yang kononnya dapat
mendatangkan keramat sebenarnya adalah penyeleweng. Mereka meminta itu dan ini
sehingga kan masyarakat setempat sudah tidak punya apa-apa untuk diberikan
namun keramat yang dijanjikan tidak juga muncul. Disini ia merujuk kepada
penyelewengan ahli agama yang mengambil kesempatan yang ada dengan
mempergunakan agama demi meraih kemewahan.
Melihat kekalutan
dalam sistem masyarakat yang kian porak, watak aku mengambil keputusan untuk
menyendiri di sebuah pulau yang jauh dari masyarakat setempat. Biarpun begitu
pengasingan itu telah dikejam malah watak aku telah di tuduh sebagai penderhaka
kerana tidak sefahaman dengan mereka yang lain.
Kekalutan ini
bermula dari penyelewengan agama, kemudian terus menular ke media akhbar yang
cuba menempelkan berita bencana namun tidak dikemukakan punca. Malah punca
sesuatu bencana itu digelapkankan dari pengetahuan masyarakat kononnya bagi
mengelakan masyarakat atau selurah warga berasa bimbang. Dan perkara ini juga
sering berlaku di dunia nyata (luar dari kotak naratif) contohnya, punca
berlakunya banjir, atau kehilangan pesawat yang tidak dapat dipastikan sama ada
terhempas mahupun dirampas oleh pihak tertentu. Biarpun penggelapan punca
bencana atau malapetaka ini sengaja diadakan tiada siapa yang bangkit melawan
hannya menurut. Dengan pendapat pihak kerajaan atau pihak berwajib tahu apa
dilakukan. Hal sebegini tidak seharusnya terus berlangsung dan harus
dipecahkan. Agar pimikiran masyarakat setempat terus berkembang. Masyarakat
hari ini seolah-olah dibekukan pemikiran mereka. Oleh demikian sampai bila kita
akan membiarkan pembekuan pemikiran ini?
Menyebut pada
pembekuan pemikiran, ia lebih merujuk kepada kepakaran dalam bidang tentu
seperti kejuruteraan, pertanian, perubatan, keagamaan, keilmuan atau falsafah
serta lain-lain lagi. Untuk menjadi ahli kepakaran dalam bidang-bidang tersebut
haruslah mendapat kelulusan dan iktiraf dari badan kerajaan atau dilantik oleh
penguasa. Ahli yang pakar dalam sesuatu bidang itu pula perlu mengikut acuan
yang telah ditetapkan oleh pihak penguasa, sekiranya terdapat sebarang
pengcanggahan maka ahli pakar ini akan disingkirkan dan dianggap telah
menderhaka kepada kerajaan.
Apa yang cuba disampaikan
oleh Marsli N.O dalam novel PENDERHAKA ialah beliau cuba mengajak kita cuba
berfikir dari kotak pemikiran biasa dengan menilai atau melihat kembali sistem
sosial yang ada. Dengan penelitian dan pengamatan yang baik kita akan melihat
kesan dan keburukan sistem sedia ada, malah mungkin akan menemui penyelesai
untuk menstruktur kembali kekalutan yang ada. Akhir kata, menjadi seorang
penderhaka bukanlah untuk keburukan tetapi menjadi penderhaka demi kemakmuran
sejagat dengan melawan kegelapan yang
telah sekian lama memegang tampuk pemerintahan mahupun sistem tertentu. Mungkin juga novel ini mengajar kita untuk menjadi penderhaka yang baik.
Sumber
dan rujukan :
1.
Novel
Penderhaka, Masli N.O, DBP-2011